8 Sept 2008

HIKMAH PUASA: saintifik

Puasa dan Detoksifikasi

Matlamat puasa adalah untuk membina takwa. Untuk tujuan itu puasa perlu dilakukan dengan cara serta adab yang betul. Apabila kesemua ini dilakukan dengan sempurna, seseorang bukan sahaja akan memperoleh takwa, malah lebih dari itu dia juga akan memperoleh segala kebaikan yang lain. Antara kebaikan itu ialah meningkatkan kesihatan badan melalui proses detoksifikasi.

Detoksifikasi bermaksud mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin. Mengikut Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting, "Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit."

Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, "Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja untuk binatang malah juga untuk manusia. Puasa akan mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya."

Berpuasa dalam bentuk menghindari makan minum dalam jangka masa yang pendek memang tidak memudaratkan. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij, The Lancet, disebutkan, "Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu..." (Rujukan: Stewart, W., Fragmentation Of Cardiac Myofibrils After Therapeutic Starvation, Lancet i:1154. 1969)

Tambahan daripada itu, kajian yang dilakukan di Universiti Utah ke atas golongan Mormon yang berpuasa hanya sehari dalam sebulan mendapati ia merendahkan risiko mereka menghidap sakit jantung. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Fasting? It's Good For The Heart di http://www.earthtimes.org/ bertarikh 7 November 2007.

Penemuan yang sama diperoleh berdasarkan satu lagi kajian yang dikenali sebagai Intermountain Heart Collaborative Study. Dalam kajian ini 515 pesakit telah diuji kaji di sudut kesihatan jantung. Kajian ini mendapati mereka yang kerap berpuasa mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung. Puasa dalam kajian ini ditakrifkan sebagai meninggalkan jadual makanan utama, paling kurang, 2 kali berturut-turut (no food or drink for at least two consecutive meals). (Rujukan: McClure BS, May HT, Muhlestein JB, et al. Fasting May Reduce The Risk Of Coronary Artery Disease. American Heart Association 2007 Scientific Sessions; November 6, 2007; Orlando, FL. Abstract 3642)

Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.), pensyarah kanan di University of Westminster, London dan juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan alternatif merumuskan, "Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah amat selamat." (Rujukan: Fasting for Health and as an Anti-Aging Strategy, www.healthy.net)

Puasa di bulan Ramadan boleh dianggap sebagai puasa jangka pendek. Justeru, secara dasarnya ia adalah amat selamat dan tidak memudaratkan.

Ramadan dan Kesihatan

Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadan' diadakan di Casablanca. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa di musim Ramadan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. (Rujukan: The Spiritual and Health Benefits of Ramadan Fasting,
Dr. Shahid Athar, M.D., www.crescentlife.com )

Walau bagaimanapun pengecualian daripada berpuasa diberikan kepada penghidap penyakit-penyakit serius lagi kronik seperti sakit jantung, buah pinggang, migrain yang bersangatan, batu karang dalam buah pinggang dan yang seumpamanya. Pengecualian ini memang diizinkan agama kerana Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud, "Sesiapa antara kamu yang sakit atau bermusafir (maka bolehlah dia berbuka puasa) dan gantikannya pada hari yang lain."

Jika penyakit yang menimpa seseorang begitu serius sehingga tidak ada harapan lagi untuk sembuh, beliau tidak perlu berpuasa sama sekali. Sebagai gantinya beliau diwajibkan membayar fidyah sebagai menggantikan puasa yang terpaksa ditinggalkannya. Hal ini telah disebutkan dalam Fatawa Muaasirat oleh Dr. Yusof al-Qardawi.

Namun secara umumnya, berpuasa di bulan Ramadan amat menyihatkan. Sebagai contoh, pada tahun 1984, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki (berumur 15-64 tahun) dan 26 wanita (berumur 16-28 tahun) yang berpuasa Ramadan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada ketika yang sama, berat badan mereka ditimbang di awal dan di akhir Ramadan.

Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Pemeriksaan darah untuk mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 telah dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan. Di samping itu, berat badan mereka ditimbang. Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL (low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high density lipoprotein) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Malah sebaliknya ia memberi kesan yang baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. Fakta-fakta ini dilaporkan di dalam Islamic Perspectives in Medicine oleh Dr. Shahid Athar terbitan American Trust Publications, Indianapolis.

Dalam satu lagi kajian yang dilakukan ke atas 32 lelaki yang berpuasa Ramadan, peratus kolesterol secara keseluruhannya (total cholesterol) didapati menurun 7.9% (7.9%, p<0.001) dan lemak trigliserida (triglycerides) juga menurun sebanyak 30% (30%, p<0.001) berbanding paras sebelum mereka berpuasa. Pada ketika yang sama paras kolesterol baik (serum HDL) meningkat 14.3% (14.3%, p<0.001) dan berkekalan seperti itu selama sebulan. Kolesterol keji pula (serum LDL) menurun sebanyak 11.7% (11.7%, p<0.001) juga selama sebulan. Berat badan mereka yang berpuasa ini pula didapati menurun sebanyak 2.6% pada hari ke-29 Ramadan. (Rujukan: Annals of Nutrition and Metabolism, 41: 242-249, 1997) Kesemua ini menunjukkan bahawa berpuasa di bulan Ramadan sememangnya baik untuk kesihatan.

Puasa dan Kesihatan Mental

Otak manusia mendapat banyak manfaat melalui puasa. Malah puasa juga mendatangkan kesan yang amat positif kepada otak haiwan. National Institute on Aging (Amerika) pernah melakukan kajian ke atas tikus-tikus. Tikus-tikus ini diberikan makanan mengikut jadual kemudian disusuli dengan berpuasa secara berselang-seli. Selepas itu sejenis bahan kimia toksik kepada saraf (neurotoxin) yang boleh menyebabkan penyakit seumpama Alzheimer (penyakit kelupaan) kepada manusia diberikan. Tikus-tikus yang berpuasa dalam bentuk seperti yang dinyatakan sebelum ini memiliki ketahanan sehingga mampu memelihara kesihatan sistem sarafnya. Penemuan ini dilaporkan di dalam Proceedings of the National Academy of Sciences Online Edition, April 28. (Rujukan: Fasting Benefits Glucose Metabolism, Nerve Cells, physiciansweekly.com July 28, 2003, Vol. XX, No. 28) Bukanlah suatu yang mustahil jika dikatakan kesan yang lebih kurang sama juga dapat dirasai oleh manusia yang berpuasa.

Kajian dari Universiti Kentucky pula mendapati berpuasa dapat mengurangkan kesan negatif ke atas pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak. Kajian yang diketuai oleh Patrick Sullivan dari UK Spinal Cord and Brain Injury Research Center ini mendapati proses kesembuhan ke atas otak yang cedera berlaku secara signifikan apabila pesakit-pesakit berkenaan berpuasa selama 24 jam. Hal ini mungkin disebabkan oleh keton (ketones) yang terhasil dalam darah orang yang berpuasa. Keton (ketones) didapati berperanan mencegah proses kerosakan yang berlaku ke atas sistem saraf (neuro-protective). Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Neuroscience Research. (Rujukan: Fasting Can Reduce Brain-Injury Impact, http://news.uky.edu/, 14 Mac 2008)

Puasa juga merangsang pengeluaran hormon yang dikenali sebagai endorphin. Hormon tabii ini berfungsi seperti dadah jenis candu (opiates) yang menghilangkan kesakitan serta mendamaikan minda justeru mencegah daripada serangan penyakit mental.

Tambahan daripada itu puasa juga membantu tidur dan hal ini adalah penting terutamanya bagi golongan tua. Oleh sebab proses pemulihan badan berlaku ketika tidur kemampuan untuk tidur dengan nyenyak menjamin kualiti proses pemulihan itu. Berdasarkan analisis terhadap gelombang otak melalui graf elektroensefalogram (EEG) pakar-pakar mendapati tidur adalah lebih nyenyak di musim Ramadan berbanding di bulan-bulan lain. Perubahan-perubahan positif ini membantu fokus dan konsentrasi umat Islam di musim Ramadan dan menjadikan mereka lebih produktif. Penemuan-penemuan ini dilaporkan oleh Dr. Ebrahim Kazim (M.B.B.S., M.R.C.P.) dalam bukunya Further Essays on Islamic Topics. Beliau merupakan pengasas dan pengarah Akademi Islam Trinidad. (Rujukan: Dr. Ebrahim Kazim, Fasting and Your Biological Rhythms, http://www.islamonline.net/, 12 November 2002)

Bersahur dan Sains

Bersahur merupakan salah satu amalan penting di bulan Ramadan Terdapat banyak hadis nabi yang sahih yang menekankan tentang kepentingannya. Antaranya ialah hadis nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah yang bermaksud, "Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan." Dalam hadis ini bersahur dikaitkan dengan keberkatan. Keberkatan bermaksud rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.

Dalam riwayat yang lain oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasai, nabi bersabda, "Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan ahli kitab ialah makan sahur." Begitulah status kepentingan bersahur sehingga ia menjadi pembeza antara puasa umat Islam dengan ahli kitab.

Ketika bersahur, umat Islam disuruh melewatkannya kerana nabi bersabda, "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan selama mana mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka puasa." Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad. Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu subuh dan berhubung dengan ini Zaid bin Thabit pernah berkata, "Kami pernah bersahur bersama nabi kemudian kami bangun untuk melakukan solat (subuh)." Kemudian Zaid bin Thabit disoal, "Berapa lama masa antara keduanya (yakni antara makan sahur dan solat subuh)?" Berkata Zaid, "Sekadar membaca 50 ayat Al-Quran." Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari.

Ketika merumuskan tentang kepentingan bersahur, Imam Ibn Abdil Bar berkata, "Hadis-hadis yang menerangkan tentang kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur kesemuanya adalah bertaraf sahih dan mutawatir." Hal ini nyatakan di dalam Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Authar (Pustaka Bina Ilmu, Surabaya) terjemahan A. Qadir Hassan, Mu'ammal Hamidy, Drs. Imron Am dan Umar Fanany B.A.

Penekanan nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi (breakfast). Kajian semasa menunjukkan makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.

BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah amat penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu yang lain. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis. Kajian yang sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50% lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding dengan mereka yang jarang bersarapan pagi.

Hal ini menjadi lebih penting ke atas kanak-kanak yang berpuasa kerana kesan meninggalkan sarapan pagi ke atas kanak-kanak adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Kajian-kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun dari tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tambahan daripada itu, satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakan-rakannya ke atas 700 pelajar-pelajar dari Louisiana menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini akan menyebabkan penyakit anemia (iaitu suatu penyakit yang berkaitan dengan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.

Justeru secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian-kajian yang dipaparkan ini. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunah nabi dan waktu sahur juga merupakan waktu yang dipenuhi keberkatan.

Berhubung dengan ini Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 15-17, "Katakanlah, ‘Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambanya. (Iaitu) orang-orang yang berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun di waktu sahur'."

Konklusi

Tidak syak lagi puasa adalah kuasa. Hal ini disebabkan Ramadan bermanfaat untuk manusia moden dan kemanfaatannya pula adalah berbentuk menyeluruh lagi holistik Ia merangsang kebaikan dalam pelbagai aspek, antaranya di penjuru:

* Spiritual: Melalui ibadah seperti solat dan zikir.
* Peningkatan Ilmu: Melalui kajian al-Quran.
* Kesihatan Mental: Melalui tafakur, reda serta pengeluaran hormon endorphin yang mendamaikan.
* Kesihatan Fizikal: Melalui metabolisme badan yang terkawal.
* Pembinaan Akhlak dan Jati Diri: Melalui latihan kesabaran, pengawalan pancaindera serta ketabahan memikul tanggungjawab.
* Amanah dan Integriti: Melalui keikhlasan dan istiqamah walaupun andai kata kita berbuka puasa tidak ada sesiapapun yang mungkin mengetahuinya.
* Mementingkan Keutamaan: Melalui fokus mengejar janji Allah berkaitan Lailatulqadar.
* Mementingkan Kualiti: Melalui kesedaran bahawa ibadah puasa perlu dihalusi kerana ia bukan sekadar meninggalkan makan minum.
* Pengurusan Masa: Melalui sistem waktu solat dan puasa yang perlu dijaga.
* Keharmonian Keluarga: Melalui konsep kebersamaan ketika bersahur, berbuka puasa dan bersolat.
* Maslahat Kemasyarakatan: Melalui zakat fitrah serta solat berjemaah.
* Produktiviti: Melalui peningkatan fokus dan konsentrasi.
* Ekonomi: Melalui penjimatan wang serta pengawalan hawa nafsu.
* Ledakan Kreativiti dan Lonjakan Paradigma: Melalui kedamaian dan kesucian hati yang menjadi semaian kepada ilham yang meledakkan idea-idea baru.

Memang benar, puasa ialah kuasa. Kesemua ini akan terhasil jika puasa dilakukan secara yang betul dengan memelihara segala adabnya. Jika tidak kita hanya akan mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Nabi bersabda, "Berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat sesuatu apa pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga." (Riwayat Ibn Majah)

Nukilan Dr Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B. Alexandria)

5 Sept 2008

Usaha Memperalat ULAMA':TERDESAK



Institusi majlis Syura menobatkan ULAMA": sebagai pemelihara AGAMA dalam pentadbiran..suara mereka menjadi keutamaan, mereak tunggak kekuatan..segala perselisishan diputuskan disini..inilah rahmatnya ISLAM

Ustaz Idris Ahmad
Thu | Sep 04, 08 | 4:11:47 pm MYT

Utusan Malaysia, 3 September 2008 melaporkan, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu golongan umara (pentadbir) dan ulama menjalinkan kerjasama lebih rapat supaya segala isu berkaitan Islam dapat diselesaikan secara lebih menyeluruh.
Iklan




"Pendapat ulama tidak boleh diketepikan kerana merupakan pihak yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Islam manakala umara merupakan golongan yang diberi kepercayaan untuk memimpin. Kita amat memerlukan gabungan kedua-dua pihak ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis 'Perjumpaan dan Dialog Perdana Menteri Bersama Ulama dan Umara' di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Betulkah Dato' Seri Abdullah Badwi hendak pakai pandangan ulama? Apa yang kita lihat Umno tidak pernah menghormati ulama. Mana ada ulama yang berjuang dalam Umno disanjung dan dijadikan rujukan dan diterima pakai pandangan mereka. Sebab itu ulama dalam Umno, walau alim macam mana sekalipun izzahnya tidak kelihatan.

Kerana mereka tidak diberi peranan untuk menentukan dasar, peranan terbesar ulama Umno untuk baca doa, jadi khalifah tahlil, baca yasin, talqin, imam sembahyang mayat dan doa buka pejabat baru.

Yang menentukan dasar ialah golongan jahil dalam agama. Ia berbeza dengan PAS, kita merujuk ulama dalam semua perkara untuk membuat satu keputusan.Tiba-tiba kita dikejutkan supaya ulama bekerjasama dengan umara. Maklumlah orang lemas, semua tali dia hulur untuk dapat talian hayat.

Bukankah selama ini padangan mengenai hukum agama yang tidak pernah diikut malahan ditong sampah sahaja. Ada beberapa perkara yang membuktikan bahawa Umno memang tidak suka dengan golongan agama. Golongan agama hanya menjadi alat sahaja untuk melawan PAS dan ulama PAS.

Dalil yang menunjukkan bahawa Umno tidak mendengar ulama dalam tindakan mereka.

1. Apabila Majlis Mufti megatakan konsert Sure (Jom) Heboh haram Umno tidak ikut

2. Apabila Majlis Mufti mengatakan kongsi raya haram Umno tidak ikut.

3. Apabila Majlis Mufti kata bertafakkur di depan Tugu Negara haram, PM Abdullah sendiri tidak ikut.

4. Apabila mufti membantah penggunaan kondom, methadon untuk mengelak Aids, Umno tidak ikut.

5. Garis panduan hiburan yang dibuat oleh Jakim, Umno tidak ikut.

6. Orang agama dalam Umno yang sepatutnya menjadi Menteri tidak diberi tempat. Mana pergi Dato' Dr Abdullah Mohd Zin kelulusan MA Madinah dan PhD sebuah universiti di United Kingdom? Mana Hamid Zainal Abidin? Mana dia Dr Yusuf Nor kelulusan PhD tasawuf Mesir, hanya dberi amanah untuk jaga pokok kelapa sawit sahaja.

7. Tidak ada seorang pun perwakilan Umno ang memilih untuk kerusi majlis tertinggi orang kelulusan agama.

Kalau pandangan ulama rasmi yang terdiri daripada kalangan para mufti Umno tidak ikut, macam mana pula PM hendak ajak ulama bekerjasama.

Kalau hanya hendak mengajak ulama multaqa, bentang kertas kerja, kemudian makan kambing bakar, tetapi tidak ada kemahuan untuk melaksanakannya ini buat habis masa dan membazir wang sahaja. - lanh/mks. _

3 Sept 2008

Apabila ISLAM MEMERINTAH..rahmatnya di bawa kepada semua...

Teras sokong cadangan Kedah tutup pusat judi


Teras dan Wehdah mengalu-alukan cadangan pihak kerajaan negeri Kedah untuk menutup pusat-pusat judi yang beroperasi di Kedah secara bertahap.
Iklan


Proses pemberhentian bertahap itu adalah suatu langkah yang sangat wajar kerana industri judi yang beroperasi jelas tidak memberi sebarang sumbangan yang positif semada dari segi sosial mahupun ekonomi.

Suara pihak tertentu yang mendakwa bahawa cadangan ini tidak wajar dilaksanakan hendaklah ditolak dengan bijaksana dengan mengadakan pertemuan bersemuka bagi menjelaskan kenapa cadangan ini perlu dilaksanakan.

Kami berpendapat tidak ada sebab kenapa indusrti ini perlu diteruskan walhal kesan negatifnya sangat ketara.

Sesungguhnya kerajaan bertanggungjawab membentuk dan membangun sebuah masyarakat yang mengamalkan nilai murni . Berjudi sudah jalas bukan suatu amalan dan tabiat yang murni yang perlu dipertahankan. Sebaliknya ia sepatutnya diperangi habis-habisan .

Kesan negatif dari segi sosial dan ekonomi dari industri judi tidak dapat dipertikaikan kerana sumua kaum dan agama menolak perlakuan yang boleh memperondak-perandakan keluarga dan masyarakat .

Amalan berjudi dalam bentuk apapun dan pada skala manapun hendaklah diperangi lantaran ia secara jelas boleh mengujudkan kesan lanjutan seperti keruntuhan akhlaq , kehancuran institusi keluarga serta jenayah.

Kami menegaskan bahawa pihak kerajaan perlu meneruskan cadangan ini tanpa mengambilkira pandangan yang terlalu mengambil perhitungan politik sebagai alasan untuk memerangi kemungkaran.

Kami menolak pihak yang meletakkan populariti politik dijadikan pertimbangan untuk pihak kerajaan memerangi kemungakran industri judi. Sesungguhnya kerajaan Kedah perlu mengaskan bahawa kemungkaran yang jelas tidak boleh dikompromi hanya kerana mahu mendapat sokongan politik.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Pengerusi WEHDAH
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger