Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts
Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts

10 Jun 2009

Memenung nak kahwin?


Apekebendelah....Karut... Jiwa kacau, Celaru lah ni....Cepat-cepatlah sikit .Dah masa lah tu..

Beberapa perkataan yang dihamburkan apabila sesetengah individu yang kepala agak miring ke kiri kerana berat memikirkan tang membina PERKAHWINAN meluahkan rasa. Tuuu ddia ah..silap cakap dapat lah. Perkara TABOO seperti ini jarang dibincagkan secara terbuka, menjaga adat dan mengelak malu mungkin. Maka ia didiamkan.

Memerhatikan gelagat beberapa sahabat, aku tersenyum sendirian, Otakku berputar ligat mahu merakamkan ini dalam bentuk ayat-ayat di dalam blog. Sindrom sindrom terlupa letak kunci mortor kat mana , baju hilang, seluar salah letak sampai tak jumpa kat mana ntah, baju tak berbasuh seminggu...masak nasik sampai hangus, minum air bekas kuching BA (atau panggilan manja LEMAN), hilang kunci motor, duduk sorang-sorang, kejap-kejap mengeluh, kejap-kejap mengeluh...berbaring dengan lengan atas dahi macam memikir masalah dunia... tu tanda lah tu. Kepala sudah "MIRING KEKIRI" M ungkin ia lumrah bagi mereka yang beranjak-anjak ke alam yang lebih mencabar. BERUMAHTANGGA..


Ha baru tau pening tak pening nak memikir tang marhalah tinggi ini. Nak bina bukan main susah ,nak runtuh mudah sekali. Berbalik semula, Lebih bahaya jika mereka ini dibiarkan lama-lama... solat tak husyuk, buat kerja serba tak jadi..asyik dok pegang HP ke hulu kehilir walaupun tak dak orang pun nak sms... Namun bak kata orang kalau dah ada jodoh tak kemana..kita tenangkan jiwa dengan peringatan dan motivasi dari ALLAH swt. Saat itu baru sedar rupanya IBLIS dok permain jiwa-jiwa ini. Sibukkan diri dengan yang menghampirkan diri dan meguatkan cinta kepada ALLAH swt. Maka semua makhluk akan mengasihi diri kita.

Memang susah membina PERKAHWINAN, bila bincang bab duit...wooo, haaaa....apa?..Itulah perkataan yang keluar terkejut, manakan tidak belanja perkahwinan meningkat. Begitulah iblis menipu kita, kita wajib berusaha..yakin rezki ALLAh ada dimana-mana. Kita usaha, sampai masanya nanti insyaALLAh mudah jalannya. Cuma bersabar lah sedikit....cuba memahami hikmah yang ALLAH swt nak bagitau kepada kita Wujudkan perbincagan yang penuh hikmah semoga disana beroleh kebaikan yang banyak, jangan dok pening-pening.....

Belum bincag bab keluarga, maslaah keluarga, pekerjaan, perjuangan jemaah, pembelajaran... dengan macam-macam lah lagi.... Semoga jika dengan niat yang betul susah payah ini dikira sebagai pahala menahan jiwa /mujahadah membina marhalah keredhaan ALLLAH ataupun Membina Strategi kemenagn ISLAM...Semoga disana ada bahagian ybagi tiap-tiap mereka yang terus iltizam.

Bagi yang sedang mencuba nasib, teruskan mencuba semoga kelak ALLAH temukan dengan yang sesuai berasaskan keperluan agama dan perjuangan ISLAM .

Tulisan ini tidak merujuk kepada mana-mana individu , sekadar perkongsian dengan beberapa sahabat dari kampus-kampus yang ada... semoga beroleh kita sedikit manfaat...

Alah lebih mengetahui..
Maaf ats segala silap salah.

7 Apr 2009

Sudi jadi isteri kedua??

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Zinirah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Zinirah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Zinirah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Zinirahlangsung tidak selari dengan penampilannya. "Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… Zinirah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"

"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Zinirah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Zinirah semakin tinggi, setinggi egonya. Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Zinirah' di sebalik Zinirah yang dia kenal selama ini.

Zinirah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.
Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Zinirah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.


Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Zinirah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Zinirah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.


Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Zinirah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Zinirah, namun sikap Zinirah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Zinirah Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.


Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Zinirah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Zinirah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Fikri tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas. "Er, betul ke ni?" tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

"Kenapa saya?" tanya Fikri ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.


Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.


"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Fikri sambil memandu.

"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,"luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Fikri.

renungan bersama...

Dipetik dari rakan blog : http://penditamuda.blogspot.com/

11 Mar 2009

Mari Berfikir Sejenak...


Sesekali merenung ketegasan beberapa individu mengemukakan pendamat menjadikan kita merasa ada benarnya apa yang dikata...

Semoga beroleh manfaat .
Sumber: Forum Halaqah


Ramai kata,
Sebab aku ada nafsu tak terkawal,
Maka aku perlu membuat keputusaan seadanya,
Untuk diriku kahwin awal

Ramai juga berkata,
Kahwin awal untuk mengelak zina dan maksiat,
Untuk menyalurkan nafsu di jiwa yang membara,
Untuk mendapat rahmat dan berkat

Tapi ramai yang berkata tidak sedari,
Dalam berkata-kata mungkin wujud hipokrasi,
Menjadikan nafsu tak dapat ditahan sebagai alasan duniawi,
Mendapat kebenaran berkahwin awal yang selama ini diimpi

Ramai kahwin awal (katanya) untuk mengelakkan maksiat,
Itulah alasan yang selalu menjadi sebab dan mengapa,
Walhal kalau kita tengok definisi maksiat dari segi syariat,
Bukan setakat zina dan perkara berkaitan sahaja

Adakah maksiat itu zina semata?
Bagaimana pula dengan nafkah keluarga?
Jika kahwin awal dapat mengelakkan maksiat zina durjana,
Dapatkah ia mengelakkan maksiat tak mampu bagi nafkah harta?

Apa gunanya berkahwin awal,
Jika nak elak zina saja alasan yang diguna,
Akibatknya berakhir dengan cerai berai dan hubungan tidak kekal,
Kerana ilmu berkeluarga menjadi ayah ibu pun belum sempurna!

Saya tidaklah menentang orang kahwin awal,
Jika persiapan semua dan agama serta harta sudah sempurna,
Tetapi saya menentang jika kahwen awal dengan menggunakan satu alasan mengelakkan zina,
Dan bukan kerana lemahnya iman KITA!

Hukum kahwin dalam islam tetap ada lima,
Wajib, haram, harus, sunat dan makhruh semuanya ada,
Setiap satu berubah mengikut keadaan kita,
So instead of terus cakap nak elak zina, dah kita buat penilaian ke?

Semuanya ada asas dan permulaan,
Begitu juga dengan hukum perkahwinan yang ingin dijalankan,
Jika seseorang tidak mempunyai sebarang desakan,
Untuk menyebabkan dia berkahwin dan tidak lagi berseorangan,
Maka kita kembali kepada asas perbicaraan,
Individu ini hukumnya harus untuk melangsungkan perkahwinan

Jika ilmu keluarga sudah sempurna,
Ditambah lagi kecukupan dari segi harta benda,
Dan keinginan untuk berkeluarga sudah ada,
Tetapi punya kemampuan untuk mengekang nafsu durjana,
Bolehlah berkahwin dengan lapang di dada,
Sebab hukum ketika itu sunat adanya

Jika ilmu keluarga dan agama sudah sempurna,
Juga harta yang cukup untuk memberi nafkah,
Tetapi tidak mampu mengekang nafsu membara,
Maka hukum harus dah jadi wajib, ia sudah berubah!

Jika ilmu keluarga dan agama belum sempurna,
Apatah lagi harta yang ntah ke mana,
Tetapi nafsu membara menguasai jiwa,
Maka mahkruhlah perkahwinan itu, itulah hukumnya

apatah lagi jika kahwin bukan kerana iman,
Hanya kerana ingin mendapatkan kesempatan,
Ingin mendurjana dan menyakiti pasangan,
Maka HARAMLAh ketika ini hukum perkahwinan!


Jadi, setelah dinilai semuanya,
Maka kita berada di kategori yang mana?

Janganlah sesedap hati dan rasa,
menjadikan nak elak 'zina' semata-mata,
Kerana Perkahwinan ini benda mulia,
Apa, ingat kahwin ni hanya bicara pasal seks sahaja ke?

Maaf jika terkasar bahasa,
Saja-saja je

2 Mar 2009

Nukilan ABEJOES


Nukilan dari blog: http://abejoes.blogspot.com

Petikan dari seorang teman..

Allahu Rabbi
Aku minta izinBila suatu saat aku jatuh cinta
Jangan biarkan cinta untukMu berkurang
Hingga membuat lalai akan adanya Engkau

Allahu Rabbi
Aku punya pinta
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Penuhilah hatiku dengan bilangan cintaMu yang tak terbatas
Biar rasaku padaMu tetap utuh

Allahu Rabbi
Izinkanlah bila suatu saat aku jatuh cinta
Pilihkan untukku seseorang yang hatinya penuh dengan kasihMu
Dan membuatku semakin mengagumiMu

Allahu Rabbi
Bila suatu saat aku jatuh hati
Pertemukanlah kami
Berikanlah kami kesempatan untuk lebih mendekati cintaMu

Allahu Rabbi
Pintaku terakhir adalah seandainya aku jatuh hati
Jangan pernah Kau palingkan wajahMu dariku
Anugerahkanlah aku cintaMuCinta yang tak pernah pupus oleh waktu...

Ameen

12 May 2008

CINTA HAKIKI-Peringatan Bermakna Buat Diriku



CINTA HAKIKI
Oleh: Raihan

Telah lama cinta terbiar dari cinta yang suci
Telah lama cinta tersasar dari cinta hakiki
Kerana sekian lamanya manusia dibuai cinta nafsu
Kita sering menyangka cinta manusia itu yang sejati

Telah lama cinta terbiar dari cinta yang suci
Telah lama cinta tersasar dari cinta hakiki
Namun lupakah kita cinta nafsu selalu mngecewakan
Sering berubah tidak menentu seperti pantai dipukul ombak

Telah lama cinta terbiar dari cinta yang suci
Telah lama cinta tersasar dari cinta hakiki
Cinta kan Allah cinta sebenarnya
itulah cinta yang sejati
Kasihlah sesama manusia Kerana cinta yang hakiki
Hanya untuk Tuhan yang ESA

Telah lama cinta terbiar dari cinta yang suci
Telah lama cinta tersasar dari cinta hakiki
Cintakan Allah tiada kecewa
Engkaukan tenang diwaktu susah
Kembalilah kepada Tuhan
Dia kan tetap menanti
Kehadiran hambaNYA
Yang sebenar pasrah cinta kasih sayangNYA tidak bertepi

9 May 2008

Tanggungjawab Tanpa Cinta-SaifulIslam.com


“Kenapa mesti bercouple sebelum berkahwin?”, soal seorang ustaz dengan tegas.

“Mana mungkin sebuah rumahtangga mendapat keredhaan Allah jika permulaannya sudah tidak tentu hala!”, ujar seorang pendakwah dengan penuh yakin.

Segala nasihat tertuju kepada menyeru agar maksiat dihindarkan oleh mereka yang di usia muda. Jangan mulakan alam rumahtangga dengan dosa dan noda. Kelak binasa.

Tidak susah untuk memahami seruan ini. Itulah kehendak agama. Dosa tidak menjanjikan bahagia. Kebahagiaan letaknya pada ketaatan kepada Allah. Semua itu telah banyak saya ungkapkan di dalam artikel yang lalu. Sebahagian besarnya sudah termuat di dalam buku AKU TERIMA NIKAHNYA.

Dosa tidak menjanjikan bahagia.

Tetapi pastikah bahagia hanya kerana sudah terhindar dari dosa? Jika dosa itu derita, taat itu nikmat kebahagiaan, maka bahagiakah rumahtangga yang jauh dari dosa?

Soalan ini tidak boleh dijawab dengan bahasa praktikal oleh anak-anak muda yang baru menceburkan diri ke alam mencari dan memilih pasangan hidup. Perbincangan kali ini lebih merupakan sebahagian daripada tuntutan Begin with the End in Mind untuk mereka renungkan. Ada pun persoalan yang sedang saya ketengahkan ini, ia adalah untuk mereka yang sudah separuh atau suku jalan menempuh kehidupan berumahtangga.

Persoalan ini banyak mengganggu fikiran saya. Sedikit demi sedikit saya didatangi dengan kes-kes yang luar biasa. Mula-mula ia hanya sekali dua, tetapi lama kelamaan segalanya menjadi seperti timbunan tanah membentuk busut. Hingga tercetus suatu kebimbangan.

Satu demi satu rumahtangga retak dan ribut.

Bukan rumahtangga yang kotor dengan dosa. Bukan suami isteri yang lupa Tuhan. Rumahtangga ini adalah rumahtangga yang dibentuk menurut lunas-lunas Islam. Permulaannya bersih dari masalah pergaulan bebas, malah kedua pasangan ini ‘disatukan’ atas cita-cita Islam, dakwah dan perjuangan yang menemukan mereka.

Seorang ‘akhi’ dan seorang ‘ukhti’, dalam suasana taat kepada Allah… bersatu dalam sebuah Bait Muslim yang berslogankan Baiti Jannati (rumahku syurgaku). Perkahwinan mereka adalah apa yang diimpikan oleh setiap mereka yang mahu mencari separuh kesempurnaan beragama melalui jalan perkahwinan, yang terbina di atas asas taqwa.

Tetapi perkahwinan yang ideal ini sedang diuji. Sangka saya satu atau dua. Ia mungkin kes terpencil. Tetapi sedikit demi sedikit kes ini bertambah dan bercantum, hingga menghasilkan suatu kerisauan yang mendalam. Di manakah silapnya?

Terlalu sulit untuk saya lakarkan kes-kes yang membabitkan rumahtangga ini kerana ia amat sensitif. Rumahtangga seorang lelaki yang berfikrah Islam dan seorang perempuan yang berfikrah Islam, kecundang selepas perkahwinan menjangkau usia matang. Ada di antaranya yang membabitkan perbuatan-perbuatan suami, ada juga yang membabitkan masalah yang ditimbulkan oleh pihak isteri.

Ada suami yang berfikrah Islam, sama ada seorang ustaz mahu pun seorang profesional, mencemarkan rumahtangganya dengan perbuatan-perbuatan curang, bermain kayu tiga, malah ada yang menjadi abusive terhadap isteri dan anak-anak. Ada juga isteri yang berfikrah Islam, merosakkan rumahtangganya dengan perbuatan yang sama… hingga menjadi beban kepada fikiran saya untuk menanggung rahsia mereka.

Saya terpaksa beristighfar, menenangkan diri sendiri dan isteri, sebelum mampu untuk menyelami masalah seperti ini. Gerun dan kesah memikirkan rumahtangga sendiri. Segala yang diperlukan untuk membina rumahtangga dalam sebuah ketaatan telah dilakukan, tetapi saya sedang berdepan dengan insiden kehancuran rumahtangga seperti ini. Jika bukan silap berkaitan dosa dan taat kepada Allah, apa lagi yang tidak kena.

“Rumahtangga ini hanyalah sebuah tanggungjawab. Saya gagal menemui cinta. Saya tidak cintakan suami saya!”, salah satu kes yang saya tangani, tiba kepada jawapan yang dicari.

Saya kebingungan.

Biar pun kali ini jawapannya sungguh jelas dan terus kepada lubuk masalah, ia bukan satu atau dua kes, tetapi saya sedang menanggung beban kes yang berbilang.

akhiukhti.jpg



TIDAK BERTEMU CINTA

Jika mereka yang asyik berkasih sayang hingga lupa kepada batas-batas agama dalam sebuah pergaulan, nasihat lazim yang disampaikan kepada mereka adalah pada menyedarkan diri mereka tentang soal tanggungjawab. Perkahwinan bukan hanya soal cinta. Tanggungjawab harus dipikul bersama. Soal peranan masing-masing sebagai suami dan isteri, serta bakal ayah dan ibu mesti dilihat dari sudut agama.

“Kalau merancang perkahwinan, jangan rancang hanya ke pelamin, tetapi rancanglah hingga ke lampin!”, itu nasihat komprehensif saya kepada perkahwinan sepasang kekasih yang sebegini.

Tetapi bagi seorang Muslim dan Muslimah, yang mempunyai semangat agama yang tinggi, yang merelakan sebuah perkahwinan dibentuk tanpa pendahuluan yang lazimnya popular dalam masyarakat kebanyakan, terlalu berat untuk saya nukilkan, bahawa nampaknya mereka harus sedar bahawa perkahwinan bukan sekadar tanggungjawab. Ia harus diisi dengan cinta.

Cinta!

Bukan cinta ala Hollywood atau Bollywood, tetapi cinta yang itu. Perasaan yang mendatangkan bahagia.

Seperti kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi di dalam bukunya, Satu Rasa Dua Hati, tanda bahagia ialah apabila adanya tenang. Itulah cara mengukur bahagia. Bahawa di dalam sebuah rumahtangga, kebahagiaan itu boleh diukur dengan tahap ketenangan yang dikecapi oleh suami dan isteri. Jika suami beroleh tenang tatkala pulang ke pangkuan isteri, juga isteri hilang tekanan dan kerunsingan hidup tatkala pulang ke pangkuan suami, maka adalah tenang di situ. Adalah bahagia.

Sukar untuk saya ungkapkan bagaimanakah yang dikatakan sebuah rumahtangga tanpa cinta. Ini bukan kahwin paksa. Ia kahwin rela. Cumanya, demi menjaga agama, mereka tidak bercinta sebelum berumahtangga. Rumahtangga ini adalah rumahtangga orang sekarang yang mencuba resepi bercinta ‘orang dulu’, mengharapkan cinta selepas berkahwin, tetapi malangnya mereka gagal bertemu cinta.

collide.jpg

Izinkan saya meminjam kata-kata John Gray di dalam buku terbaru beliau yang mesti dibaca oleh mereka yang sudah menghadam buku awal Men Are From Mars, Women Are From Venus, iaitu buku Why Mars and Venus Collide:

“As I travel the world, teaching the Mars and Venus insights, I have witnessed a new trend in relationships linked to increasing stress. Both couples and singles believe they are too busy or too exhausted to resolve their relationship issues, and often think their partners are either too demanding or just too different to understand. Attempting to cope with the increasing stress of working for a living, both men and women feel neglected at home. While some couples experience increasing tension, others have just given up, sweeping their emotional needs under the carpet. They may get along, but the passion is gone.” (muka surat xiv)

Mereka bertahan, tetapi emosi, keinginan dan cinta itu hilang. Segalanya adalah soal tanggungjawab, tentang peranan… tiada perasaan, cinta dan belaian.

Entahlah…

Apakah kerana pengaruh filem, pengaruh persekitaran, pengaruh tempat kerja, atau silap tarbiyah oleh gerakan-gerakan Islam yang mengacukan mereka ini semasa duduk dalam gelanggang tarbiyah, persoalan tanggungjawab tanpa cinta menjadi punca keruntuhan rumahtangga.

Ada yang tidak percaya… menempelak saya kerana menimbulkan isu ini tanpa hujung pangkal. Sangkanya, saya mahu lelaki multazim dan perempuan multazimah ini bercinta dengan cinta mazhab Bollywood dan Hollywood. Tidak sama sekali.

Tetapi ada sesuatu yang masih dalam kerangka agama yang tidak kita sempurnakan, sekurang-kurangnya di peringkat menguruskan jodoh, sama ada oleh institusi Bait Muslim atau melalui medium keluarga.

MANIFESTASI

Kecacatan cinta dalam rumahtangga yang ‘Islamik’ ini terserlah, seawal tahun-tahun perkahwinan, malah boleh juga muncul selepas beranak pinak.

Suami akan berkahwin dua dengan alasan isteri pertama adalah pilihan jemaah manakala isteri kedua adalah pilihan hatinya! Isteri pula tanpa peruntukan agama untuknya menduakan suami, mencari cinta di luar.

Hubungan hambar antara dirinya dan suami, terubat dengan rakan sepejabat yang lebih understanding, lebih bijak mendengar dan memujuk, atau mungkin juga beralih minat kepada ustaz-ustaz dan ceramahnya. Asasnya, suami dan isteri, kedua-duanya mengkhianati perkahwinan pertama yang begitu ideal, kerana perkahwinan itu ada segalanya kecuali cinta!

TAQWA

Khutbah Nikah pada sunnahnya, terisi dengan ayat-ayat al-Quran yang dipilih dalam genre TAQWA. Ia adalah suatu peringatan daripada Nabi S.A.W bahawa rumahtangga yang diredhai Allah itu harus dibina di atas asas-asas taqwa. Persoalannya di sini, bagaimanakah kita memahami maksud taqwa?

Jika taqwa itu diertikan sebagai kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan-peraturan Allah, datang pula soalan yang kedua, apakah itu peraturan Allah? Bagaimanakah keseimbangan dalam beragama dapat dibuktikan dalam kepatuhan ini?

SYARIAT ALLAH

Himpunan peraturan Allah SWT diperturunkan melalui wahyu, terhimpun di dalam hukum yang lima. Persoalan wajib, mandub, harus, makruh dan haram, sentiasa diambil kira oleh sebuah rumahtangga yang dibina di atas asas Taqwa. Inilah yang diberikan penekanan selama ini, bahawa sebuah rumahtangga yang diredhai Allah SWT itu harus mematuhi ketetapan Allah yang dihimpunkan di dalam apa yang disebutkan sebagai SYARIAT ALLAH atau SYARIATULLAH.

Menjaga halal dan haram dalam perbelanjaan.

Memelihara peraturan-peraturan Allah dalam persoalan rukun Iman dan rukun Islam.

SUNNATULLAH

Tetapi peraturan Allah juga merangkumi hukum kedua yang disebut sebagai hukum alam. Peraturan yang ditentukan Allah sebagai sistem alam dan manusia yang menghuninya. Sebagaimana hard science menzahirkan hukum Sunnatullah melalui peraturan kimia, fizik dan biologi, maka begitu jugalah soft science menghimpunkan Sunnatullah melalui peraturan komunikasi, psikologi yang dalam hubungan percintaan, kadang-kadang orang sana menyebutnya sebagai chemistry!

Cinta bukan kefahaman. Bukan pengetahuan. Cinta tidak muncul sebagai hasil mengetahui pengertian ilmu cinta yang dicerna oleh akal. Tetapi cinta itu adalah hati dan perasaan. Allah mengurniakannya, dan manusia bertanggungjawab untuk mencari dan berikhtiar menyuburkannya.

Rumahtangga yang bersih dari dosa, adalah rumahtangga yang berjaya mematuhi Syariatullah, tetapi mungkin kehancuran itu masih melanda kerana Taqwanya tidak menyeluruh. Aspek-aspek Sunnatullah diabaikan.

1273.jpg

Seorang suami mungkin terlupa untuk melihat zaujah yang dikahwininya itu sebagai seorang perempuan. Perempuan itu, biar pun dipanggil sebagai ukti, atau dibahasakan sebagai enti, berjawatan ustazah, atau ketua Muslimat cawangan, dia adalah perempuan pada fisiologi, biologi, naluri dan perasaannya.

Mungkin selama ini suami lupa untuk membelainya, lupa menghargainya, lupa berusaha mengekalkan kehangatan perasaan di dalam sebuah rumahtangga. Suami yang ustaz, mujahid, haraki lagi manhaji ini, mungkin tidak serius dalam menelaah hadith-hadith Nabi SAW yang memperlihatkan passion baginda dalam mengekalkan suburnya cinta dalam sebuah rumahtangga.

Seorang isteri yang bersuamikan seorang pejuang, seorang ustaz atau seorang Ketua Cawangan sekali pun, tidak harus lupa bahawa suaminya itu tetap seorang lelaki.

Rumahtangga seorang akhi dan seorang ukhti, tetap sebuah rumahtangga seorang lelaki dan perempuan. Jika mereka bertaqwa dalam menjunjung Syariatullah, tinggal satu lagi persoalan, bagaimanakah pula Sunnatullah dalam hubungan mereka?

Sesungguhnya kejayaan menghindarkan diri dari pergaulan bebas serta bantuan institusi Bait Muslim, hanyalah ikhtiar kita untuk membina permulaan rumahtangga yang baik. Tetapi selepas berumahtangga, suami dan isteri harus peka dengan perkembangan emosi dan komunikasi masing-masing kerana ketaatan kepada halal dan haram hanya separuh dari maksud Taqwa.

Bagaimana dengan cinta? Bagaimana Sunnatullah ke atas lelaki dan perempuan yang dicipta-Nya?

Saya meratapi tragedi yang sedang merebak ini…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Demi meredakan keresahan jiwa kesan menulis dan membaca artikel ini, saya hadiahkan lagu di bawah ini untuk Ummu Saif yang saya kasihi sepenuh hati ini

You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video

Lyrics

TRANSLATION- Zawjati (My wife)
(as given in the album Da’ani)

I love you the way you are,
I love you the way you were,
No matter what did or will happen,
You are and will be my darling.

You’re my rightful wife, I care not about
Those who like to reproach and irritate me.
It is our destiny to be
Together eternally.

In my heart you instilled love
With grace and good deeds.
Happiness vanishes when you disappear,
Life brightens when you’re there.

Hard is my day
Until you return home.
Sadness disappears
When you smile.

Life turns black
When you’re upset,
So I work hard
To make your wish come true.

You’re my happiness.
May you be happy forever.
Our souls are united
Like soil and plants.

You’re my hope, my peace
My good company and inspiration.
Life is good, no matter how hard it is,
When you’re fine

Tahniah Buat AshabulYamin



Buat sahabat-sahabat seperjuangan ..untuk tatapan umum..Satu lagi marhalah telah ia lewati dalam mencatur strategi kemenangan ISLAM..Tahniah diucapkan kepada 2 mempelai Yamin dan Kak Emi..moga berbahagia hingga keanak cucu dan beroleh keberkatan pada umur perkahwinan untuk perjuangan Islam...

26 Apr 2008

"Aku Terima Nikahnya"-TALK SHOW

TALK SHOW NISA'

"Aku Terima Nikahnya"

Oleh :
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Tarikh :
11 Mei 2008 (Ahad)

Masa :
2.00 petang - 4.30 petang

Tempat :
Dewan Seminar, Masjid as-Syakirin, KLCC

Muslimin dan muslimat dijemput hadir
Makanan percuma disediakan

Hubungi :
019-2987252 @ 013-2009426 @ 017-9507685
(Unit Pembangunan Insan Nisa' WP)


Oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W, baginda bersabda:

"Allah Azzawajalla berfirman : Orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka mempunyai beberapa-beberapa mimbar dari cahaya, para nabi dan shuhada yang menyukai mereka "
(Riwayat Attarmizi)

30 Jan 2008

MUHASABAH SEORANG insan BERGELAR SUAMI

Oleh:Izwan A.H


Watikah Dari Langit

Seorang lelaki seharusnya menyedari bahawa dirinya menjadi pemimpin kepada kaum perempuan. Lelaki menjadi pemimpin kepada perempuan bukanlah atas perlantikan kaum perempuan yang dipimpinnya, tetapi perlantikan ini adalah dari Yang Maha Esa. Allah SWT telah pun memberi watikah perlantikan itu menerusi wahyuNya sebagaimana diawal surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum perempuan….”

Jika semua perempuan telah terpikul sebagai tanggungjawab kepada seorang lelaki, apatah lagi perempuan yang mendampinginya iaitu isteri. Sudah tentu isteri menjadi tanggungjawab yang khusus kepada seorang lelaki bergelar suami. Boleh jadi adil untuk mengatakan bahawa jika tanggungjawab terhadap isteri tidak terlaksana dengan sempurna apatah lagi diharapkan untuk bertanggungjawab kepada seluruh kaum perempuan. Kerana isteri boleh menjadi cerminan untuk menilai seorang lelaki.

Bagi seorang isteri pula ia seharusnya memahami betapa besarnya tanggungjawab yang telah Allah SWT amanahkan kepada suaminya sebagai seorang lelaki.


Tiga Peringkat Keperibadian Hawa

Pra-kepimpinan seorang suami terhadap isterinya adalah mengenali sifat keperibadian isteri. Al-Qur’an meletakkan tiga peringkat keperibadian seorang hawa.

Peringkat pertama ialah:
• anak-anak perempuan (al-Baqarah:49)
• semua perempuan di dunia (ali-‘Imran:42)
• golongan perempuan (an-Nisa’:23)
• saudara perempuan (an-Nur:31)
• lunak suaranya (al-Ahzab:32)
• suka mempamerkan diri (al-Ahzab:55)
• boleh melakukan hubungan kelamin (al-Baqarah:187)
• haid, monopous & idah (at-Thalaq:4)
• perbuatan emosi (al-Hujurat:11)

Peringkat kedua:
• dilibatkan dalam pembahagian harta peninggalan (an-Nisa’:12)
• dilibatkan dalam masalah kalaalah (an-Nisa’:176)
• perbincangan suami isteri (an-Nisa’:128)
• isteri Imran (ali-‘Imran:35)
• isteri Al-Aziz (Yusuf:30)
• isteri Firaun (al-Qasas:9)
• isteri Nabi Ibrahim (adz-Dzariyat:29)
• isteri Nabi Zakaria (al-Anbiyaa’:90)
• isteri Nabi Nuh (at-Tahriim:10)
• isteri Nabi Luth (at-Tahriim:10)
• isteri Abu Lahab (al-Masad:4)
• ibu Maryam (Maryam:28)
• memerintah negara (al-Naml:23)
• pengembala kambing (al-Qasas:23)

Peringkat ketiga:
• amar maaruf nahi mungkar (at-Taubah:71)
• mendirikan solat (at-Taubah:71)
• memberi zakat (at-Taubah:71)
• taat kepada Allah, taat kepada Rasul (at-Taubah:71)
• menyekat pandangan, memelihara kehormatan (an-Nur:31)
• tidak memperlihatkan perhiasan tubuh (an-Nur:31)
• tidak menghentak kaki untuk menunjuk perhiasan kaki (an-Nur:31)
• taat, benar, sabar, merendah diri, bersedekah, memelihara kehormatan, banyak berzikir (al-Ahzab:35)
• berhijrah, diuji dan berbaiah (al-Mumtahanah:10&12)
• membelanjakan harta pada jalan Allah (al-Baqarah:262)

Dari peringkat pertama kita diperkenalkan dengan sifat keperibadian umum yang ada pada semua kaum hawa. Seterusnya ada hawa yang mencapai tingkat kedua atas sebab hak perundangan (hukum) yang diberikan kepada mereka. Mereka juga mungkin memperolehi keistimewaan atau kedudukan tertentu kerana mengahwini suami yang berkedudukan. Malah ada dikalangan mereka ini yang mampu mentadbir organisasi atau yang berkerjaya, dalam erti kata mudah; mereka yang mempunyai kekuatan pada akal dan ilmu. Tingkat ketiga adalah hawa yang tunduk patuh pada perintah dan larangan Allah SWT, melakukan amal soleh serta berkorban untuk agamaNya.


Hala Tuju Kepimpinan Suami

Terpulang kepada suami tingkat keperibadian yang mana ingin dicapai untuk isterinya. Semuanya terletak pada kepimpinanan suami, insya’Allah. Jika suami menginsafi tanggungjawab kepimpinan yang dianugerahkan kepadanya, sudah tentu tingkat keperibadian yang ketigalah yang perlu dicapainya, lebih-lebih lagi kepada isteri sendiri.

Apabila seorang lelaki selesai berijab qabul bermakna dia sudah bergelar suami, lalu isteri yang bersamanya adalah satu amanah dalam ujian kepimpinannya. Siapa pun isteri yang diterima, tidak kiralah dia dari tingkat keperibadian pertama, kedua mahupun ketiga, suami tetap mempunyai tanggungjawabnya iaitu memimpin.

Bagi suami yang menerima isteri yang memiliki tingkat keperibadian pertama dan kedua, amanahnya memimpin isteri menuju ke peringkat keperibadian ketiga. Pada yang menerima isteri yang memiliki tingkat keperibadian ketiga, jangan merasa diri beruntung atau boleh ambil mudah, kepimpinannya lebih berat lagi iaitu untuk mengekalkan isteri sentiasa istiqamah ditingkat itu. Malah jangan dilupai, biarpun isteri ditingkat ketiga atau kedua, keperibadian tingkat pertama adalah sesuatu yang fitrah berada dalam diri si isteri. Kerana hakikatnya, tingkat mana pun yang dicapainya, kesemua peribadian itu berada dalam diri yang satu.


Al-Qur’an dan As-Sunnah Silibus Teragung

Al-Qur’an sebagai silibus teragung memberi panduan untuk rujukan suami dalam menjalankan amanah kepimpinannya. Kepimpinan suami boleh dianggap berjaya jika telah memimpin isterinya mencapai dan / atau mengekali peringkat keperibadian ketiga. Namun jika sebaliknya, suami mungkin menghadapi perkara-perkara yang akan menguji kepimpinannya. Allah SWT memberi panduan berdasarkan ayat berikut:

“…..Sebab itu maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka jangan kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesunggguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (an-Nisa’:34)

Tahap dalam menghadapi permasalahan isteri itu ada 3:
1. menasihati dengan segala cara sebagai usaha untuk melembutkan hatinya;
2. berpisah tempat tidur sebagai suatu dugaan kepada perasaan dan jiwa isteri agar ia kembali kepada kebenaran;
3. pukul secara maaruf yakni tidak mencederakan atau meninggalkan bekas di badan isteri juga mengelak dari memukul muka, dada atau perut.

Tahap ini tidak bermaksud dilakukan kesemuanya. Jika isteri boleh dihadapi dengan tahap pertama, maka tidak perlulah untuk tahap seterusnya. Kerana itu Allah memberi ingatan buat suami bahawa perkara yang sudah diselesaikan jangan suami pula menjadi penyebab permasalahan itu boleh berulang semula.

As-Sunnah Rasulullah SAW juga penting sebagai contoh ikutan yang terunggul. Beberapa kisah dari sirah Rasulullah SAW dapat dijadikan pengajaran yang perlu diambil si suami. Paling banyak adalah kisah-kisah Rasulullah SAW menghadapi pertanyaan demi pertanyaan dari kaum perempuan berhubung masalah kewanitaan mereka termasuk hal-hal yang pada kita terlalu sulit untuk dibicarakan sebagaimana kisah yang diriwayatkan sendiri oleh Saiyidatina Aisyah RA berikut:

Seorang wanita bertanya Nabi SAW: “Bagaimanakah cara orang perempuan mandi dari haidnya?” Perawi Hadith berkata: Kemudian Aisyah menyebutkan bahawa Baginda mengajarkan cara mandi kepada wanita tersebut. Di antara sabda Baginda: “Kemudian kamu ambil kapas yang disapu bauan kasturi, lalu kamu bersucilah dengannya.” Perempuan itu berkata: “Bagaimana cara bersuci dengannya?” Baginda bersabda: “Maha suci Allah! Kamu bersucilah dengannya.” lalu Baginda pun bersembunyi. Sufian bin Uyainah memberi isyarat kepada kami dengan meletakkan tangan pada wajahnya. Perawi Hadith melanjutkan ceritanya: Aisyah berkata: Aku menarik perempuan itu kerana aku sudah tahu apa yang dikehendaki oleh Nabi SAW. Lalu aku berkata kepada wanita tersebut: “Sapulah tempat keluar darah haidmu dengan kapas itu.”

Begitu juga terdapat kisah tuntutan-tuntutan kaum perempuan agar Rasulullah mengadakan kuliah khusus buat mereka. Dalam satu kisah yang mahsyur Rasulullah menghadapi seorang wanita tua yang selalu mengejeknya tatkala Rasulullah menggunakan jalan berhampiran rumah wanita tua itu. Hinggalah satu hari wanita tua itu tidak lagi mengejek Rasulullah ketika Baginda lalu dijalan yang sama. Rupanya wanita tua itu jatuh sakit dan Rasulullah menziarahi wanita tua itu. Dengan penuh kasih sayang, Baginda menyuapkan makanan kepada wanita tua itu yang sedang sakit itu sehingga menimbulkan keinsafan dihati wanita tua itu. Dan banyak lagi kisah Rasulullah dalam menghadapi kerenah kaum perempuan termasuk cubaan membunuh Baginda, namun Rasulullah tetap tampil bertindak sebagai seorang pemimpin yang unggul.

Rasulullah SAW juga tidak ketinggalan menghadapi kerenah isteri-isteri Baginda dalam menguruskan rumahtangga. Malah ada hal ehwal rumahtangga Baginda yang mendapat ‘perhatian’ hingga diturunkan wahyu sebagai pengajaran untuk sekalian umat. Antaranya surah at-Tahrim ayat 1-5 yang mengisahkan Rasulullah SAW pergi ke rumah Zainab al-Jahsyi dengan Baginda diberi minum madu lebah dan dikatakan bahawa duduk agak lama disitu. Hal ini mendatangkan rasa cemburu kepada Hafsah lalu menceritakan hal ini kepada Aisyah. Maka merekapun berpakat dengan satu jawapan yang sama. Maka apabila Rasulullah SAW mendatangi isterinya itu, dia mengatakan bahawa Rasulullah mulutnya berbau maghaafir (sejenis minuman yang berbau). Rasulullah menafikan, dan menjelaskan bahawa Baginda meminum madu di rumah Zainab.

Ini menyebabkan Rasulullah bersumpah tidak mahu minum madu lagi dan supaya Hafsah rasa senang hati dan minta Hafsah merahsiakan sumpah Baginda. Namun Allah tidak memperkenankan sumpahan itu. Barangkali Hafsah yang tidak tertahan kerana seronok terhadap janji Nabi SAW itu terus mengkhabarkan rahsia itu kepada Aisyah, lalu Allah memberitahu hal ini kepada Nabi SAW. Maka diriwayatkan bahawa Nabi SAW memboikot mereka selama sebulan.


Tunaikan Hak, Jauhi Penganiayaan

Isteri bukan sahaja perlu dipimpin, tetapi hak-hak insani seorang isteri juga perlu ditunaikan suami. Allah SWT mengisytiharkan hak-hak berikut sebagai tanggungjawab yang mesti dilaksana dan ditunai serta disempurnakan oleh suami:

• menggauli isteri (al-Baqarah:187)
• memberi makan dan pakaian (al-Baqarah:233)
• upah penyusuan (al-Baqarah:233)
• wasiat nafkah (al-Baqarah:240)
• pemberian mut’ah (al-Baqarah:241)
• menunaikan wasiat dan membayar hutang isteri (an-Nisa’:12)
• menggauli dengan cara yang baik (an-Nisa’:19)
• membayar mas kahwin (an-Nisa’:24)
• saling berkasih sayang (ar-Rum:21)
• bercerai mengikut masa ‘iddah (at-Thalaq:1)
• menyediakan tempat tinggal (at-Thalaq:6)
• nafkah dan upah penyusuan (at-Thalaq:6)

Tidak kurang juga ayat-ayat pertegasan agar suami menjauhi perbuatan penganiayaan terhadap isteri. Jika isteri diambil dan dihalalkan dengan nama Allah, maka Allah juga berbicara soal suami isteri dengan pengakhiran tentang kebesaran dan kekuasaanNya. Bentuk-bentuk penganiayaan kepada isteri yang mesti dijauhi adalah seperti ringkasan berikut:

• mengambil harta isteri (al-Baqarah:229)
• tidak adil dalam kasih sayang (an-Nisa’:129)
• ziharkan isteri (al-Mujadalah:2)
• rujuk dengan maksud memberi mudharat (al-Baqarah:231)
• menghalau keluar rumah (at-Thalaq:1)
• bersumpah tidak mencampuri isteri (al-Baqarah:226)


Mengelak Dari Fitnah Dunia dan Api Neraka


“…Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu….” (at-Taghabun:14)

Dalam al-Qur’an juga Allah SWT merakamkan peringatanNya buat para suami berhubung pentingnya mendidik isteri untuk menjauhi kemewahan dunia yang keterlaluan lagi mengundang kepada fitnah. Firman Allah SWT:

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasan (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (al-Ahzab:28)

Termasuk dalam perkara ini adalah peringatan kepada isteri dan kaum hawa agar menjaga penampilan diri sebagaimana yang terkandung dalam ayat berikut:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani…” (al-Ahzab:59)

Malah pada penegasan dalam ayat yang lain, Allah SWT mengingatkan tentang kehidupan di dunia menjadi penentuan balasan di hari pembalasan sebagaimana firmanNya dalam ayat berikut:

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka…” (at-Tahrim:6)

Juga dari hadith Rasulullah SAW yang memperincikan perkara tersebut:

“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda s.a.w ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah s.a.w menjawab, “mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumah tangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Apabila kamu melakukan kebaikan kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”

Perlu menjadi ingatan kepada isteri bahawa kebanyakan punca golongan mereka ke neraka hanyalah kerana perkara-perkara kecil yang tidak sewajarnya mereka lakukan terhadap suami. Malah kepada suami ini juga menjadi pengajaran bahawa pentingnya dia sentiasa memimpin dalam ruanglingkup yang ditetapkan oleh Allah SWT.

CABARAN KELUARGA DAKWAH DALAM ERA GLOBALISASI

CABARAN KELUARGA DAKWAH DALAM ERA GLOBALISASI (part 2) by Ustaz Alias Othman

Cabaran Membentuk Fikrah Pewaris.

Para du'at bertanggungjawab memastikan keluarga memainkan peranan berkesan dalam membentuk fikrah genarasi pewaris. Ini dapat di lakukan dalam berbagai bentuk. Namun yang paling penting ialah qudwah hasanah.

Ketua keluarga ( suami dan isteri) mestilah menjadi qudwah sebagai aktivis dakwah kepada pewaris. Mereka mesti menjadi contoh amali kepada pewaris. Ini adalah cabaran kepada ketua keluarga supaya sentiasa dapat menunjukkan penglibatan serius mereka dalam kerja-kerja dakwah. Kata pepatah Melayu:

"Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi".
"Bapa borek anak rintik".
"Mana mungkin ketam mengajar anaknya berjalan betul".
"Bapa kencing berdiri anak kencing berlari".
Kata pepatah Arab:

"Bahasa buat lebih fasih (mudah difahami) dari bahasa cakap."

"Yang tidak milik apa-apa tidak dapat beri apa-apa".

"Setiap orang akan membelanjakan apa yang ia ada".

Ketua keluarga yang gagal menjadi contoh sukar berjaya membentuk keluarga du'at dan sekali gus gagal membentuk genarasi pewaris.

Cabaran Hidupkan Suasana Dakwah.

Keluarga du'at tercabar untuk memastikan suasana dakwah sentiasa hidup dalam keluarga. Sebolehnya suasana yang mendominasi keluarga ialah suasana dakwah. Seluruh konsep, nilai dan neraca dalam keluarga mesti sejajar dengan nilai, konsep dan neraca dakwah. Cita-cita, cinta, bacaan, keutamaan-keutamaan dalam keluarga, rutin hidup harian, usaha mencari rezeki dan kekayaan, perbelanjaan, perbualan, aktiviti, hubungan-hubungan, hiburan, rekreasi, tetamu dan lain-lain semestinya tidak terpisah daripada dakwah. Kesemua ini secara natural akan berpindah kepada pewaris dalam keadaan yang cukup tabi'ie dan akan mendarah daging.

Realiti kita.

Setakat ini, realitinya, walau pun kita mampu mempertahankan yang wajib tetapi secara umum kita banyak menurun dalam banyak aspek. Malah dalam sesetengah perkara ada di antara kita yang telah jauh terbabas dari landasan.

Kehidupan Keluarga.

Daripada sudut kehidupan material secara rawak keluarga kita paling kurang telah mencapai tahap sederhana, malah ada yang kaya.

Daripada sudut pencapaian keluarga bahagia saya rasa majoriti keluarga kita dapat memastikan kebahagiaan berkeluarga. Tetapi tidak dapat dinafikan ada keluarga yang menghadapi masalah. Banyak kes-kes yang sampai kepengetahuan kami.

Daripada sudut pemeliharaan adab dan tata susila Islam kita masih dapat mempertahankan yang wajib-wajib. Tetapi dalam perkara fadzail dan warak kita telah banyak menurun. Dulu kita pakai furdah, sekarang kita pakai tudung tiga segi. Dulu kita pakai jubah, sekarang kita pakai seluar dan kemeja labuh atau pakai stail Hindi.

Pemeliharaan al-'afaf.

Daripada sudut pemeliharaan al-'afaf golongan bapa dan ibu saya yakin sebilangan besar kita dapat memeliharanya dengan baik dalam hubungan suami isteri dan dengan orang lain. Namun ada kes cinta warga tua di kalangan kita. Ia sampai membawa kepada perpecahan. Ia bukan hanya berlaku kepada orang kecil dalam dakwah, tetapi berlaku kepada orang-orang besar juga.

Perkahwinan kedua ikhwah tidak mengurangkan bilangan akhawat yang belum bersuami.

Di kalangan anak-anak, setakat yang saya tahu kita belum berjaya memastikan anak-anak memilih pasangan berdasarkan perjuangan dakwah. Kita belum berjaya memastikan percintaan mereka didasarkan di atas fikrah islamiah. Percintaan mereka masih sama dengan anak-anak orang biasa. Mungkin ada satu dua kes sahaja.

Menjajarkan Rumahtangga Dengan Dakwah.

Saya tidak banyak berjalan menziarahi rumah-rumah ikhwah dan akhawat. Jadi, saya tidak dapat satu gambaran jelas mengenai penjajaran kehidupan keluarga kita dengan kehidupan dakwah. Tetapi apa yang dapat kita saksikan, jemaah kita tidak semewah keluarga kita. Dakwah kita tidak mendapat perhatian daripada semua ahli sebagai mana rumah kita mendapat perhatian daripada semua kita.

Fenomena tidak berlaku pertambahan ahli, piramid keahlian yang terbalik, aktivis yang sama di semua program dan di semua peringkat, kelembapan tarbiah adalah petunjuk-petunjuk jelas kepada penjajaran yang tidak sempurna ini.

Membina Fikrah Pewaris.

Setakat ini mungkin bilangan anak-anak kita telah mencecah ribu. Sudah ada anak kita yang berusia 26 tahun. Alhamdulillah , telah ada di kalangan mereka yang aktif dalam dakwah. Namun bilangannya amat menyedihkan, terlalu amat sedikit. Yang sedikit itu pun belum mencapai kualiti yang sepatutnya. Belum ada di antara mereka yang layak di serahkan tugas yang lebih bermakna dalam sebuah harakah islamiah. Sedangkan anda dahulu, dalam usia mereka, telah mencapai satu tahap yang boleh diserahkan mas uliyah.

Bukan hanya setakat tidak cukup kualiti, tidak terlibat dalam kegiatan dakwah, malah ada anak-anak kita yang terbabas. Yang tidak berminat dengan amal dakwah mewakili majoriti anak-anak kita.

Penutup.

Sudah ada antara lita meredah kerja dakwah melebihi 30 tahun
Sudah banyak pahit maung dirasai
Sudah banyak pengalaman ditimba
Sudah ada antara kita yang menjengkau usia tua

Anak-anak sudah ramai yang meningkat usia remaja
Telah ada yang mencapai usia matang dan dewasa
Malah telah ada yang menimang cahaya mata
Tetapi, semuakah mereka berada dalam saf dakwah?.

Pernahkah kita bertanya pada diri
Sudahkah anak-anak terjamin akan mewarisi ?.
Ataukah sebenarnya mereka telah jauh sesat diri
Ataukah kita sendiri yang telah menyesal menjadi da'ie
Dan tidak lagi merestui anak mengikut jalan ini
Atau memang ia kecuaian diri

Anak-anak yang telah remaja,
Dulu kamu dikilik ke hulu ke hilir menghadiri program dakwah
Di dalam dan di luar negara
Kamu tidak tahu apa-apa
Tetapi kini kamu telah mampu menilai
Telah kamu tentukan di saf mana kamu berada

Mari kita renungi bersama,
Mari kita insafi semula
Semoga taufik yang maha esa.

Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam

Buat kaum HAWA..dari kaum ..ADAM

KAU YANG BERNAMA PEREMPUAN
ANDAINYA SUATU HARI NANTI
TAKDIRNYA KITA AKAN BERSAMA
MELAYARI BAHTERA KEHIDUPAN
USAH KAU IMPIKAN SELAUT SUTERA KEINDAHAN
JUGA USAH KAU HARAPKAN
KESEMPURNAAN MUTLAK DARI DIRI INI

AKU BUKAN SAIDINA ALI R.A
MAHUPUN SAIDINA UMAR R.A
AKU BUKAN SAIDINA UTHMAN R.A
MAHUPUN SAHABAT-SAHABAT YANG LAIN
BUKAN JUGA IMAM GHAZALI
ULAMA SUFI YANG TERPUJI
JUGA TIDAK MENCAPAI MARTABAT ALI JUMAH, RAMADHAN BUTI, YUSOF QORDAWI ATAU NURUDDIN AL-BANJARI

KAU YANG BERNAMA PEREMPUAN
MENGERTILAH DENGAN WARAS KEISLAMAN
AKU HANYALAH LELAKI AKHIR ZAMAN
YANG MASIH CUBA MEMPERTAHANKAN MARUAH
DAN KESUCIAN DIRI SEBAGAI MUSLIMIM
BERLANDASKAN GARISANNYA
DALAM MENGHARUNGI KEGAWATAN MASA KINI
YANG SERBA PALSU SERTA CUKUP MENJIJIKKAN
DENGAN KEMAMPUAN DIRI YANG TINGGAL SEKUMAN CUMA

KAU YANG BERNAMA PEREMPUAN
DEMI KERANANYA SEMATA
TIDAK KUTAGIH APA-APA DARIMU
CUMA KUPOHON SEBUAH PENGERTIAN
DAN KASIH SAYANG SUCI
BAHAWA AKU JUGA ADALAH AMANAH UNTUK DIRIMU
SEKIRANYA KITA DITAKDIRKAN BERSAMA...

Allah lebih mengetahui...

October 17, 2007 | Permalink | Com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger