9 Apr 2011

Sekilas : Dakwah Di Sabah

sumber:erakita

DAKWAH ISLAMIAH DI SABAH: ke arah pengumpulan data pendakwah terdahulu

11 Oktober 2009
ERAKITA mengucapkan tahniah kepada blog ABU NUHA CORNER di alamat http://abunuha.wordpress.com yang telah menyiarkan artikel pada 5 Oktober 2009 berkenaan usaha PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM) Cawangan Sabah untuk mengumpulkan maklumat dan data mengenai PENDAKWAH-PENDAKWAH ISLAM di Sabah. ERAKITA dalam rangka menyokong usaha murni ini dengan penuh rendah diri ingin berkongsi sedikit maklumat dalam artikel kali ini. Pengumpulan maklumat mengenai para pendakwah Islam yang telah menyumbangkan masa dan tenaga mereka dalam gerakan dakwah di Sabah suatu ketika dahulu amat wajar dilakukan. Jika tidak dilakukan sekarang, bila lagi dan siapa pula yang akan melakukannya.
Melihat kepada kepesatan peningkatan penduduk Islam di Sabah semenjak Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ditubuhkan pada penghujung 1969, tidak dinafikan lagi bahawa RAMAI sebenarnya individu yang telah terlibat dalam gerakan tersebut. Menariknya individu itu bukan saja dari kalangan para Ustaz, tetapi juga golongan SAUDARA-SAUDARA KITA yakni, orang-orang yang baru sahaja memeluk Islam pada ketika itu. Dalam tahun 1978 umpamanya, terdapat seramai 181 mubaligh atau tenaga pendakwah USIA bagi seluruh Sabah.
Ini belum lagi termasuk tenaga-tenaga pendakwah yang dilantik oleh MUIS selepas kerajaan BERJAYA mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah sejak 1976. Lebih menarik, pemimpin-pemimpin kerajaan, para pemimpin parti politik dan pemimpin masyarakat di peringkat daerah juga turut memainkan peranan penting dalam usaha dakwah tersebut. Kegiatan dakwah dan pengislaman besar-besaran di negeri ini begitu terserlah sekitar 1970-an dan 1980-an ketika kerajaan berada di bawah pentadbiran parti dominan iaitu USNO dan BERJAYA.
Fakta mengenai penglibatan aktif ramai individu dalam gerakan dakwah seawal tahun 1970-an di Sabah dapat diperkukuhkan dengan kejayaan gerakan dakwah yg didokong oleh USIA mengislamkan lebih dari 50,000 orang dari kalangan penduduk yang belum atau sudah beragama lain di Sabah. Bayangkan saja, satu fakta yang amat mengkagumkan dan mungkin juga patut dirakamkan dalam REKOD DUNIA dalam gerakan dakwah Islam di mana setakat 1973, lebih 50,000 telah berjaya diIslamkan dalam tempoh yg begitu singkat. Dalam satu kertas kerja bertajuk PERANAN USIA DALAM MEMBINA AGAMA ISLAM DI SABAH yang ditulis oleh Allahyarham Datuk Hj. Ag. Sahari bin Abdul Latif, beliau menyebutkan:
Alhamdulillah, gerakan dakwah yang telah dilancarkan itu mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga bilangan mereka yang telah memeluk agama Islam lebih dari 50,000 orang dewasa lelaki dan perempuan. Ini tidak termasuk kanak-kanak. Kalau dijumlahkan dengan kanak-kanak, bilangannya hampir 100,000 orang. Maka dengan yang demikian, peratus bilangan penduduk Islam Negeri Sabah telah meningkat kepada 52%.
Usaha para penggerak dakwah yang ramai itu tidak sia-sia apabila penduduk Islam yang pada asalnya hanya dalam lingkungan 38 peratus pada tahun 1960-an, tiba-tiba mencapai lebih 50 peratus pada tahun 1973. Tidak cukup dengan itu, hasil yang begitu mengkagumkan dapat dicapai apabila lebih dari 2/3 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah adalah beragama Islam. Ini satu lagi sejarah bagi Negeri Sabah apabila DUN Sabah dilambaki oleh ADUN Islam ketika itu. Ramai ADUN bukan Islam telah memeluk Islam hasil usaha gerakan dakwah secara intensif tersebut. Bilangan ADUN yang beragama Islam pada 1972 telahpun mencapai 2/3 dari keseluruhan bilangan ADUN di Sabah. Keadaan ini jugalah yang telah menjadi satu rahmat buat Sabah apabila usul menubuhkan MAJLIS UGAMA ISLAM SABAH (MUIS) di DUN Sabah pada 26 April 1972 tidak mendapat sebarang masalah.
Lebih menarik lagi bahawa para penggerak dakwah yang aktif itu termasuklah juga dari kalangan PEMIMPIN parti politik dan ADUN sendiri. SINAR USIA terbitan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan HIKMAH terbitan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), dua Majalah dakwah tersohor sekitar 1970-an dan 80-an di Sabah menjadi bukti jelas bagaimana ADUN-ADUN sendiri terlibat secara langsung dengan gerakan dakwah tersebut.
Tidak hairanlah mengapa usul memasukkan Artikel 5(A) dalam Perlembagaan Negeri Sabah yang menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Negeri Sabah berjaya dibawa ke DUN dan diluluskan tanpa bantahan lagi. Ketika itu, bantahan tidak kedengaran lagi kerana majoriti ADUN ketika itu adalah orang Islam. Suasana ini jauh sekali berbeza 10 tahun sebelum itu apabila para pemimpin Sabah yang majoritinya dari kalangan bukan Islam mengemukakan syarat ketat untuk pembentukan Malaysia. Syarat tersebut terkandung dalam 20 PERKARA yang telah telah dibincangkan secara terperinci di peringkat Suruhanjaya Antara Kerajaan (IGC) sebelum pembentukan Malaysia.
Perkara pertama dalam 20 PERKARA itu adalah berkaitan dengan agama Islam. Inilah PERKARA PERTAMA DAN TERATAS sekali dalam 20 perkara itu. Hal ini mungkin tidak disedari oleh sebahagian besar dari umat Islam ketika memperkatakan hak-hak Sabah dalam Perkara 20. Perkara mengenai agama itu menyatakan bahawa sementara tiada bantahan bahawa Islam adalah agama kebangsaan Malaysia, Borneo Utara pula hendaklah tidak ada agama negeri, dan peruntukan-peruntukan berkenaan Islam dalam Perlembagaan Malaya yang sedia ada hendaklah tidak terpakai kepada Borneo Utara. Sebagai makluman, Borneo Utara adalah nama bagi Negeri Sabah sebelum merdeka pada tahun 1963.
Hakikat bahawa wujudnya SYARAT membentuk Malaysia di mana ISLAM BUKAN AGAMA RASMI DI SABAH dikatakan sebagai antara syarat yang PALING BERAT untuk diterima oleh umat Islam ketika itu. Namun, memandangkan bilangan umat Islam ketika itu hanyalah sekitar 38 peratus, syarat tersebut mahu tidak mahu terpaksa juga diterima. Ini kerana, jika tidak diterima, bermakna Sabah menghadapi halangan besar untuk turut sama dalam pembentukan Malaysia.
Kemuncaknya, Sabah bersama-sama Sarawak, Singapura dan Malaya membentuk Malaysia pada 16 Spetember 1963 di mana akhirnya sejarah mencatatkan bahawa Perlembagaan Negeri Sabah tidak memasukkan peruntukan bahawa Islam adalah agama rasmi negeri ini sebagaimana negeri-negeri lain. Hal ini berlanjutan selama 10 tahun bermula tahun 1963.
Ketiadaan Agama Rasmi bagi Sabah selama 10 tahun sesungguhnya telah memberi ruang seluas-luasnya kepada agama lain untuk menyebar dan mengembangkan agama mereka di kalangan penduduk di negeri ini. Tidak hairanlah mengapa dalam tempoh tersebut banyak sekali rumah-rumah ibadat agama-agama berkenaan berjaya didirikan di sana sini. Peratus pertumbuhan penganut agama lain juga begitu terkehadapan berbanding agama Islam sendiri dalam tempoh tersebut.
Hanya pada tahun 1973, baharulah Islam dapat dijadikan agama rasmi bagi Sabah setelah pindaan dalam perlembagaan Sabah berjaya dilakukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Sesungguhnya kejayaan menjadikan Islam sebagai agama rasmi Sabah 10 tahun kemudiannya adalah hasil usaha bersungguh-sungguh pada pendakwah Islam ketika itu. Masing-masing merasakan bahawa mereka mempunyai peranan besar untuk membanyakkan bilangan umat Islam di Sabah ketika itu.
Kesan daripada kejayaan menjadikan Islam sebagai AGAMA RASMI SABAH dapat dilihat pada hari ini. Akhirnya Islam hari ini menjadi agama yang dominan di Sabah. Tidak syak lagi bahawa penghormatan dan penghargaan tinggi wajar diberikan kepada Bapa Kemerdekaan Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun atas sumbangan besar beliau sehingga Islam mencapai kejayaan besar dan gemilang itu di bumi Sabah.
Laporan dari Jabatan Perangkaan Negara bagi tahun 2000 sahaja menunjukkan bahawa penganut Islam di Sabah sudah mencapai 63.7 peratus. Menariknya, dari 14 buah negeri di Malaysia, Sabah kini berada di TANGGA KE-7 sebagai negeri yang paling ramai penduduk Islam. Dari segi fakta, Sabah yang dikurniakan lebih 30 suku atau etnik sudah jauh meninggalkan negeri-negeri di Semenanjung seperti Negeri Sembilan (58.6 %), Selangor (55.7 %), Perak (53.9 %), Johor (58.8 %), Pulau Pinang (44.2 %), Sarawak (31.3 %) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (46.2 %). Itulah bancian Jabatan Perangkaan yang meliputi peratusan penganut Islam bagi semua negeri di Malaysia 10 tahun lepas.
Dengan perkembangan gerakan dakwah yang pesat di alaf 2000, diikuti kemasukan orang bukan Islam ke agama Islam yang berlaku hampir setiap hari di Sabah, di samping siri pengislaman kecil-kecilan mahupun besar-besaran yang masih lagi berlangsung di Sabah ketika ini, tidak mustahil bahawa statistik penduduk Islam dalam laporan bancian kependudukan oleh Jabatan Perangkaan Negara untuk tahun 2010 akan bertambah lagi. Tidak memeranjatkan kalau nanti peratusan penduduk Islam akan meningkat kepada sekitar 65-70 peratus tahun hadapan. Andai jangkaan ini menjadi realiti, tidak mustahil kedudukan Sabah dari tangga ke-7 akan naik ke tangga ke-6 atau ke-5 sebagai negeri paling ramai penduduk di Malaysia. Sama-sama kita nantikan laporan bancian kependudukan oleh Jabatan Perangkaan Negara yang dijangka dikeluarkan pada tahun hadapan.
Berbalik kepada usaha PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM) Cawangan Sabah untuk mengumpulkan maklumat mengenai tokoh-tokoh dakwah di Sabah, ia dilihat sebagai satu usaha murni dan memang wajar disokong. Kaedah dan semangat dakwah para pendakwah terdahulu boleh dijadikan kayu ukur dan iktibar untuk generasi pendakwah di Sabah hari ini untuk memikirkan kaedah dan strategi dakwah yang bersesuaian pada zaman. Sementara masih ramai di kalangan para pendawah tersebut yg masih hidup, amat sesuailah kalau usaha ini digerakkan mulai sekarang.
Maklumat yang lebih tepat dan telus akan lebih mudah diperolehi dari individu-individu berkenaan. Pepatah Orang Putih ada mengatakan “STRIKE THE IRON WHILE IT IS HOT “. Maknannya, nak pakai penggosok baju (Strika), biarlah masa ia masih panas supaya kehalusan baju lebih berkualiti dan cantik. Dengan kata lain, untuk mendapatkan maklumat utama dan tepat, biarlah dari individu-individu tersebut sendiri selagi mereka masih hidup.
Untuk makluman anda semua, selain mendapatkan maklumat secara terus dari individu-individu berkenaan yang masih hidup, beberapa buah buku yang bermaklumat berkaitan gerakan dakwah dan tokoh-tokoh dakwah di Sabah juga boleh membantu dalam usaha ini. Berikut adalah sebahagian dari beberapa buah buku atau rujukan yang boleh membantu:
  • Abdullah Hussain, Tun Mustapha Bapa Kemerdekaan Sabah: Sebuah Biografi, Kuala Lumpur, M.F.I, 1976.
  • Subky Latif, Sebahagian Dari Memoir Tun Datu Mustapha: Merdeka Melalui Malaysia, Kuala Lumpur, Penerbit Pustaka Antara, 1981.
  • Muhiddin Yusin, Islam di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.
  • Yahaya Ismail. (1986). Politik Islam di Sabah. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif.
  • Ismail Yusoff. (2004). Politik dan agama di Sabah. Bangi Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Ainol Jamal. (1989). Islam di Sabah tertindas. Sabah: Penebitan Tinta.
  • Sahari Abdul Latif, Mana Bendera Saya?, Sabah, Institut Penyelidikan Sastera Sabah (INPES), Cetakan kedua 2006.
  • R.M Jasni, Memoir Anak Sisa Peperangan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Jeffrey G. Kitingan & Maximus J. Ongkili (e.d), Sabah 25 years later: 1963-1988, Institute for Development Studies (Sabah), 1989.
  • Jeffrey G. Kitingan, Justice for Sabah, Shelma Publications and News Agency, Lahad Datu, Sabah, 2006.
  • Patrick bin Sindu & Abdul Malek Unar, Isu 20 pekara: Jaminan dan perlindungan, STUDIO 3, Kota Kinabalu, 1993.
  • Sabihah Osman. (1985). Pentadbiran peribumi Sabah 1881-1941. Bangi Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Sabihah Osman, Ismail Ali & Baszley Bee B., Tun Datu Hj. Mustapha bin Datu Harun: Jasabaktinya dalam pembangunan sosial Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Sabah, 2006.
  • Abdul Hadi Harman Shah, Junaenah Sulehan, Mohamed Yusoff Ismail, Nor Azizan Idris & Zahra Yaacob, Tun Mustapha dan pembangunan Sabah, Yayasan Sabah, 1st Edition, Sabah, 2003.
  • Buku Cenderahati Kecemerlangan SUIS Tambunan Dalam 25 Tahun, Sempena Sambutan Jubli Perak ke 25 Tahun SUIS Tambunan, Julai 2001.
  • Jenar Lamdah, Datuk Harris Mohd. Salleh dengan politik Sabah, Affa Sendirian Berhad, Kuala Lumpur, 1981.
  • Johari Alias, How Islam spread to Sabah in Cenderamata Sabah State Mosque, in conjunction with the official opening of the Sabah State Mosque by His Majesty the Yang Di Pertuan Agong on 28th. June 1977.
  • Herman J. Luping, Sabah dilemma: The political history of Sabah (1960-1994), Magnus Books, Kuala Lumpur, 1994.
  • Cesar Adib majul, Islam di Filipina, (Terjemahan dari Bahasa Inggeris oleh Shamsuddin Jaafar), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1988.
  • L.W. Jones, The Population of Borneo,: A Study of the Peoples of Sarawak, Sabah and Brunei, Opus Publications, Sabah, 2007.
  • Hamdan bin Aziz, Parti politik USNO & BERJAYA di Sabah, 1961-1996, Unpublished Thesis Master of School of Science Social, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, 2005.
  • Ismail Mat, “Haji Muhammad Suhaili Haji Yaakub” in Ismail Mat, (ed), Ulama silam dalam kenangan, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1993.
  • Maidis Pongot, Gerakan Dakwah Islamiyah Di Daerah tambunan Sabah Selepas Merdeka Sehingga 1989: Penumpuan Kepada Zaman USNO-SCA, Berjaya Dan PBS (Kertas Projek) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1989.
  • Suraya Sintang. (2007). Kehidupan beragama masyarakat Kadazandusun. Sabah: Universiti Malaysia Sabah.
  • Saif @ Shaifuddin Hj. Daud, Transformasi Sosial Menerusi Islamisasi; Satu Kajian Kes Di Kalangan Orang Dusun/Kadazan Di Ranau Sabah (Tesis Master Sains Pembangunan), Fakulti Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kampus Sabah, 1993.
  • Shaifuddin Hj. Daud, MUIS: Penubuhan Dan Kegiatannya Sehingga Tahun 1981, (Latihan Ilmiah), Jabatan Dakwah Dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1983/1984.
  • Buku Cenderahati, Sambutan 30 Tahun 1978-2008 JAKIM Cawangan Sabah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sabah, 2008.
  • Jamil Hj. Hamali (ed), Islam di Borneo: Sejarah, Perkembangan Dan Isu-Isu Kontemporari, Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, 2009.
Sesungguhnya perbincangan mengenai perkembangan gerakan dakwah Islam di Sabah sebelum merdeka dan selepas merdeka tidak memadai untuk dimuatkan dalam artikel yang seringkas ini. Setakat yang diketahui, ERAKITA mendapati bahawa kajian-kajian ilmiah di universiti tempatan yang dilakukan berkenaan perkembangan Islam di Sabah hanyalah setakat tahun 1993. Belum ada kajian ilmiah di peringkat Master atau Ph.D yang mengkhususkan perkembangan Islam di Sabah selepas 1994, zaman selepas kejatuhan pemerintahan PBS di Sabah. Dalam hal ini, ERAKITA berpendapat bahawa kajian secara terperinci mengenai perkembangan Islam di Sabah selepas 1994 wajar dilakukan oleh para sarjana di Malaysia dan khususnya bagi sarjana-sarjana dari Sabah sendiri.
Sesungguhnya, semenjak 1994 sehingga kini, banyak sekali perkembangan yang berlaku di negeri Sabah. Kemunculan pelbagai persatuan, organisasi dan pertubuhan Islam di Sabah sejak akhir-akhir ini nyata sekali merancakkan lagi perkembangan dakwah Islam di Sabah. Pegawai-pegawai dakwah agama dan tenaga sukarelawan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang tidak putus-putus menyalurkan tenaga dan masa mereka untuk bergerak ke seluruh pelusuk negeri untuk berdakwah tidak dapat dinafikan lagi banyak membantu merancakkan perkembangan Islam di negeri ini. Kewujudan saluran informasi terkini seperti laman web dan blog-blog berunsur dakwah di negeri ini dilihat begitu berkesan menyalurkan maklumat dan perkembangan-perkembangan terkini dakwah Islamiah di Sabah.
Akhir sekali, ERAKITA mengucapkan tahniah sekali lagi kepada blog ABU NUHA CORNER atas artikel yang amat bernilai itu dan usaha PUM Cawangan Sabah kerana menggerakkan usaha yang amat murni ini. Semoga usaha tersebut dipermudah lagi diberkati Allah AWT.

DAKWAH SEPANJANG ZAMAN

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger