Oleh:Izwan A.H
Watikah Dari Langit
Seorang lelaki seharusnya menyedari bahawa dirinya menjadi pemimpin kepada kaum perempuan. Lelaki menjadi pemimpin kepada perempuan bukanlah atas perlantikan kaum perempuan yang dipimpinnya, tetapi perlantikan ini adalah dari Yang Maha Esa. Allah SWT telah pun memberi watikah perlantikan itu menerusi wahyuNya sebagaimana diawal surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:
“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum perempuan….”
Jika semua perempuan telah terpikul sebagai tanggungjawab kepada seorang lelaki, apatah lagi perempuan yang mendampinginya iaitu isteri. Sudah tentu isteri menjadi tanggungjawab yang khusus kepada seorang lelaki bergelar suami. Boleh jadi adil untuk mengatakan bahawa jika tanggungjawab terhadap isteri tidak terlaksana dengan sempurna apatah lagi diharapkan untuk bertanggungjawab kepada seluruh kaum perempuan. Kerana isteri boleh menjadi cerminan untuk menilai seorang lelaki.
Bagi seorang isteri pula ia seharusnya memahami betapa besarnya tanggungjawab yang telah Allah SWT amanahkan kepada suaminya sebagai seorang lelaki.
Tiga Peringkat Keperibadian Hawa
Pra-kepimpinan seorang suami terhadap isterinya adalah mengenali sifat keperibadian isteri. Al-Qur’an meletakkan tiga peringkat keperibadian seorang hawa.
Peringkat pertama ialah:
• anak-anak perempuan (al-Baqarah:49)
• semua perempuan di dunia (ali-‘Imran:42)
• golongan perempuan (an-Nisa’:23)
• saudara perempuan (an-Nur:31)
• lunak suaranya (al-Ahzab:32)
• suka mempamerkan diri (al-Ahzab:55)
• boleh melakukan hubungan kelamin (al-Baqarah:187)
• haid, monopous & idah (at-Thalaq:4)
• perbuatan emosi (al-Hujurat:11)
Peringkat kedua:
• dilibatkan dalam pembahagian harta peninggalan (an-Nisa’:12)
• dilibatkan dalam masalah kalaalah (an-Nisa’:176)
• perbincangan suami isteri (an-Nisa’:128)
• isteri Imran (ali-‘Imran:35)
• isteri Al-Aziz (Yusuf:30)
• isteri Firaun (al-Qasas:9)
• isteri Nabi Ibrahim (adz-Dzariyat:29)
• isteri Nabi Zakaria (al-Anbiyaa’:90)
• isteri Nabi Nuh (at-Tahriim:10)
• isteri Nabi Luth (at-Tahriim:10)
• isteri Abu Lahab (al-Masad:4)
• ibu Maryam (Maryam:28)
• memerintah negara (al-Naml:23)
• pengembala kambing (al-Qasas:23)
Peringkat ketiga:
• amar maaruf nahi mungkar (at-Taubah:71)
• mendirikan solat (at-Taubah:71)
• memberi zakat (at-Taubah:71)
• taat kepada Allah, taat kepada Rasul (at-Taubah:71)
• menyekat pandangan, memelihara kehormatan (an-Nur:31)
• tidak memperlihatkan perhiasan tubuh (an-Nur:31)
• tidak menghentak kaki untuk menunjuk perhiasan kaki (an-Nur:31)
• taat, benar, sabar, merendah diri, bersedekah, memelihara kehormatan, banyak berzikir (al-Ahzab:35)
• berhijrah, diuji dan berbaiah (al-Mumtahanah:10&12)
• membelanjakan harta pada jalan Allah (al-Baqarah:262)
Dari peringkat pertama kita diperkenalkan dengan sifat keperibadian umum yang ada pada semua kaum hawa. Seterusnya ada hawa yang mencapai tingkat kedua atas sebab hak perundangan (hukum) yang diberikan kepada mereka. Mereka juga mungkin memperolehi keistimewaan atau kedudukan tertentu kerana mengahwini suami yang berkedudukan. Malah ada dikalangan mereka ini yang mampu mentadbir organisasi atau yang berkerjaya, dalam erti kata mudah; mereka yang mempunyai kekuatan pada akal dan ilmu. Tingkat ketiga adalah hawa yang tunduk patuh pada perintah dan larangan Allah SWT, melakukan amal soleh serta berkorban untuk agamaNya.
Hala Tuju Kepimpinan Suami
Terpulang kepada suami tingkat keperibadian yang mana ingin dicapai untuk isterinya. Semuanya terletak pada kepimpinanan suami, insya’Allah. Jika suami menginsafi tanggungjawab kepimpinan yang dianugerahkan kepadanya, sudah tentu tingkat keperibadian yang ketigalah yang perlu dicapainya, lebih-lebih lagi kepada isteri sendiri.
Apabila seorang lelaki selesai berijab qabul bermakna dia sudah bergelar suami, lalu isteri yang bersamanya adalah satu amanah dalam ujian kepimpinannya. Siapa pun isteri yang diterima, tidak kiralah dia dari tingkat keperibadian pertama, kedua mahupun ketiga, suami tetap mempunyai tanggungjawabnya iaitu memimpin.
Bagi suami yang menerima isteri yang memiliki tingkat keperibadian pertama dan kedua, amanahnya memimpin isteri menuju ke peringkat keperibadian ketiga. Pada yang menerima isteri yang memiliki tingkat keperibadian ketiga, jangan merasa diri beruntung atau boleh ambil mudah, kepimpinannya lebih berat lagi iaitu untuk mengekalkan isteri sentiasa istiqamah ditingkat itu. Malah jangan dilupai, biarpun isteri ditingkat ketiga atau kedua, keperibadian tingkat pertama adalah sesuatu yang fitrah berada dalam diri si isteri. Kerana hakikatnya, tingkat mana pun yang dicapainya, kesemua peribadian itu berada dalam diri yang satu.
Al-Qur’an dan As-Sunnah Silibus Teragung
Al-Qur’an sebagai silibus teragung memberi panduan untuk rujukan suami dalam menjalankan amanah kepimpinannya. Kepimpinan suami boleh dianggap berjaya jika telah memimpin isterinya mencapai dan / atau mengekali peringkat keperibadian ketiga. Namun jika sebaliknya, suami mungkin menghadapi perkara-perkara yang akan menguji kepimpinannya. Allah SWT memberi panduan berdasarkan ayat berikut:
“…..Sebab itu maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka jangan kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesunggguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (an-Nisa’:34)
Tahap dalam menghadapi permasalahan isteri itu ada 3:
1. menasihati dengan segala cara sebagai usaha untuk melembutkan hatinya;
2. berpisah tempat tidur sebagai suatu dugaan kepada perasaan dan jiwa isteri agar ia kembali kepada kebenaran;
3. pukul secara maaruf yakni tidak mencederakan atau meninggalkan bekas di badan isteri juga mengelak dari memukul muka, dada atau perut.
Tahap ini tidak bermaksud dilakukan kesemuanya. Jika isteri boleh dihadapi dengan tahap pertama, maka tidak perlulah untuk tahap seterusnya. Kerana itu Allah memberi ingatan buat suami bahawa perkara yang sudah diselesaikan jangan suami pula menjadi penyebab permasalahan itu boleh berulang semula.
As-Sunnah Rasulullah SAW juga penting sebagai contoh ikutan yang terunggul. Beberapa kisah dari sirah Rasulullah SAW dapat dijadikan pengajaran yang perlu diambil si suami. Paling banyak adalah kisah-kisah Rasulullah SAW menghadapi pertanyaan demi pertanyaan dari kaum perempuan berhubung masalah kewanitaan mereka termasuk hal-hal yang pada kita terlalu sulit untuk dibicarakan sebagaimana kisah yang diriwayatkan sendiri oleh Saiyidatina Aisyah RA berikut:
Seorang wanita bertanya Nabi SAW: “Bagaimanakah cara orang perempuan mandi dari haidnya?” Perawi Hadith berkata: Kemudian Aisyah menyebutkan bahawa Baginda mengajarkan cara mandi kepada wanita tersebut. Di antara sabda Baginda: “Kemudian kamu ambil kapas yang disapu bauan kasturi, lalu kamu bersucilah dengannya.” Perempuan itu berkata: “Bagaimana cara bersuci dengannya?” Baginda bersabda: “Maha suci Allah! Kamu bersucilah dengannya.” lalu Baginda pun bersembunyi. Sufian bin Uyainah memberi isyarat kepada kami dengan meletakkan tangan pada wajahnya. Perawi Hadith melanjutkan ceritanya: Aisyah berkata: Aku menarik perempuan itu kerana aku sudah tahu apa yang dikehendaki oleh Nabi SAW. Lalu aku berkata kepada wanita tersebut: “Sapulah tempat keluar darah haidmu dengan kapas itu.”
Begitu juga terdapat kisah tuntutan-tuntutan kaum perempuan agar Rasulullah mengadakan kuliah khusus buat mereka. Dalam satu kisah yang mahsyur Rasulullah menghadapi seorang wanita tua yang selalu mengejeknya tatkala Rasulullah menggunakan jalan berhampiran rumah wanita tua itu. Hinggalah satu hari wanita tua itu tidak lagi mengejek Rasulullah ketika Baginda lalu dijalan yang sama. Rupanya wanita tua itu jatuh sakit dan Rasulullah menziarahi wanita tua itu. Dengan penuh kasih sayang, Baginda menyuapkan makanan kepada wanita tua itu yang sedang sakit itu sehingga menimbulkan keinsafan dihati wanita tua itu. Dan banyak lagi kisah Rasulullah dalam menghadapi kerenah kaum perempuan termasuk cubaan membunuh Baginda, namun Rasulullah tetap tampil bertindak sebagai seorang pemimpin yang unggul.
Rasulullah SAW juga tidak ketinggalan menghadapi kerenah isteri-isteri Baginda dalam menguruskan rumahtangga. Malah ada hal ehwal rumahtangga Baginda yang mendapat ‘perhatian’ hingga diturunkan wahyu sebagai pengajaran untuk sekalian umat. Antaranya surah at-Tahrim ayat 1-5 yang mengisahkan Rasulullah SAW pergi ke rumah Zainab al-Jahsyi dengan Baginda diberi minum madu lebah dan dikatakan bahawa duduk agak lama disitu. Hal ini mendatangkan rasa cemburu kepada Hafsah lalu menceritakan hal ini kepada Aisyah. Maka merekapun berpakat dengan satu jawapan yang sama. Maka apabila Rasulullah SAW mendatangi isterinya itu, dia mengatakan bahawa Rasulullah mulutnya berbau maghaafir (sejenis minuman yang berbau). Rasulullah menafikan, dan menjelaskan bahawa Baginda meminum madu di rumah Zainab.
Ini menyebabkan Rasulullah bersumpah tidak mahu minum madu lagi dan supaya Hafsah rasa senang hati dan minta Hafsah merahsiakan sumpah Baginda. Namun Allah tidak memperkenankan sumpahan itu. Barangkali Hafsah yang tidak tertahan kerana seronok terhadap janji Nabi SAW itu terus mengkhabarkan rahsia itu kepada Aisyah, lalu Allah memberitahu hal ini kepada Nabi SAW. Maka diriwayatkan bahawa Nabi SAW memboikot mereka selama sebulan.
Tunaikan Hak, Jauhi Penganiayaan
Isteri bukan sahaja perlu dipimpin, tetapi hak-hak insani seorang isteri juga perlu ditunaikan suami. Allah SWT mengisytiharkan hak-hak berikut sebagai tanggungjawab yang mesti dilaksana dan ditunai serta disempurnakan oleh suami:
• menggauli isteri (al-Baqarah:187)
• memberi makan dan pakaian (al-Baqarah:233)
• upah penyusuan (al-Baqarah:233)
• wasiat nafkah (al-Baqarah:240)
• pemberian mut’ah (al-Baqarah:241)
• menunaikan wasiat dan membayar hutang isteri (an-Nisa’:12)
• menggauli dengan cara yang baik (an-Nisa’:19)
• membayar mas kahwin (an-Nisa’:24)
• saling berkasih sayang (ar-Rum:21)
• bercerai mengikut masa ‘iddah (at-Thalaq:1)
• menyediakan tempat tinggal (at-Thalaq:6)
• nafkah dan upah penyusuan (at-Thalaq:6)
Tidak kurang juga ayat-ayat pertegasan agar suami menjauhi perbuatan penganiayaan terhadap isteri. Jika isteri diambil dan dihalalkan dengan nama Allah, maka Allah juga berbicara soal suami isteri dengan pengakhiran tentang kebesaran dan kekuasaanNya. Bentuk-bentuk penganiayaan kepada isteri yang mesti dijauhi adalah seperti ringkasan berikut:
• mengambil harta isteri (al-Baqarah:229)
• tidak adil dalam kasih sayang (an-Nisa’:129)
• ziharkan isteri (al-Mujadalah:2)
• rujuk dengan maksud memberi mudharat (al-Baqarah:231)
• menghalau keluar rumah (at-Thalaq:1)
• bersumpah tidak mencampuri isteri (al-Baqarah:226)
Mengelak Dari Fitnah Dunia dan Api Neraka
“…Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu….” (at-Taghabun:14)
Dalam al-Qur’an juga Allah SWT merakamkan peringatanNya buat para suami berhubung pentingnya mendidik isteri untuk menjauhi kemewahan dunia yang keterlaluan lagi mengundang kepada fitnah. Firman Allah SWT:
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasan (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (al-Ahzab:28)
Termasuk dalam perkara ini adalah peringatan kepada isteri dan kaum hawa agar menjaga penampilan diri sebagaimana yang terkandung dalam ayat berikut:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani…” (al-Ahzab:59)
Malah pada penegasan dalam ayat yang lain, Allah SWT mengingatkan tentang kehidupan di dunia menjadi penentuan balasan di hari pembalasan sebagaimana firmanNya dalam ayat berikut:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka…” (at-Tahrim:6)
Juga dari hadith Rasulullah SAW yang memperincikan perkara tersebut:
“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda s.a.w ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah s.a.w menjawab, “mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumah tangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Apabila kamu melakukan kebaikan kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!”
Perlu menjadi ingatan kepada isteri bahawa kebanyakan punca golongan mereka ke neraka hanyalah kerana perkara-perkara kecil yang tidak sewajarnya mereka lakukan terhadap suami. Malah kepada suami ini juga menjadi pengajaran bahawa pentingnya dia sentiasa memimpin dalam ruanglingkup yang ditetapkan oleh Allah SWT.
"I know Kung Fu"
12 hours ago
No comments:
Post a Comment