Perpaduan adalah asas bagi ajaran Islam kerana ia bukannya sekadar membina hubungan manusia dengan Allah semata-mata tetapi kita juga diseru supaya mengukuhkan hubungan baik sesama manusia dan mahkluk-mahkluk yang lain. Ini dapat dilihat secara jelas dalam maksud firman Allah SWT yang berbunyi:
"Ditimpa kehinaan ke atas mereka walau di mana mereka berada melainkan mereka berpegang teguh dengan agama Allah dan menjalinkan hubungan baik sesama manusia." (Surah Ali-'Imran : 112)
Untuk membina perpaduan sesama umat Islam, Allah SWT menggambarkan bahawa setiap orang Islam itu bersaudara antara satu sama lain yang mana asas persaudaraan itu bukan sekadar dari hubungan tali persaudaraan keluarga atau satu bangsa tetapi disatukan dengan tingkatan akidah dalam Islam seperti firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara." (Surah Al-Hujurat : 10)
Ayat di atas menggambarkan kepada kita bahawa umat Islam mendapat pengiktirafan dari Allah SWT sebagai saudara seagama, yang banyak hak yang perlu dipelihara bersama-sama.
Dalam Al-Quran banyak ayat yang menggalakkan kita sebagai seorang Muslim untuk menghormati saudara sesama Islam, bukan sekadar memelihara dari segi pergaulan dan tutur bicara, malah dalam segala aspek ekonomi dan keseimbangan kehidupan sosial juga, meletakkan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Dalam syariah Islam, setiap umat bukan sekadar disuruh untuk melakukan ibadah sembahyang, puasa, haji dan sebagainya sebagai pengabdian kepada Allah SWT semata-mata, tetapi digalakkan juga kita melakukan secara berjemaah dan bersatupadu dengan matlamat yang sama iaitu mencari keredhaan Allah SWT. Malah dalam aspek pembinaan masyarakat Islam itu sendiri, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Baginda Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan dan kedudukan sosial mereka. Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa belum pernah berlaku penyatuan satu umat yang besar melainkan kejayaan Baginda Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam membina ketamadunan umat dalam tempoh yang pendek dan mengabungkan pelbagai fahaman agama yang berbeza kepada agama Islam.
Malah belum pernah berlaku dalam mana-mana sejarah dan peradaban kehidupan manusia ketika itu, di mana orang dari golongan bangsawan dipersaudarakan dengan golongan hamba sahaya sehingga sanggup berkorban nyawa, disebabkan perasaan kasih sayang yang teramat menusuk dalam sanubari mereka, seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a dengan Saidina Bilal bin Rabah r.a. Malah setiap sahabat dapat merasai akan nikmat dari perpaduan serta persaudaraan berteraskan agama Allah. Ini dapat dilihat dari hadis Baginda Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam:
"Tidak ada kebaikan orang Arab ke atas A’jami (bukan Arab) melainkan yang bertaqwa."
Walaupun persaudaraan merupakan satu lambang keamanan sejagat untuk umat manusia menggembleng pemikiran dan tenaga untuk mengimarahkan dan memakmurkan dunia ini dengan berteraskan konsep tauhid dan ilmu pengetahuan, namun terdapat unsur-unsur dalaman dan luaran yang akan mengagalkan misi umat sebagai khalifah di dunia ini.
Unsur-unsur dalaman terdapat dalam diri setiap insan yang mendorong ke arah sangkaan buruk dan cemburu di atas kejayaan saudaranya. Tidak cukup sekadar itu, sikap hasad dan dengki mendorong manusia terus berusaha dengan bersungguh-sunguh untuk memusnahkan kejayaan saudaranya itu. Sifat-sifat seperti ini adalah merupakan satu penyakit umat Islam masa kini yang semakin parah sehingg umat Islam kini menderita dan gagal bersaing denga bangsa lain yang beragama lain. Maka tidak hairanlah terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang melarang kita dari bersifat sedemikian. Sebagai contoh, baginda Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam pernah bersabda:
"Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti mana api memakan daun kering." (Hadis Sahih)
Faktor luaran pula, sebagai contohnya, pelbagai hasutan dan khabar agin yang sengaja diada-adakan agar umat Islam sentiasa bergaduh dan bermusuhan antara satu sama lain, supaya benteng persaudaraan ini ranap dan roboh begitu sahaja.
Akhirnya, umat Islam yang mendakwa menganuti agama yang sempurna, tidak lagi dapat membawa apa-apa kesan dan keutuhan kepada umat Islam itu sendiri. Apa yang terjadi ialah satu demi satu, sama ada negara atau bangsa akan tersungkur tunduk patuh kepada orang kafir, sama ada kepada orang Yahudi, Kristian mahupun Komunis.
Sebenarnya umat Islam hari ini amat mengharapkan mana-mana negara umat Islam yang belum ditimpa kemelut ini menghulurkan bantuan dan memerdekakan mereka dari penjajah-penjajah Barat, yang semakin memeras dan menindas umat dan kesucian Islam. Sudah ramai yang menjadi penonton sepi di atas penderitaan umat Islam. Kalau bukan orang Islam sendiri yang datang menebus kesucian dan maruah umat Islam, siapa lagi? Oleh itu marilah kita merendahkan diri dan bertekad untuk mengembalikan kekuatan umat Islam yang semakin terhakis dan ingatlah orang Islam itu saudara kita, bukan musuh kita dan kita akan dipersoalkan dihadapan Allah SWT di akhirat kelak mengenai tanggungjawab yang telah kita jalankan terhadap saudara seagama kita.
No comments:
Post a Comment