SUMBER :KLIK
PERBANDINGAN PRESTASI TADBIR URUS KERAJAAN NEGERI BARISAN
NASIONAL DAN PAKATAN RAKYAT
Selepas dekat 3 tahun berlakunya perubahan politik pada 8
Mac 2008, satu pengesahan kepada prestasi tadbir urus negeri di bawah
pentadbiran Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telah disediakan oleh Kajian
Politik untuk Perubahan (KPRU).
PENGURUSAN KEWANGAN
Johor/Pahang dengan Selangor
Secara keseluruhannya, proses membaiki status kewangan
negeri telah bermula di Kerajaan Negeri Selangor, namun langkah pemantapan
prestasi kewangan Kerajaan Negeri Johor dan Pahang belum lagi mempamerkan
perubahan positif. Tahap kemantapan pengurusan kewangan dapat dilihat daripada
Laporan Ketua Audit Negara yang mengesyorkan supaya Selangor meneruskan
perbelanjaan berhemat dan terus berusaha mengutip baki pinjaman boleh dituntut
di samping usaha berterusan terhadap kutipan tunggakan bayaran pinjaman boleh
dituntut, manakala Johor dan Pahang disyorkan perlu mempertingkat dan
memperkukuhkan lagi prestasi kewangan (Johor), dan perlu mengamalkan
perbelanjaan berhemat (Pahang).
Dari segi Nisbah Semasa, Kerajaan Negeri Selangor memperoleh
nisbah lebih daripada 1, manakala Kerajaan Negeri Johor dan Pahang memperoleh
nisbah kurang daripada 1.[1] Fakta ini menunjukkan bahawa kecairan tunai
Kerajaan Negeri Johor dan Pahang adalah rendah untuk menampung jumlah
tanggungan semasa.
Dari segi defisit, ketiga-tiga negeri mencatat defisit,
iaitu Johor RM70.35 juta, Pahang RM42.27 juta dan Selangor RM65.96 juta.[2]
Namun begitu, defisit Negeri Pahang dan Johor adalah lebih parah jika
berbanding dengan Selangor apabila diambil kira faktor kutipan hasil.
Keadaan di Negeri Pahang menunjukkan bahawa prestasi
kewangan Kerajaan Negeri semakin menurun dengan ketara sejak tahun 2007 kerana
hasil kutipan tidak dapat menampung perbelanjaan tahunan.[3] Kerajaan Pahang
telah membentangkan belanjawan defisit untuk tahun ke-12 berturut-turut
sehingga tahun 2010.[4] Bagi Negeri Johor, tahap defisit tahun 2009 adalah yang
tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakangan.[5]
Selain itu, gabungan hasil kedua-dua buah negeri adalah
sebanyak RM1,243 juta berbanding dengan hasil Negeri Selangor sebanyak RM1,764
juta, tetapi gabungan defisit adalah sebanyak RM120.95 juta, iaitu lebih kurang
satu kali ganda lebih tinggi daripada defisit Selangor yang berjumlah RM65.96
juta.
Analisis Perbandingan Antara Hasil dengan Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat Bagi Tempoh 2005 hingga 2009
2005 (RM juta) | 2006 (RM juta) | 2007 (RM juta) | 2008 (RM juta) | 2009 (RM juta) | |
Johor | |||||
Hasil | 617.18 | 693.22 | 779.60 | 812.36 | 750.42 |
Perbelanjaan Mengurus | 656.67 | 686.09 | 775.08 | 882.71 | 829.10 |
Lebihan/(Defisit) | (39.49) | 7.13 | 4.52 | (70.35) | (78.68) |
Pahang | |||||
Hasil | 485.70 | 435.69 | 441.04 | 481.84 | 492.14 |
Perbelanjaan Mengurus | 412.98 | 363.52 | 422.91 | 508.96 | 534.41 |
Lebihan/(Defisit) | 72.72 | 72.17 | 18.13 | (27.12) | (42.27) |
Johor + Pahang | |||||
Hasil | 1,102.88 | 1,128.91 | 1,220.64 | 1,294.20 | 1,242.56 |
Perbelanjaan Mengurus | 1,069.65 | 1,049.61 | 1,197.99 | 1,391.67 | 1,363.51 |
Lebihan/(Defisit) | 33.23 | 79.30 | 22.65 | (97.47) | (120.95) |
Selangor | |||||
Hasil | 967.76 | 1,160.20 | 1,285.10 | 1,516.34 | 1,763.86 |
Perbelanjaan Mengurus | 1,034.50 | 1,087.69 | 1,153.22 | 1,467.24 | 1,829.82 |
Lebihan/(Defisit) | (66.74) | 72.51 | 131.88 | 49.10 | (65.96) |
Melaka dengan Pulau Pinang
Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat baru sahaja mengambil alih
negeri Pulau Pinang, namun jika dibandingkan dengan Kerajaan Barisan Nasional
di negeri Melaka, wujud perbezaan yang cukup meyakinkan mengikut gaya dan
pendekatan seperti mana yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009.
Umpamanya, KPRU mendapati bahawa kedudukan kewangan Kerajaan
Negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya adalah baik dengan melakukan beberapa
pengubahsuaian dalam aktiviti perolehan, bentuk perbelanjaan yang benar-benar
berhemat tanpa menjejaskan kebajikan rakyat Pulau Pinang. Hasilnya, Kerajaan
Negeri Pulau Pinang mengakhiri tahun kewangan 2009 dengan lebihan sejumlah
RM77.34 juta menjadikan lebihan dana
terkumpul berjumlah RM538.95 juta. Berbanding dengan pesaingnya, prestasi
kewangan yang dicatatkan oleh Kerajaan Negeri Melaka bertambah baik daripada
defisit RM4.56 juta pada tahun 2008 kepada lebihan dana RM0.30 juta.
Selain itu, analisis Nisbah Semasa Kerajaan Negeri Pulau
Pinang pada tahun 2009 mendapati Nisbah Semasa Kerajaan Negeri adalah 5.25:1
melebihi satu, manakala Nisbah Semasa Melaka adalah kurang daripada 1. Fakta
ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkemampuan untuk
menampung jumlah tanggungan semasa manakala Melaka gagal menampung tanggungan
tersebut.
Dari segi pelaburan kerajaan negeri, kebijakan pelaburan
Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus menjadi teladan bukan sahaja kepada Kerajaan
Negeri Melaka, malah semua Kerajaan Negeri dalam Persekutuan di mana jumlah
dividen dan keuntungan mencatatkan angka tertinggi sejak tahun 2005. Sila rujuk
jadual yang dipetik daripada Laporan Ketua Audit Negara 2009 (m.s 28).
Pelaburan Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Bil | Butiran | 2008 | 2009 |
(RM Juta) | (RM Juta) | ||
1 | Dividen Diterima | 1.43 | 0.95 |
2 | Keuntungan Diterima | 2.37 | 4.14 |
Jumlah Dividen dan Keuntungan | 3.8 | 5.09 | |
3 | Bayaran Yuran Pengurusan | 0.15 | 0.09 |
Kerajaan Negeri Melaka pula mencatatkan pencapaian yang sebaliknya. Semakin besar pelaburan yang dibuat olehnya, belum tentu lagi pulangan faedahnya lumayan. Fakta ini terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 (m.s 32)
Pelaburan Kerajaan Negeri Melaka
Tahun | Pelaburan (RM Juta) | Faedah Dan Perolehan Diterima (RM Juta) | Faedah Diterima (%) |
2005 | 186.05 | 1.68 | 0.9 |
2006 | 182.78 | 4.8 | 2.6 |
2007 | 189.66 | 10.93 | 5.6 |
2008 | 192.27 | 16.6 | 8.6 |
2009 | 210.93 | 10 | 4.7 |
PENTADBIRAN NEGERI
Johor/Pahang dengan Selangor
Secara keseluruhannya, adalah didapati bahawa Kerajaan
Pakatan Rakyat bersikap lebih responsif dan cekap dalam urusan pentadbiran
negeri. Kerajaan Pakatan Rakyat bukan sahaja tidak segan mendedahkan isu-isu
kontroversi supaya orang awam termaklum dengan perkembangan, malah ianya juga
tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah.
Misalannya, dalam isu jamuan makan yang menelan RM300 ribu anjuran Yayasan
Selangor baru-baru ini, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor diarah
mengambil cuti selama sebulan berkuat-kuasa serta merta.[6] Corak pentadbiran
sebegini tidak kelihatan dalam negeri pemerintahan Barisan Nasional.
Kajian Kes: Isu Curi Pasir
Dari segi pentadbiran negeri, sebenarnya Negeri Pahang dan
Johor juga dibelenggui isu curi pasir, malah mungkin lebih serius daripada apa
yang berlaku di Selangor. Akan tetapi isu curi pasir di kedua-dua negeri
tersebut jarang diberi perhatian akibat liputan media yang tercondong.
Misalnya, pada tahun 2009, Kerajaan Negeri Selangor
mengalami kerugian RM1.82 juta daripada royalti tidak berkutip, tetapi kerugian
yang dialami oeh Kerajaan Negeri Pahang adalah sebanyak RM3.23 juta, iaitu
lebih kurang satu kali ganda lebih daripada kerugian yang dialami oleh Kerajaan
Selangor.[7]
Di Johor pula, adalah didapati juga kegiatan perlombongan
pasir yang mula beroperasi sejak tahun 2003 tetapi tidak menyediakan Laporan
Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), aliran air sungai berubah, berlakunya tanah
runtuh, pencerobohan, pihak penguatkuasa tidak memantau secara berkala, dan
banyak lagi.
Tambahan lagi, kegiatan perlombongan pasir di Pahang dan
Johor telah menyukarkan nelayan yang menggunakan Kuala Sungai Miang tersebut
sebagai laluan keluar masuk bot mereka untuk ke laut menangkap ikan. Menurut
mereka, kuala sungai telah menjadi semakin cetek dan dipenuhi pasir yang
menghalang pergerakan bot.
Dari segi mengatasi isu kekurangan koordinasi antara jabatan
dan pencurian pasir, tindakan Kerajaan Negeri Selangor juga jauh lebih
responsif jika berbanding dengan Kerajaan Negeri Pahang. Satu Jawatankuasa Khas
diketuai Ketua Setiausaha Negeri, dan melibatkan Pejabat Tanah dan Galian
Selangor (PTGS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang sering mengadakan
pemantauan bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan
Rakyat Malaysia (RELA) telah ditubuhkan serta merta. Sebaliknya, sehingga hari
ini Kerajaan Negeri Pahang belum lagi mengambil apa-apa langkah untuk mengatasi
masalah tersebut.
Melaka dengan Pulau Pinang
Struktur pentadbiran yang cekap dan beramanah juga banyak
membantu mengangkat status sosioekonomi negeri Pulau Pinang. Agenda Kerajaan
Negeri Pulau Pinang yang menekankan kepada prinsip akauntabiliti, ketelusan dan
kebertanggungjawaban (CAT) telah terbukti meyakinkan rakyat dan para pelaburnya
walaupun memiliki sumber-sumber negeri yang begitu terhad sekali. Apatah lagi
bantuan Kerajaan Persekutuan yang dihulurkan adalah tidak ikhlas dan bertujuan
memporak-perandakan politik Pakatan Rakyat. Buktinya, Kerajaan Negeri Pulau
Pinang mempersoalkan kewajaran Kerajaan Persekutuan yang memperuntukan RM200
juta kepada Khazanah Nasional untuk membangunkan dan memulihara lokasi warisan
negeri sedangkan peruntukan RM30 juta yang turut dinikmati oleh Kerajaan Negeri
Melaka diuruskan sendiri tanpa pihak ketiga.
Adakah tindakan tersebut dianggap hukuman Kerajaan Persekutuan Barisan
Nasional kepada rakyat Pulau Pinang? Walaupun begitu, hal ini langsung tidak
menghalang Kerajaan Negeri untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada
rakyat.
Berlainan pula dengan Kerajaan Negeri Melaka yang mempunyai
daya kebergantungan yang tinggi terhadap Kerajaan Persekutuan untuk menjana
pendapatan negerinya. Misalannya, Kerajaan Negeri Melaka memperoleh hasil
jualan aset pengurusan air kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM39.73 juta.
Mungkinkah tanpa pengambilan aset pengurusan air tersebut, Kerajaan Negeri
Melaka akan terus terperangkap dalam hutang serta defisit yang tidak
tertanggung? Beberapa kelemahan yang ketara perlu diatasi oleh Kerajaan Negeri
Melaka seperti kegagalan monorel menyeberangi Sungai Melaka dan projek Eye on
Malaysia yang tergendala sekian lama sekiranya negeri Melaka masih berhasrat
menjadi pesaing terdekat kepada negeri Pulau Pinang dalam sektor pelancongan.[8]
PENDEMOKRASIAN
Johor/Pahang dengan Selangor
Dari segi pendemokrasian, adalah jelas bahawa Kerajaan
Pakatan Rakyat, terutamanya Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang masih
berada di barisan depan dalam proses pendemokrasian berbanding dengan Negeri-negeri
Barisan Nasional. Kerajaan Negeri Selangor telah menerajui dasar dan
langkah-langkah berikut yang langsung tidak dihirau oleh Kerajaan Negeri Pahang
dan Johor:
Menggubal Akta Kebebasan Maklumat;
Memberikan satu pertiga kuota kerusi Ahli Majlis PBT kepada
badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO);
Enakmen Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor yang memberikan
kuasa lebih besar kepada Speaker;
Menghidupkan semula SELCAT;
Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas (Select Committee)
dalam sidang DUN Selangor;
Mengumumkan aset Exco Selangor;
Menggunakan kuasa MB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk
mendedahkan pelbagai penyelewengan yang tertutup sebelum itu, antaranya Yayasan
Basmi Kemiskinan, Rancangan Revolusi Hijau di Bukit Cherakah, Projek Perhutanan
Semula dan lain-lain.
Di samping itu, antara kelebihan lain Kerajaan Negeri Pulau
Pinang jika berbanding dengan Melaka adalah idea demokrasi itu dipraktikan
secara terbuka. Walaupun terlalu awal untuk diperkatakan, sekurang-kurangnya
sudah ada keazaman politik yang jelas untuk melakukan perubahan pada pihak
Pakatan Rakyat. Berikut adalah usaha-usaha Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang
dalam agenda pendemokrasian negeri:
Membentangkan Enakmen Hubungan Kaum pada tahun hadapan;
Pilihanraya Ahli Majlis Tempatan untuk perwakilan masyarakat
sivil;
Membentangkan Enakmen Kebebasan Maklumat pada tahun 2010.
Kesimpulannya, fakta-fakta di atas menunjukkan Kerajaan
Negeri Selangor dan Pulau Pinang diperintah secara lebih berhemat, telus dan
cekap berbanding dengan Kerajaan Negeri Johor, Pahang dan Melaka. Laporan Ketua
Audit Negara juga memberikan pengiktirafan kepada pengurusan kewangan Negeri
Selangor dan Pulau Pinang yang lebih professional. Dari segi pendemokrasian,
negeri-negeri tersebut juga mendahului dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif
yang dapat menjamin hak rakyat.
Perkembangan-perkembangan tersebut dapat dilihat sebagai
pengambil-alihan kerajaan baru yang bergiat merealisasikan janjian kepada
rakyat dan masih segar untuk melalukan reformasi tanpa ikatan beban tradisi.
Dalam konteks negeri, perkembangan positif pasca 8 Mac 2008 juga dapat dinilai
dari sudut kebangkitan sistem dua parti, di mana kewujudan sekatan dan imbangan
(check and balance) kuasa menjadikan pihak pemerintah lebih berhat-hati dan
segan melakukan kesilapan. Secara keseluruhannya, perbandingan dari segi
prestasi kewangan, pentadbiran dan pendemokrasian ini wajar menjadi satu asas
rujukan kepada rakyat yang sudah berubah dan belum berubah agar mereka menjadi
lebih bijaksana dan termaklum dalam membuat keputusan dalam pilihanraya akan
datang.
Rujukan am:
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan
Jabatan/Agensi Negeri Johor Tahun 2009
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan
Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Johor Tahun 2009
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan
Jabatan/Agensi Negeri Pahang Tahun 2009
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan
Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Pahang Tahun 2009
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan
Jabatan/Agensi Negeri Selangor Tahun 2009
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan
Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2009
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan
Jabatan/Agensi Negeri Melaka Tahun 2009
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan
Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2009
Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan
Jabatan/Agensi Negeri Pulau Pinang Tahun 2009
Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan
Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2009
[1] Analisis Nisbah Semasa adalah untuk mengukur kedudukan
kecairan tunai Kerajaan Negeri dalam membiayai jumlah Tanggungan Semasa.
Sekiranya nisbah yang dihasilkan melebihi daripada 1, maka ini menunjukkan
tanda yang positif dari segi kedudukan kecairan tunai.
[2] Defisit dalam maksud ini mengambil kira perbandingan antara
hasil dengan perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri bagi tempoh perakaunan
semasa dan tahun sebelumnya untuk mengukur lebihan atau defisit bagi Akaun
Hasil Disatukan.
[3] Laporan Ketua Audit Negera, Penyata Kewangan Kerajaan
Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pahang Tahun 2009, m.s 17
[4]
http://paslipis.wordpress.com/2009/11/19/kerajaan-bn-pahang-bentang-bajet-defisit-12-tahun-berturut-turut-2/
[5] Laporan Ketua Audit Negera, Penyata Kewangan Kerajaan
Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Johor Tahun 2009, m.s 19
[6]http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29467:timbalan-pengurus-yayasan-selangor-diarah-cuti&catid=1:utama&Itemid=50
[7] Laporan Ketua Audit Negara, Aktiviti Jabatan/Agensi dan
Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2009, m.s 50
[8]Eye on Malaysia jadi ‘gajah putih’
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm
No comments:
Post a Comment