CABARAN KELUARGA DAKWAH DALAM ERA GLOBALISASI (part 2) by Ustaz Alias Othman
Cabaran Membentuk Fikrah Pewaris.
Para du'at bertanggungjawab memastikan keluarga memainkan peranan berkesan dalam membentuk fikrah genarasi pewaris. Ini dapat di lakukan dalam berbagai bentuk. Namun yang paling penting ialah qudwah hasanah.
Ketua keluarga ( suami dan isteri) mestilah menjadi qudwah sebagai aktivis dakwah kepada pewaris. Mereka mesti menjadi contoh amali kepada pewaris. Ini adalah cabaran kepada ketua keluarga supaya sentiasa dapat menunjukkan penglibatan serius mereka dalam kerja-kerja dakwah. Kata pepatah Melayu:
"Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi".
"Bapa borek anak rintik".
"Mana mungkin ketam mengajar anaknya berjalan betul".
"Bapa kencing berdiri anak kencing berlari".
Kata pepatah Arab:
"Bahasa buat lebih fasih (mudah difahami) dari bahasa cakap."
"Yang tidak milik apa-apa tidak dapat beri apa-apa".
"Setiap orang akan membelanjakan apa yang ia ada".
Ketua keluarga yang gagal menjadi contoh sukar berjaya membentuk keluarga du'at dan sekali gus gagal membentuk genarasi pewaris.
Cabaran Hidupkan Suasana Dakwah.
Keluarga du'at tercabar untuk memastikan suasana dakwah sentiasa hidup dalam keluarga. Sebolehnya suasana yang mendominasi keluarga ialah suasana dakwah. Seluruh konsep, nilai dan neraca dalam keluarga mesti sejajar dengan nilai, konsep dan neraca dakwah. Cita-cita, cinta, bacaan, keutamaan-keutamaan dalam keluarga, rutin hidup harian, usaha mencari rezeki dan kekayaan, perbelanjaan, perbualan, aktiviti, hubungan-hubungan, hiburan, rekreasi, tetamu dan lain-lain semestinya tidak terpisah daripada dakwah. Kesemua ini secara natural akan berpindah kepada pewaris dalam keadaan yang cukup tabi'ie dan akan mendarah daging.
Realiti kita.
Setakat ini, realitinya, walau pun kita mampu mempertahankan yang wajib tetapi secara umum kita banyak menurun dalam banyak aspek. Malah dalam sesetengah perkara ada di antara kita yang telah jauh terbabas dari landasan.
Kehidupan Keluarga.
Daripada sudut kehidupan material secara rawak keluarga kita paling kurang telah mencapai tahap sederhana, malah ada yang kaya.
Daripada sudut pencapaian keluarga bahagia saya rasa majoriti keluarga kita dapat memastikan kebahagiaan berkeluarga. Tetapi tidak dapat dinafikan ada keluarga yang menghadapi masalah. Banyak kes-kes yang sampai kepengetahuan kami.
Daripada sudut pemeliharaan adab dan tata susila Islam kita masih dapat mempertahankan yang wajib-wajib. Tetapi dalam perkara fadzail dan warak kita telah banyak menurun. Dulu kita pakai furdah, sekarang kita pakai tudung tiga segi. Dulu kita pakai jubah, sekarang kita pakai seluar dan kemeja labuh atau pakai stail Hindi.
Pemeliharaan al-'afaf.
Daripada sudut pemeliharaan al-'afaf golongan bapa dan ibu saya yakin sebilangan besar kita dapat memeliharanya dengan baik dalam hubungan suami isteri dan dengan orang lain. Namun ada kes cinta warga tua di kalangan kita. Ia sampai membawa kepada perpecahan. Ia bukan hanya berlaku kepada orang kecil dalam dakwah, tetapi berlaku kepada orang-orang besar juga.
Perkahwinan kedua ikhwah tidak mengurangkan bilangan akhawat yang belum bersuami.
Di kalangan anak-anak, setakat yang saya tahu kita belum berjaya memastikan anak-anak memilih pasangan berdasarkan perjuangan dakwah. Kita belum berjaya memastikan percintaan mereka didasarkan di atas fikrah islamiah. Percintaan mereka masih sama dengan anak-anak orang biasa. Mungkin ada satu dua kes sahaja.
Menjajarkan Rumahtangga Dengan Dakwah.
Saya tidak banyak berjalan menziarahi rumah-rumah ikhwah dan akhawat. Jadi, saya tidak dapat satu gambaran jelas mengenai penjajaran kehidupan keluarga kita dengan kehidupan dakwah. Tetapi apa yang dapat kita saksikan, jemaah kita tidak semewah keluarga kita. Dakwah kita tidak mendapat perhatian daripada semua ahli sebagai mana rumah kita mendapat perhatian daripada semua kita.
Fenomena tidak berlaku pertambahan ahli, piramid keahlian yang terbalik, aktivis yang sama di semua program dan di semua peringkat, kelembapan tarbiah adalah petunjuk-petunjuk jelas kepada penjajaran yang tidak sempurna ini.
Membina Fikrah Pewaris.
Setakat ini mungkin bilangan anak-anak kita telah mencecah ribu. Sudah ada anak kita yang berusia 26 tahun. Alhamdulillah , telah ada di kalangan mereka yang aktif dalam dakwah. Namun bilangannya amat menyedihkan, terlalu amat sedikit. Yang sedikit itu pun belum mencapai kualiti yang sepatutnya. Belum ada di antara mereka yang layak di serahkan tugas yang lebih bermakna dalam sebuah harakah islamiah. Sedangkan anda dahulu, dalam usia mereka, telah mencapai satu tahap yang boleh diserahkan mas uliyah.
Bukan hanya setakat tidak cukup kualiti, tidak terlibat dalam kegiatan dakwah, malah ada anak-anak kita yang terbabas. Yang tidak berminat dengan amal dakwah mewakili majoriti anak-anak kita.
Penutup.
Sudah ada antara lita meredah kerja dakwah melebihi 30 tahun
Sudah banyak pahit maung dirasai
Sudah banyak pengalaman ditimba
Sudah ada antara kita yang menjengkau usia tua
Anak-anak sudah ramai yang meningkat usia remaja
Telah ada yang mencapai usia matang dan dewasa
Malah telah ada yang menimang cahaya mata
Tetapi, semuakah mereka berada dalam saf dakwah?.
Pernahkah kita bertanya pada diri
Sudahkah anak-anak terjamin akan mewarisi ?.
Ataukah sebenarnya mereka telah jauh sesat diri
Ataukah kita sendiri yang telah menyesal menjadi da'ie
Dan tidak lagi merestui anak mengikut jalan ini
Atau memang ia kecuaian diri
Anak-anak yang telah remaja,
Dulu kamu dikilik ke hulu ke hilir menghadiri program dakwah
Di dalam dan di luar negara
Kamu tidak tahu apa-apa
Tetapi kini kamu telah mampu menilai
Telah kamu tentukan di saf mana kamu berada
Mari kita renungi bersama,
Mari kita insafi semula
Semoga taufik yang maha esa.
Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi (segala yg baik tu dari Allah dan yg buruk tu dari diriku)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam
"I know Kung Fu"
12 hours ago
No comments:
Post a Comment