30 Apr 2011

Rendahkan hatimu pada RABB-mu wahai hamba PENDOSA




Saat aku mengajukan apa tujuan kita di perhayatkan di muka bumi ALLAH swt ini . Maka jawapannya adalah -
Mengenal ALLAH swt. ALLAH adalah rahsia dan tersembunyi. Tetapi IA mahu dikenali. Maka diperlihatkan KEKUASAAN-NYA yang AGUNG melalui makhluk-makhlukNYA untuk direnungi. Alam ini dicipta untuk manusia mengenal akan TUHANnya. Sebab akal manusia terhad untuk memahami hakikat sebenar DZAT yang bernama ALLAH swt itu. Maka di alam rendah ini ALLAH zahirkan keAGUNGAN-NYA , KEKUASAAN KERAJAAN-NYA dengan ayat-ayatNYA yang dizahirkan dalam bentuk makhluk yang melata di ALAM jagat RAYA ini .

Maka sebab itu jualah kaum sufi mengisyaratkan ..untuk mengenal ALLAh swt maka kenalilah diri mu. Sebab manusia ini tempat ALLAH menyatakan diriNYA atau kita katakan sebagai limpahan sifat kesempurnaan NYA. Contohnya sifat ibu kepada anak-anak mereka menunjukkan sifat RAHIM-NYA; biarlah hati ibu itu dilukai anak-anaknya kemaafan tetap diberikan , kejadian makhluk bernama manusia ini sangat mulia dan yang paling sempurna. Dari kalangan manusia jugalah lahirnya MANUSIA AGUNG- Muhammad saw , bukan TUHAN tetapi UTUSAN-NYA yang DIMULIAKAN. Betapa manusia menyangka ALLAH itu jauh, sedang ia berada dalam diri mereka (pada perasaan bukan iktiqad) sahaja jika benar-benar ia sanggup rendahkan hati.

ALLAH mengingatkan hambaNYA..bahawa IA lebih hampir kepada hambaNYA , bahkan lebih hampir dari urat lehernya sendiri. Namun, bagaimana manusia merasakan ALLAH melupakan dirinya, tidak sayangkan dirinya, tidak berkuasa atas dirinya, tidak membantunya ketika susah?? Begitu buruk adab hamba kepada PEMILIK ALAM ini ; sebegitu rupa sangkaan buruk hamba kepada KHALIKnya, ZAT yang MULIA- ALLAH swt . Kenalilah dirimu , kadar dirimu yang hina, nescaya kamu akan merasakan betapa hampirnya DIA yang sangat KASIHKAN dirimu.

Aku menyoal dirimu, jawablah dalam hati dengan bahasa hati yang ikhlas:

-Dalam sehari betapa kamu INGAT akan diriNYA?
-Dalam sehari berapa kali kamu merasakan DIA memerhatikan dirimu,
-Dalam sehari berapa kali kamu merasakan setiap rezki yang kamu suapkan ke mulutmu adalah kurniaan dari NYA.
-Dalam sehari berapa kali kamu solat, yang solat mu kamu merasakan hadiah dari NYA atau kamu masih merasakan solat mu adalah dengan USAHA mu.???
-Dengan segala nikmat zahir dan batin ini berapa kerap kamu menzahirkan kesyukuran kepadaNYA?
-Sekali ingat TUAHN, kemudian banyak lupanya menjadi kebiasaan kamu bukan?
-dan apakah kamu mahu TUHANmu mendengar dan memakbulkan setiap isi hati kamu ?
-Dengan daya upaya yang menggerakkan kaki mu itu berapa kerap kamu merasakan ia dipergerakkan oleh ALLAH atau kamu masih merasakan kamulah memiliki kaki itu sehingga segala bentuk maksiat atau kebajikan kamu gunakannya tanpa segan silu kepada pemilik kaki itu ?

......
Renung ke dalam lubuk hatimu.

Beratnya lidahmu untuk dibasahkan mengingatiNYA, Dosa apakah yang menghitamkan jiwamu sehingga kamu langsung tidak merasakan kewujudanNYA dalam gerak dan diam mu? Kemaksiatan apakah yang mengelukan lidahmu sehingga berat ia mengungkap ALLAH setiap saat? Betapa kamu melupakanNYA sedang setiap saat dia bersama dirimu..tetapi kamu merasa perasan bahawa kamu sentiasa INGAT diriNYA dalam solat mu yang lalai dan penuh kesyirikan kepadaNYA? Kamu perasan kamu sudah selamat dari azabNYA dan selesa dengan banyaknya zikir, banyaknya ibadah , banyaknya solat sunat, banyaknya bacaan Quran ...dan tanpa disedari setiap amal itu bukan menambah dekat bahkan menambah banyaknya DOSA-DOSA kerana berbangga-bangga dengan amal . Dan kamu beralasan lagi dengan berbagai-bagai alasan dan dalih membenarkan kelalaian dirimu, kesombongan dan kejahilan yang kamu sendiri memilihnya tanpa ada orang memaksa.

ALLH swt sentiasa mengingatimu setiap saat , kelakuanNYA di zahirkan dalam setiap detik dari turun naik nafasmu, dari setiap perjalanan darah di segenap urat nadimu, dari setiap kehidupan sel yang terbenam dalam urat dagingmu, dalam setiap gerak tidurmu yang melindungi dirimu dari mara bahaya, dari setiap isipadu udara yang disedut, dari setiap gerak yang kamu usahakan...dari kehidupanmu yang dahulu, kini dan masa depan; dari kerdipan mata mu, dari senantiasa memanjangnya kuku dan rambut mu, dari tidak berhentinya kamu berpeluh, memancarkan air mani, mengeluarkan air liur, dari bergantinya setiap bulu roma mu yang tidak pernah berhenti berzikir..tunduk patuh gerun dengan keagunganNYa yang MAHA TINGGI. Semua nya patuh dengan ketetapan perjalanan yang telah di aturkan semenjak kamu dalam rahim IBU mu. Dia mengaturkan setiap saat tanpa melupakan dirimu.

Berapa pula ingatan dirimu wahai hamba tercela lagi penuh dosa dan hina kepada RABBmu yang MAHA MULIA LAGI TERPUJI? Dan kamu bersangka buruk pula setiap kali doa mu tidak dimakbulkan akibat kesusahan yang ditimpakan kepada mu , sedang RABBmu memberikan hadiah dugaan ini tanda ingatan kasih dan sayangNYA kepada dirimu yang lalai agar kamu kembalikan ingatan yang selain ALLAH; bslik hanya kepada ALLAH semula semata-mata. Betapa kamu merasakan dirimu lah yang HEBAT tanpa memandang ZAT YANG MAHA HEBAT. Kamu akan binasa sedang DIA KEKAL. Kamu hanya bayang, sedang DIA PEMILIK BAYANG. Wujud kamu diwujudkan, Ketahuilah sedang wujud ALLAH, SEDIA ADA. Kamu perasan kamu kaya; sedang seurat UBAN pun kamu tidak dapat tahan andai YANG MAHA KAYA mengaturkannya begitu.

Disediakan nikmat rezki yang tidak padan dengan nafsu mu - kamu mengeluh tidak bersyukur. Dikurniakan nikmat rezki yang menyenangkan hatimu - lupa langsung pula kepada TUAN PEMILIK REZKI. Menyombong kamu atas muka bumi merasakan kamu memiliki setiap yang dikurniakan kepadamu. Memandang rendah manusia lainnya. Betapa dunia menipu daya , betapa nafsu dan khayalan akal mu melupakan dirimu kepadaNYA wahai diri yang melampaui batas. Sesuai sangat TIMAH panas dituang dalam kerongkong, mata dan dua lubang telingamu.

Betapa sifat RAHMAN dan RAHIMNYA menjadikan kamu masih selamat dalam naungan NYA. Masih dihantar RASUL dan Quran sebagai peringatan bagi yang masih punyai hati , mata dan akal untuk merasa, melihat dan berfikir. Tidak hairan lah bagi yang mengenal RABBNYA sekenal-kenalnya sanggup berteriak di malam hari , merintih , mengadu ...memohon keampunan. sehingga bengkak-bengkak kaki. Mengenangkan nikmat yang tak terbilang , apakah sebanding atau setara dengan apa yang dikurniakan untuk diri mu selama hayat kamu wahai HAMBA PENDOSA.

Rendahkan hati, leburkan dirimu dalam ke wujudanNYA ---PENCINTA ILAHI ;yang sesiapa mengenalNYA pasti tidak berhenti-henti menangis dek mengenangkan sejarah kebiadaban diri mereka kepada ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG. Ingatlah , untuk sampai kepada ALLAH ikutlah pintunya...RASULULLAH SAW adalah pintunya....

9 Apr 2011

Sekilas : Dakwah Di Sabah

sumber:erakita

DAKWAH ISLAMIAH DI SABAH: ke arah pengumpulan data pendakwah terdahulu

11 Oktober 2009
ERAKITA mengucapkan tahniah kepada blog ABU NUHA CORNER di alamat http://abunuha.wordpress.com yang telah menyiarkan artikel pada 5 Oktober 2009 berkenaan usaha PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM) Cawangan Sabah untuk mengumpulkan maklumat dan data mengenai PENDAKWAH-PENDAKWAH ISLAM di Sabah. ERAKITA dalam rangka menyokong usaha murni ini dengan penuh rendah diri ingin berkongsi sedikit maklumat dalam artikel kali ini. Pengumpulan maklumat mengenai para pendakwah Islam yang telah menyumbangkan masa dan tenaga mereka dalam gerakan dakwah di Sabah suatu ketika dahulu amat wajar dilakukan. Jika tidak dilakukan sekarang, bila lagi dan siapa pula yang akan melakukannya.
Melihat kepada kepesatan peningkatan penduduk Islam di Sabah semenjak Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ditubuhkan pada penghujung 1969, tidak dinafikan lagi bahawa RAMAI sebenarnya individu yang telah terlibat dalam gerakan tersebut. Menariknya individu itu bukan saja dari kalangan para Ustaz, tetapi juga golongan SAUDARA-SAUDARA KITA yakni, orang-orang yang baru sahaja memeluk Islam pada ketika itu. Dalam tahun 1978 umpamanya, terdapat seramai 181 mubaligh atau tenaga pendakwah USIA bagi seluruh Sabah.
Ini belum lagi termasuk tenaga-tenaga pendakwah yang dilantik oleh MUIS selepas kerajaan BERJAYA mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah sejak 1976. Lebih menarik, pemimpin-pemimpin kerajaan, para pemimpin parti politik dan pemimpin masyarakat di peringkat daerah juga turut memainkan peranan penting dalam usaha dakwah tersebut. Kegiatan dakwah dan pengislaman besar-besaran di negeri ini begitu terserlah sekitar 1970-an dan 1980-an ketika kerajaan berada di bawah pentadbiran parti dominan iaitu USNO dan BERJAYA.
Fakta mengenai penglibatan aktif ramai individu dalam gerakan dakwah seawal tahun 1970-an di Sabah dapat diperkukuhkan dengan kejayaan gerakan dakwah yg didokong oleh USIA mengislamkan lebih dari 50,000 orang dari kalangan penduduk yang belum atau sudah beragama lain di Sabah. Bayangkan saja, satu fakta yang amat mengkagumkan dan mungkin juga patut dirakamkan dalam REKOD DUNIA dalam gerakan dakwah Islam di mana setakat 1973, lebih 50,000 telah berjaya diIslamkan dalam tempoh yg begitu singkat. Dalam satu kertas kerja bertajuk PERANAN USIA DALAM MEMBINA AGAMA ISLAM DI SABAH yang ditulis oleh Allahyarham Datuk Hj. Ag. Sahari bin Abdul Latif, beliau menyebutkan:
Alhamdulillah, gerakan dakwah yang telah dilancarkan itu mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga bilangan mereka yang telah memeluk agama Islam lebih dari 50,000 orang dewasa lelaki dan perempuan. Ini tidak termasuk kanak-kanak. Kalau dijumlahkan dengan kanak-kanak, bilangannya hampir 100,000 orang. Maka dengan yang demikian, peratus bilangan penduduk Islam Negeri Sabah telah meningkat kepada 52%.
Usaha para penggerak dakwah yang ramai itu tidak sia-sia apabila penduduk Islam yang pada asalnya hanya dalam lingkungan 38 peratus pada tahun 1960-an, tiba-tiba mencapai lebih 50 peratus pada tahun 1973. Tidak cukup dengan itu, hasil yang begitu mengkagumkan dapat dicapai apabila lebih dari 2/3 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah adalah beragama Islam. Ini satu lagi sejarah bagi Negeri Sabah apabila DUN Sabah dilambaki oleh ADUN Islam ketika itu. Ramai ADUN bukan Islam telah memeluk Islam hasil usaha gerakan dakwah secara intensif tersebut. Bilangan ADUN yang beragama Islam pada 1972 telahpun mencapai 2/3 dari keseluruhan bilangan ADUN di Sabah. Keadaan ini jugalah yang telah menjadi satu rahmat buat Sabah apabila usul menubuhkan MAJLIS UGAMA ISLAM SABAH (MUIS) di DUN Sabah pada 26 April 1972 tidak mendapat sebarang masalah.
Lebih menarik lagi bahawa para penggerak dakwah yang aktif itu termasuklah juga dari kalangan PEMIMPIN parti politik dan ADUN sendiri. SINAR USIA terbitan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan HIKMAH terbitan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), dua Majalah dakwah tersohor sekitar 1970-an dan 80-an di Sabah menjadi bukti jelas bagaimana ADUN-ADUN sendiri terlibat secara langsung dengan gerakan dakwah tersebut.
Tidak hairanlah mengapa usul memasukkan Artikel 5(A) dalam Perlembagaan Negeri Sabah yang menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Negeri Sabah berjaya dibawa ke DUN dan diluluskan tanpa bantahan lagi. Ketika itu, bantahan tidak kedengaran lagi kerana majoriti ADUN ketika itu adalah orang Islam. Suasana ini jauh sekali berbeza 10 tahun sebelum itu apabila para pemimpin Sabah yang majoritinya dari kalangan bukan Islam mengemukakan syarat ketat untuk pembentukan Malaysia. Syarat tersebut terkandung dalam 20 PERKARA yang telah telah dibincangkan secara terperinci di peringkat Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC) sebelum pembentukan Malaysia.
Perkara pertama dalam 20 PERKARA itu adalah berkaitan dengan agama Islam. Inilah PERKARA PERTAMA DAN TERATAS sekali dalam 20 perkara itu. Hal ini mungkin tidak disedari oleh sebahagian besar dari umat Islam ketika memperkatakan hak-hak Sabah dalam Perkara 20. Perkara mengenai agama itu menyatakan bahawa sementara tiada bantahan bahawa Islam adalah agama kebangsaan Malaysia, Borneo Utara pula hendaklah tidak ada agama negeri, dan peruntukan-peruntukan berkenaan Islam dalam Perlembagaan Malaya yang sedia ada hendaklah tidak terpakai kepada Borneo Utara. Sebagai makluman, Borneo Utara adalah nama bagi Negeri Sabah sebelum merdeka pada tahun 1963.
Hakikat bahawa wujudnya SYARAT membentuk Malaysia di mana ISLAM BUKAN AGAMA RASMI DI SABAH dikatakan sebagai antara syarat yang PALING BERAT untuk diterima oleh umat Islam ketika itu. Namun, memandangkan bilangan umat Islam ketika itu hanyalah sekitar 38 peratus, syarat tersebut mahu tidak mahu terpaksa juga diterima. Ini kerana, jika tidak diterima, bermakna Sabah menghadapi halangan besar untuk turut sama dalam pembentukan Malaysia.
Kemuncaknya, Sabah bersama-sama Sarawak, Singapura dan Malaya membentuk Malaysia pada 16 Spetember 1963 di mana akhirnya sejarah mencatatkan bahawa Perlembagaan Negeri Sabah tidak memasukkan peruntukan bahawa Islam adalah agama rasmi negeri ini sebagaimana negeri-negeri lain. Hal ini berlanjutan selama 10 tahun bermula tahun 1963.
Ketiadaan Agama Rasmi bagi Sabah selama 10 tahun sesungguhnya telah memberi ruang seluas-luasnya kepada agama lain untuk menyebar dan mengembangkan agama mereka di kalangan penduduk di negeri ini. Tidak hairanlah mengapa dalam tempoh tersebut banyak sekali rumah-rumah ibadat agama-agama berkenaan berjaya didirikan di sana sini. Peratus pertumbuhan penganut agama lain juga begitu terkehadapan berbanding agama Islam sendiri dalam tempoh tersebut.
Hanya pada tahun 1973, baharulah Islam dapat dijadikan agama rasmi bagi Sabah setelah pindaan dalam perlembagaan Sabah berjaya dilakukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Sesungguhnya kejayaan menjadikan Islam sebagai agama rasmi Sabah 10 tahun kemudiannya adalah hasil usaha bersungguh-sungguh pada pendakwah Islam ketika itu. Masing-masing merasakan bahawa mereka mempunyai peranan besar untuk membanyakkan bilangan umat Islam di Sabah ketika itu.
Kesan daripada kejayaan menjadikan Islam sebagai AGAMA RASMI SABAH dapat dilihat pada hari ini. Akhirnya Islam hari ini menjadi agama yang dominan di Sabah. Tidak syak lagi bahawa penghormatan dan penghargaan tinggi wajar diberikan kepada Bapa Kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun atas sumbangan besar beliau sehingga Islam mencapai kejayaan besar dan gemilang itu di bumi Sabah.
Laporan dari Jabatan Perangkaan Negara bagi tahun 2000 sahaja menunjukkan bahawa penganut Islam di Sabah sudah mencapai 63.7 peratus. Menariknya, dari 14 buah negeri di Malaysia, Sabah kini berada di TANGGA KE-7 sebagai negeri yang paling ramai penduduk Islam. Dari segi fakta, Sabah yang dikurniakan lebih 30 suku atau etnik sudah jauh meninggalkan negeri-negeri di Semenanjung seperti Negeri Sembilan (58.6 %), Selangor (55.7 %), Perak (53.9 %), Johor (58.8 %), Pulau Pinang (44.2 %), Sarawak (31.3 %) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (46.2 %). Itulah bancian Jabatan Perangkaan yang meliputi peratusan penganut Islam bagi semua negeri di Malaysia 10 tahun lepas.
Dengan perkembangan gerakan dakwah yang pesat di alaf 2000, diikuti kemasukan orang bukan Islam ke agama Islam yang berlaku hampir setiap hari di Sabah, di samping siri pengislaman kecil-kecilan mahupun besar-besaran yang masih lagi berlangsung di Sabah ketika ini, tidak mustahil bahawa statistik penduduk Islam dalam laporan bancian kependudukan oleh Jabatan Perangkaan Negara untuk tahun 2010 akan bertambah lagi. Tidak memeranjatkan kalau nanti peratusan penduduk Islam akan meningkat kepada sekitar 65-70 peratus tahun hadapan. Andai jangkaan ini menjadi realiti, tidak mustahil kedudukan Sabah dari tangga ke-7 akan naik ke tangga ke-6 atau ke-5 sebagai negeri paling ramai penduduk di Malaysia. Sama-sama kita nantikan laporan bancian kependudukan oleh Jabatan Perangkaan Negara yang dijangka dikeluarkan pada tahun hadapan.
Berbalik kepada usaha PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM) Cawangan Sabah untuk mengumpulkan maklumat mengenai tokoh-tokoh dakwah di Sabah, ia dilihat sebagai satu usaha murni dan memang wajar disokong. Kaedah dan semangat dakwah para pendakwah terdahulu boleh dijadikan kayu ukur dan iktibar untuk generasi pendakwah di Sabah hari ini untuk memikirkan kaedah dan strategi dakwah yang bersesuaian pada zaman. Sementara masih ramai di kalangan para pendawah tersebut yg masih hidup, amat sesuailah kalau usaha ini digerakkan mulai sekarang.
Maklumat yang lebih tepat dan telus akan lebih mudah diperolehi dari individu-individu berkenaan. Pepatah Orang Putih ada mengatakan “STRIKE THE IRON WHILE IT IS HOT “. Maknannya, nak pakai penggosok baju (Strika), biarlah masa ia masih panas supaya kehalusan baju lebih berkualiti dan cantik. Dengan kata lain, untuk mendapatkan maklumat utama dan tepat, biarlah dari individu-individu tersebut sendiri selagi mereka masih hidup.
Untuk makluman anda semua, selain mendapatkan maklumat secara terus dari individu-individu berkenaan yang masih hidup, beberapa buah buku yang bermaklumat berkaitan gerakan dakwah dan tokoh-tokoh dakwah di Sabah juga boleh membantu dalam usaha ini. Berikut adalah sebahagian dari beberapa buah buku atau rujukan yang boleh membantu:
  • Abdullah Hussain, Tun Mustapha Bapa Kemerdekaan Sabah: Sebuah Biografi, Kuala Lumpur, M.F.I, 1976.
  • Subky Latif, Sebahagian Dari Memoir Tun Datu Mustapha: Merdeka Melalui Malaysia, Kuala Lumpur, Penerbit Pustaka Antara, 1981.
  • Muhiddin Yusin, Islam di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
  • Yahaya Ismail. (1986). Politik Islam di Sabah. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif.
  • Ismail Yusoff. (2004). Politik dan agama di Sabah. Bangi Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Ainol Jamal. (1989). Islam di Sabah tertindas. Sabah: Penebitan Tinta.
  • Sahari Abdul Latif, Mana Bendera Saya?, Sabah, Institut Penyelidikan Sastera Sabah (INPES), Cetakan kedua 2006.
  • R.M Jasni, Memoir Anak Sisa Peperangan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Jeffrey G. Kitingan & Maximus J. Ongkili (e.d), Sabah 25 years later: 1963-1988, Institute for Development Studies (Sabah), 1989.
  • Jeffrey G. Kitingan, Justice for Sabah, Shelma Publications and News Agency, Lahad Datu, Sabah, 2006.
  • Patrick bin Sindu & Abdul Malek Unar, Isu 20 pekara: Jaminan dan perlindungan, STUDIO 3, Kota Kinabalu, 1993.
  • Sabihah Osman. (1985). Pentadbiran peribumi Sabah 1881-1941. Bangi Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Sabihah Osman, Ismail Ali & Baszley Bee B., Tun Datu Hj. Mustapha bin Datu Harun: Jasabaktinya dalam pembangunan sosial Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Sabah, 2006.
  • Abdul Hadi Harman Shah, Junaenah Sulehan, Mohamed Yusoff Ismail, Nor Azizan Idris & Zahra Yaacob, Tun Mustapha dan pembangunan Sabah, Yayasan Sabah, 1st Edition, Sabah, 2003.
  • Buku Cenderahati Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, Sempena Sambutan Jubli Perak ke 25 Tahun SUIS Tambunan, Julai 2001.
  • Jenar Lamdah, Datuk Harris Mohd. Salleh dengan politik Sabah, Affa Sendirian Berhad, Kuala Lumpur, 1981.
  • Johari Alias, How Islam spread to Sabah in Cenderamata Sabah State Mosque, in conjunction with the official opening of the Sabah State Mosque by His Majesty the Yang Di Pertuan Agong on 28th. June 1977.
  • Herman J. Luping, Sabah dilemma: The political history of Sabah (1960-1994), Magnus Books, Kuala Lumpur, 1994.
  • Cesar Adib majul, Islam di Filipina, (Terjemahan dari Bahasa Inggeris oleh Shamsuddin Jaafar), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1988.
  • L.W. Jones, The Population of Borneo,: A Study of the Peoples of Sarawak, Sabah and Brunei, Opus Publications, Sabah, 2007.
  • Hamdan bin Aziz, Parti politik USNO & BERJAYA di Sabah, 1961-1996, Unpublished Thesis Master of School of Science Social, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, 2005.
  • Ismail Mat, “Haji Muhammad Suhaili Haji Yaakub” in Ismail Mat, (ed), Ulama silam dalam kenangan, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1993.
  • Maidis Pongot, Gerakan Dakwah Islamiyah Di Daerah tambunan Sabah Selepas Merdeka Sehingga 1989: Penumpuan Kepada Zaman USNO-SCA, Berjaya Dan PBS (Kertas Projek) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1989.
  • Suraya Sintang. (2007). Kehidupan beragama masyarakat Kadazandusun. Sabah: Universiti Malaysia Sabah.
  • Saif @ Shaifuddin Hj. Daud, Transformasi Sosial Menerusi Islamisasi; Satu Kajian Kes Di Kalangan Orang Dusun/Kadazan Di Ranau Sabah (Tesis Master Sains Pembangunan), Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Sabah, 1993.
  • Shaifuddin Hj. Daud, MUIS: Penubuhan Dan Kegiatannya Sehingga Tahun 1981, (Latihan Ilmiah), Jabatan Dakwah Dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1983/1984.
  • Buku Cenderahati, Sambutan 30 Tahun 1978-2008 JAKIM Cawangan Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sabah, 2008.
  • Jamil Hj. Hamali (ed), Islam di Borneo: Sejarah, Perkembangan Dan Isu-Isu Kontemporari, Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, 2009.
Sesungguhnya perbincangan mengenai perkembangan gerakan dakwah Islam di Sabah sebelum merdeka dan selepas merdeka tidak memadai untuk dimuatkan dalam artikel yang seringkas ini. Setakat yang diketahui, ERAKITA mendapati bahawa kajian-kajian ilmiah di universiti tempatan yang dilakukan berkenaan perkembangan Islam di Sabah hanyalah setakat tahun 1993. Belum ada kajian ilmiah di peringkat Master atau Ph.D yang mengkhususkan perkembangan Islam di Sabah selepas 1994, zaman selepas kejatuhan pemerintahan PBS di Sabah. Dalam hal ini, ERAKITA berpendapat bahawa kajian secara terperinci mengenai perkembangan Islam di Sabah selepas 1994 wajar dilakukan oleh para sarjana di Malaysia dan khususnya bagi sarjana-sarjana dari Sabah sendiri.
Sesungguhnya, semenjak 1994 sehingga kini, banyak sekali perkembangan yang berlaku di negeri Sabah. Kemunculan pelbagai persatuan, organisasi dan pertubuhan Islam di Sabah sejak akhir-akhir ini nyata sekali merancakkan lagi perkembangan dakwah Islam di Sabah. Pegawai-pegawai dakwah agama dan tenaga sukarelawan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang tidak putus-putus menyalurkan tenaga dan masa mereka untuk bergerak ke seluruh pelusuk negeri untuk berdakwah tidak dapat dinafikan lagi banyak membantu merancakkan perkembangan Islam di negeri ini. Kewujudan saluran informasi terkini seperti laman web dan blog-blog berunsur dakwah di negeri ini dilihat begitu berkesan menyalurkan maklumat dan perkembangan-perkembangan terkini dakwah Islamiah di Sabah.
Akhir sekali, ERAKITA mengucapkan tahniah sekali lagi kepada blog ABU NUHA CORNER atas artikel yang amat bernilai itu dan usaha PUM Cawangan Sabah kerana menggerakkan usaha yang amat murni ini. Semoga usaha tersebut dipermudah lagi diberkati Allah AWT.

DAKWAH SEPANJANG ZAMAN

3 Apr 2011

PERSAUDARAAN-PINTU KEPADA KEKUATAN ISLAM

SUMBER:http://zawiyahsam.com

Perpaduan adalah asas bagi ajaran Islam kerana ia bukannya sekadar membina hubungan manusia dengan Allah semata-mata tetapi kita juga diseru supaya mengukuhkan hubungan baik sesama manusia dan mahkluk-mahkluk yang lain. Ini dapat dilihat secara jelas dalam maksud firman Allah SWT yang berbunyi:


"Ditimpa kehinaan ke atas mereka walau di mana mereka berada melainkan mereka berpegang teguh dengan agama Allah dan menjalinkan hubungan baik sesama manusia." (Surah Ali-'Imran : 112)


Untuk membina perpaduan sesama umat Islam, Allah SWT menggambarkan bahawa setiap orang Islam itu bersaudara antara satu sama lain yang mana asas persaudaraan itu bukan sekadar dari hubungan tali persaudaraan keluarga atau satu bangsa tetapi disatukan dengan tingkatan akidah dalam Islam seperti firman Allah SWT:


"Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara." (Surah Al-Hujurat : 10)


Ayat di atas menggambarkan kepada kita bahawa umat Islam mendapat pengiktirafan dari Allah SWT sebagai saudara seagama, yang banyak hak yang perlu dipelihara bersama-sama.


Dalam Al-Quran banyak ayat yang menggalakkan kita sebagai seorang Muslim untuk menghormati saudara sesama Islam, bukan sekadar memelihara dari segi pergaulan dan tutur bicara, malah dalam segala aspek ekonomi dan keseimbangan kehidupan sosial juga, meletakkan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.


Dalam syariah Islam, setiap umat bukan sekadar disuruh untuk melakukan ibadah sembahyang, puasa, haji dan sebagainya sebagai pengabdian kepada Allah SWT semata-mata, tetapi digalakkan juga kita melakukan secara berjemaah dan bersatupadu dengan matlamat yang sama iaitu mencari keredhaan Allah SWT. Malah dalam aspek pembinaan masyarakat Islam itu sendiri, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Baginda Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan dan kedudukan sosial mereka. Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa belum pernah berlaku penyatuan satu umat yang besar melainkan kejayaan Baginda Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam membina ketamadunan umat dalam tempoh yang pendek dan mengabungkan pelbagai fahaman agama yang berbeza kepada agama Islam.


Malah belum pernah berlaku dalam mana-mana sejarah dan peradaban kehidupan manusia ketika itu, di mana orang dari golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba sahaya sehingga sanggup berkorban nyawa, disebabkan perasaan kasih sayang yang teramat menusuk dalam sanubari mereka, seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a dengan Saidina Bilal bin Rabah r.a. Malah setiap sahabat dapat merasai akan nikmat dari perpaduan serta persaudaraan berteraskan agama Allah. Ini dapat dilihat dari hadis Baginda Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam:


"Tidak ada kebaikan orang Arab ke atas A’jami (bukan Arab) melainkan yang bertaqwa."


Walaupun persaudaraan merupakan satu lambang keamanan sejagat untuk umat manusia menggembleng pemikiran dan tenaga untuk mengimarahkan dan memakmurkan dunia ini dengan berteraskan konsep tauhid dan ilmu pengetahuan, namun terdapat unsur-unsur dalaman dan luaran yang akan mengagalkan misi umat sebagai khalifah di dunia ini.

Unsur-unsur dalaman terdapat dalam diri setiap insan yang mendorong ke arah sangkaan buruk dan cemburu di atas kejayaan saudaranya. Tidak cukup sekadar itu, sikap hasad dan dengki mendorong manusia terus berusaha dengan bersungguh-sunguh untuk memusnahkan kejayaan saudaranya itu. Sifat-sifat seperti ini adalah merupakan satu penyakit umat Islam masa kini yang semakin parah sehingg umat Islam kini menderita dan gagal bersaing denga bangsa lain yang beragama lain. Maka tidak hairanlah terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang melarang kita dari bersifat sedemikian. Sebagai contoh, baginda Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam pernah bersabda:


"Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti mana api memakan daun kering." (Hadis Sahih)


Faktor luaran pula, sebagai contohnya, pelbagai hasutan dan khabar agin yang sengaja diada-adakan agar umat Islam sentiasa bergaduh dan bermusuhan antara satu sama lain, supaya benteng persaudaraan ini ranap dan roboh begitu sahaja.

Akhirnya, umat Islam yang mendakwa menganuti agama yang sempurna, tidak lagi dapat membawa apa-apa kesan dan keutuhan kepada umat Islam itu sendiri. Apa yang terjadi ialah satu demi satu, sama ada negara atau bangsa akan tersungkur tunduk patuh kepada orang kafir, sama ada kepada orang Yahudi, Kristian mahupun Komunis.


Sebenarnya umat Islam hari ini amat mengharapkan mana-mana negara umat Islam yang belum ditimpa kemelut ini menghulurkan bantuan dan memerdekakan mereka dari penjajah-penjajah Barat, yang semakin memeras dan menindas umat dan kesucian Islam. Sudah ramai yang menjadi penonton sepi di atas penderitaan umat Islam. Kalau bukan orang Islam sendiri yang datang menebus kesucian dan maruah umat Islam, siapa lagi? Oleh itu marilah kita merendahkan diri dan bertekad untuk mengembalikan kekuatan umat Islam yang semakin terhakis dan ingatlah orang Islam itu saudara kita, bukan musuh kita dan kita akan dipersoalkan dihadapan Allah SWT di akhirat kelak mengenai tanggungjawab yang telah kita jalankan terhadap saudara seagama kita.

LAPORAN PEMBELA TERHADAP SIKAP MELAMPAU SESETENGAH PENGANUT KRISTIAN


Kenyataan ini dibuat memandangkan sikap kumpulan-kumpulan Kristian akhir-akhir ini yang terlalu provokatif dan melampau-lampau dalam menangani isu Bible Bahasa Melayu. Sikap dan cara ini yang tercermin dalam tindakan membuat laporan polis secara berkumpulan serta pelbagai kenyataan-kenyataan kasar yang amat menghiris hati umat Islam di negara ini. Keadaan ini jika dibiarkan akan membawa kepada salah satu daripada dua kemungkinan yang buruk; sama ada, pertamanya, tekanan dan provokasi berterusan ini akan menyebabkan para pemimpin politik negara akan merasa lemah dan mengalah lalu memberi apa sahaja yang diminta oleh kumpulan ekstrimis ini tanpa mengira kedudukan dan kedaulatan Islam di dalam perlembagaan, sejarah dan budaya negara atau yang kedua, provokasi dan pelanggaran berterusan terhadap perasaan dan sensitiviti umat Islam ini akan mencetuskan ketegangan dan mengundang reaksi daripada kelompok Islam yang mungkin sukar dikawal dan dibendung oleh sesiapa.


BARISAN WAKIL2 NGO YANG BERISAP SEDIA MEMPERTAHANKAN SEBARANG UNSUR MENGANCAM KEDAULATAN ISLAM DI MALAYSIA
(TIADA LAGI AHLI POLITIK YANG DIBENARKAN MEMBUAT SESUKA HATI MENGGADAIKAN ISLAM DEMI KEPENTINGAN POITIK SEMPIT MERERKA)

Atas kesedaran ini, kami pimpinan-pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam utama dan arus perdana negara ini telah bersatu di bawah Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang berperanan sebagai platform penting dalam menyelaraskan suara umat Islam demi mengelakkan senario-senario buruk seperti yang dihimbau di atas.


PEMBELA menegaskan bahawa umat Islam di negara ini adalah umat berdaulat. Islam di Malaysia bukannya anak yatim piatu ataupun anak tiri yang tiada penjaga dan pelindung. Di samping perlindungan hakiki daripada Allah Rabbul Jalil, Islam di Malaysia sejak sekian lama dan sebelum Merdeka lagi telah menempati kedudukan yang istimewa dan dilindungi oleh perlembagaan, undang-undang, Raja-Raja Melayu, para pemerintah dan umatnya. Ini menjadi salah satu faktor asasi disebalik kestabilan dan kemakmuran negara walaupun berhadapan dengan komposisi kaum dan agama yang begitu rencam dan pelbagai. Walaupun masih terdapat sedikit-sebanyak kelemahan dan kegelinciran, umat Islam di Malaysia masih setia mempertahankan persefahaman ini demi keamanan, kemakmuran dan keadilan untuk semua. Tetapi harus diingat, jika formula ini hendak diganggu-gugat oleh sesiapa atau mahu digadaikan untuk kepentingan sementara mana-mana kumpulan, PEMBELA dan umat Islam tidak akan hanya berdiam diri dan akan berjuang untuk mempertahankan apa yang hak.


Khusus berkenaan dengan isu terkini iaitu sejumlah Bible berbahasa Melayu yang hendak dibawa masuk ke negara kita, PEMBELA menegaskan pandangan dan pendirian berikut :-


1. Kepada Pihak Kumpulan-kumpulan Kristian.


Kami ingin mempersoalkan sampai ketahap manakah mereka hendak memprovokasi dan memanipulasi isu ini? Adakah mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka ini amat menghiris perasaan umat Islam?


PEMBELA menuntut agar kumpulan-kumpulan Kristian terbabit kembali menghormati persefahaman yang ada di kalangan penganut-penganut agama yang berdasarkan Perlembagaan negara, peruntukan undang-undang dan pelbagai keputusan-keputusan rasmi. Ini termasuklah Artikel 3(1), 11(4) dan enakmen-enakmennya, Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu kalimah Allah, larangan Mahkamah terhadap penggunaan kalimah Allah selagi rayuan belum diputuskan, dan Keputusan Kabinet 1986 tentang import masuk Bible berbahasa Melayu.


PEMBELA berpendapat bahawa kumpulan 35,000 Bible tersebut tidak patut dibenarkan untuk edaran kerana bercanggah dengan peruntukan-peruntukan di atas. Keputusan awal kerajaan sudah merupakan suatu kompromi yang sebenarnya sudah melampaui peruntukan-peruntukan ini. Oleh itu sikap keras dan degil pihak Kristian terhadap keputusan awal kerajaan ini adalah sangat-sangat mendukacitakan. Apatah lagi jika diambil-kira kitab Al-Quran sendiri dikawal cetakan dan sebarannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ini adalah prosedur biasa dan menuduhnya sebagai suatu kesalahan besar yang mencemar kesucian Bible adalah suatu tuduhan yang liar dan tidak bertanggungjawab.


PEMBELA juga menyeru agar kumpulan-kumpulan Kristian menghentikan pendekatan konfrontasi dan sebaliknya menggunakan saluran perbincangan yang ada seperti Jawatankuasa Kerja Mempromosi Persefahaman Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) yang ditubuhkan oleh kerajaan dan turut disertai oleh kami. Kami menegaskan, jikalau mereka berterusan hendak mengambil pendekatan konfrontasi dan garis keras, kami mungkin mengambil keputusan untuk menarik diri daripada jawatankuasa tersebut.


PEMBELA juga menuntut suatu permohonan maaf kepada umat Islam di atas pelbagai kenyataan dan tindakan yang sebahagiannya telah menggores hati umat Islam sepanjang isu ini.


2. Kepada Para Pemimpin Politik.


PEMBELA menegaskan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira parti agar jangan sekali-kali menggadaikan kedaulatan Islam kerana tekanan sokongan politik. Kalaupun tunduk kepada tekanan politik boleh membawa hasil sementara, tetapi dalam jangka panjang ia akan meruntuhkan paksi pembinaan negara-bangsa dan turut merugikan semua pihak.


Kami juga sangat tidak selesa dengan pendekatan membiarkan para pemimpin bukan Islam yang ke hadapan menjadi jurucakap bagi pihak Kerajaan mahupun Pembangkang dalam isu ini. Oleh kerana ianya melibatkan isu Islam, sepatutnya pemimpin beragama Islam lebih terkehadapan dalam menangani isu ini. Pemimpin bukan Islam nampaknya sering berlebih-lebihan dan kurang berhati-hati dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat. Sebagai contohnya kami merujuk kepada beberapa kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Seri Idris Jala di pihak kerajaan dan terbarunya oleh YB Tony Phua, Ketua Publisiti DAP.


PEMBELA juga menegaskan pengundi majoriti di negara ini adalah umat Islam. Berdasarkan senario mutakhir ini, kami memutuskan untuk menggerakkan kempen kesedaran di kalangan pengundi Islam di negara untuk menolak mana-mana pemimpin yang terlalu berkompromi dengan prinsip kedaulatan Islam di Malaysia. Untuk tujuan itu, kami akan memantau serius setiap kenyataan dan tindakan setiap tokoh politik dalam isu-isu seumpama ini.


Akhirnya, PEMBELA akan mengemukakan satu memorandum khas berkenaan isu ini kepada pihak Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu. Kami amat berharap Duli-duli Tuanku sebagai Ketua Agama Islam di negara ini akan bertindak untuk mengawalnya dari sampai ke tahap yang lebih buruk dan tidak terkawal. PEMBELA juga menyeru kepada semua warganegara Malaysia yang patriotik dan cintakan negara ini agar kembali insaf tentang persepakatan tentang kedudukan Islam di negara ini dan menghentikan segala bentuk provokasi dan manipulasi isu-isu agama di negara kita ini.


Gabungan Pertubuhan-pertubuhan di bawah PEMBELA:


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Gerak Massa Malaysia (GESSA)
Ikatan Badan Amal Islami Wilayah Persekutuan (IKATAN)
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Institut Pengajian Tradisional Islam (IPTI)
Interactive Muslimah Association (IMAN)
Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI)
Kesatuan Pondok Islamiyah Malaysia (ITMAM)
Persatuan al-Hunafa (Al-Hunafa)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
Persatuan Al-Hidayah (Al-Hidayah)
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)
Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID MALAYSIA)
Research and Information Centre on Islam (RICOI)
Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
Yayasan Kubra
Yayasan Sofa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger