3 Jul 2014

Dato' Saifuddin Abdullah Dedah Tembelang Sebenar Kementerian Pendidikan Malaysia

Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah memberikan penjelasan terperinci mengenai mengapa beliau meletakkan jawatan daripada Universiti Malaya (UM) sebagai solidariti kepada ketua pusat penyelidikan di universiti itu dengan berkata kebebasan akademik adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Saifuddin yang juga ahli Umno meletakkan jawatan sebagai felo penyelidik kanan UM sebagai membantah arahan Kementerian Pendidikan agar Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman meletakkan jawatan sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel).

Walaupun UM semalam menafikan campur tangan dalam penyingkiran Redzuan, Saifuddin yang mengetuai Pergerakan Kesederhanaan Global berkata profesor itu diarahkan untuk meletakkan jawatan sebagai pengarah UMcedel “kerana arahan sesetengah pihak di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)”.

Saifuddin memberitahu The Malaysian Insider, beliau tahu mengenai campur tangan kementerian berhubung jawatan Redzuan di pusat penyelidikan itu sejak kira-kira dua bulan lalu.

"Saya tahu perkara ini sejak awal. Saya tahu Prof Redzuan dipanggil oleh pengurusan universiti dan beliau dimaklumkan Kementerian Pendidikan tidak begitu gembira dengan beliau dan diminta meletakkan jawatan," kata bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu, sambil menambah beliau kemudian mendapatkan pengesahan daripada naib canselor UM.

"Sepanjang pengetahuan saya, naib canselor dihubungi seseorang daripada kementerian dan mesejnya adalah Redzuan tidak perlu terus memegang jawatan pengarah UMcedel," katanya.

Beliau berkata, isu tertentu seperti pendidikan, memerangi rasuah dan perpaduan tidak boleh dikompromi dan dalam kes ini, beliau sedar perlunya berpendirian tegas.

"Apabila perkara seperti kualiti akademik dan kebebasan, ia adalah beberapa perkara yang anda tidak boleh berkompromi. Anda perlu mengambil pendirian," kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider.

"Ia juga adalah fundamental. Kita tidak boleh melihat perkara ini daripada perspektif partisan," katanya.

The Malaysian Insider melaporkan pada Isnin Kementerian Pendidikan mengarahkan Redzuan meletakkan jawatan sebagai pengarah UMcedel, manakala kontraknya sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) di universiti itu juga tidak diperbaharui.

UMcedel menimbulkan kemarahan Putrajaya dengan pelbagai penemuan kaji selidik terhadap politik Malaysia yang menunjukkan pemerintah Barisan Nasional (BN) tidak berada dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin menafikan kementerian mendesak Redzuan meletakkan jawatan, sambil menambah keputusan menyingkir beliau dibuat selepas mengambil kira kepentingan universiti itu, dan bukan disebabkan sebarang tekanan dari luar.

"Keputusan itu dibuat selepas UM mengambil kira persaraan Prof Mohammad Redzuan pada tahun depan, dan untuk memberi peluang kepada timbalannya, Dr Amir Saifude Ghazali membiasakan dirinya dengan tanggungjawab seorang pengarah sebuah badan penyelidikan bebas," katanya.

Saifuddin yang juga alumni UM berkata, beliau sedih dengan berita itu dan selepas tempoh Redzuan sebagai dekan bagi FSSS juga tidak diperbaharui, beliau mengambil keputusan turut meletakkan jawatan.

kredit :http://addindeen.blogspot.com/2014/07/dato-saifuddin-abdullah-dedah-tembelang.html

"Saya berfikir, ‘mengapa ini berlaku lagi?’ dan 'apa yang salah dengan sistem kita?'

Beliau merujuk kepada kes sebelum ini yang melibatkan campur tangan Putrajaya dalam akademik, termasuk penggantungan pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana mempersoalkan dekri Sultan Selangor dalam serbuan di Pusat Methodist, Damansara Utama pada Oktober 2011.

"Ia tidak mengapa bagi UIAM untuk menyiasat beliau. Itu adil dan sebahagian daripada tadbir urus. Tetapi sebelum polis selesai menjalankan siasatan mereka, beliau digantung dan tidak dibenarkan memasuki kawasa kampus.

"Beliau bukan penjenayah. Ia seolah-olah beliau sudah didapati bersalah," katanya.

Saifuddin, yang ketika itu timbalan menteri pengajian tinggi mempertahankan Aziz dan mendesak universiti membatalkan arahan itu. Beliau kemudian tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam forum UIAM.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak akan meninggalkan Umno dan BN yang membentuk kerajaan pemerintah.

"Tidak, saya tidak fikir begitu. Saya sentiasa percaya tidak ada dalam Umno atau BN yang tidak boleh dibetulkan.

"Saya faham kita perlu mengikut pendirian parti. Tetapi ada beberapa perkara yang begitu dekat dengan saya seperti perihal pendidikan. Jika kejadian seperti ini berlaku, anda tidak boleh mengikut sahaja pendirian parti," katanya yang juga merupakan ahli Majlis Perundingan Perpaduan Negara. ~tmi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...