27 Feb 2017

Semua Bukti Menunjukkan Pyongyang Bertanggungjawab Membunuh Kim Jong Nam

 Semua petunjuk menuding Pyongyang sebagai bertanggungjawab dalam pembunuhan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.
Rumusan itu dibuat bekas Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Brennan, semalam selepas Malaysia mengenal pasti agen senjata kimia dilarang digunakan dalam pembunuhan itu.
Brennan yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah CIA sehingga Januari lalu, membuat kenyataan itu dalam temuramah bersama CBS, ‘Face the Nation’, susulan penemuan polis Malaysia bahawa agen saraf VX digunakan dalam pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) 13 Februari lalu.
VX adalah agen senjata kimia disenarai sebagai senjata pemusnah besar-besaran (WMD) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan penggunaannya dilarang di bawah Konvensyen Senjata Kimia.
Penemuan itu menguatkan dakwaan Pyongyang menjadi dalang pembunuhan. Lapan warga Korea Utara termasuk mereka yang memegang pasport diplomat atau rasmi, turut dinamakan sebagai suspek dalam kes itu, namun Pyongyang menafikan pembabitan mereka dan mendakwa Korea Selatan bersekongkol dengan Malaysia untuk menuduh negara komunis itu.
“Penggunaan VX ke atas abangnya menunjukkan Korea Utara bertanggungjawab dalam pembunuhan itu, ia satu lagi contoh penggunaan jenis toksin seperti ini untuk menjalankan objektifnya,” katanya.
Brennan berkata, penggunaan VX menunjukkan pemimpin Pyongyang itu terus menggunakan cara membawa maut untuk menghapuskan sama ada pencabar rejim secara dalaman atau sesiapa yang tidak menyokongnya.
“Ada penindasan kejam di Korea Utara sejak beberapa tahun lalu di bawah kepimpinan Jong-un. Beliau membunuh ramai individu, sesetengahnya dengan cara amat kejam,” katanya.
Dalam cubaan mengukuhkan kuasanya sejak mengambil alih kepemimpinan susulan kematian bapanya, Kim Jong-il pada akhir 2011, pemimpin Korea Utara itu menghukum mati sejumlah anggota kanan kerajaan dan pegawai tentera, termasuk bapa saudaranya sendiri, Jang Song-thaek pada 2013. – Yonhap

.
Dikatakan Kim Jong Un lah satu2nya di Korea Utara yang paling gemok. Cuba cari rakyatnya yang gemok seperti dia.. jgn risau anda tak akan jumpa..
.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger