DEMOKRASI : ISLAM TIDAK JUMUD DALAM BERTINDAK
Kelahiran golongan yang mengambil nas secara zahir, tanpa melihat kepada kaedah pengambilan hukum yang manhajnya telah disusun oleh ulama-ulama mujtahid dikalangan salaf soleh terdahulu telah menyebabkan kebingungan dikalangan pencinta-pecinta ilmu tentang pengamalan sistem demokrasi pada hari ini.
Ulama-ulama mujtahidin terdahulu telah mengulas dan menulis kitab-kitab cara-cara pengambilan hukum. Semuanya adalah bertujuan untuk memudahkan generasi terkemudian mengistinbatkan hukum berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Tapi apa yang pelik, dikebelakangan ini, lahir puak-puak yang mendakwa pengikut setia Al-Quran dan As-Sunnah, tapi cara penghujahan mereka hanya sekadar mengikut pemahaman akal dan nafsu mereka, tanpa merujuk kepada kaedah pengistinbatan hukum yang betul, disamping mereka melalaikan “waqi” yang merupakan asas bagi menyesuaikan sesuatu keadaan kepada hukum.
Kaedah fiqh menyatakan;
إثبات الحكم بالعلة فرع لاثبات الحكم بالنص
Maksudnya;
“Mengisbatkan hukum dengan ‘illat adalah satu furu’ bagi mengisbatkan hukum dengan nas” (Usul As-Sarkhasi : 2/265)
Begitujuga, Imam Al-Amudi ada menyatakan dalam kitabnya “Al-Ahkam”;
أما الوصف الجامع فهو فرع في الحكم لكونه مستنبطا من محل حكم المنصوص
Maksudnya;
“Adapun sifat yang merangkumi, ia merupakan furu’ pada hukum, ianya untuk menistinbatkan hukum daripada tempat hukum yang dinaskan” (Al-Ahkam li Al-Amudi : 3/193)
Dua kaedah ini menggambarkan, sebelum hendak menyatakan sesuatu perkara itu halal atau haram, maka hendaklah dipastikan bentuk benda yang hendak dijatuhkan hukum.
Menentukan hukum sesuatu itu bukanlah tertakluk kepada namanya semata-mata, bahkan hendaklah dirujuk kepada benda yang dinamakan (المسمى). Dengan sikap yang terlalu gelojoh menjatuhkan hukum, mengakibatkan natijah hukum bersifat “zalim” dan berat sebelah.
Inilah keadaan yang berlaku kepada mereka yang mendakwa pengikut Al-Quran dan As-Sunnah yang mudah menyatakan sesuatu itu haram disebabkan pengamalan itu tidak pernah berlaku pada zaman nabi SAW, sedangkan disana terdapat hadis-hadis yang merupakan kaedah-kaedah umum, ianya adalah alat untuk penyesuaian nas kepada sesuatu perkara yang hendak dihukumkan.
ASAL SESUATU ADALAH HARUS
Imam Al-Amudi menyatakan;
الاصل في الافعال كلها إنما هو الاباحة، ورفع الحرج عن الفعل، والترك، إلا ما دل الدليل على تغييره
Maksudnya;
“Asal pada semua perbuatan adalah harus dan terangkat kesusahan daripada perbuatan yang kena buat atau di tinggalkan melainkan ada dalil yang menyatakan atas perubahannya”(Al-Ahkam Lil Al-Amudi : 1/178)
Begitujuga, Imam As-Syatibi menyatakan dalam kitab “Al-Muwafaqat Fi Usul As-Syariah”;
وأصل العادات الالتفات إلى المعاني
Maksudnya;
“Asal perkara adat adalah dikembalikan kepada Maknanya” (2/513)
Dr Yusuf Al-Qaradhawi pula menyatakan dalam kitabnya “Al-Halal wa Al-Haram Fi Al-Islam”;
أن الأصل فيما خلق الله من أشياء و منافع هو الحل و الإباحة , ولا حرام إلا ما ورد نص صحيح صريح من الشارع بتحريمه
Maksudnya;
“Sesungguhnya asal pada perkara yang Allah ciptakan dari sesuatu perkara atau perkara yang memberi manfaat adalah halal dan harus, tidak haram melainkan wujud nas sahih, sarih daripada Syari’ dalam mengharamkannya”(m.s 20)
Dari kaedah fiqh ini, difahami bahawa, semua perkara yang adalah harus, melainkan wujudnya unsure-unsur yang membawa kepada haram.
Oleh yang demikian, pengamalan sistem demokrasi dalam pemilihan pemerintah, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu bentuk pengamalannya disamping diperhatikan unsure-unsur yang bercanggah dengan nas yang memungkinkan ia sebagai haram atau tidak.
DEMOKRASI
Telah dinyatakan dalam tulisan yang lalu, penggunaan sistem demokrasi yang diamalkan oleh parti islam di Negara ini, bukanlah untuk dijadikan sebagai suatu aqidah, tetapi ianya adalah suatu alat bagi menghadapi musuh-musuh islam.
Jika diperhatikan, demokrasi banyak mempunyai kesamaan dengan ajaran islam. pun begitu, tidak dinafikan, terdapat di sana beberapa perkara yang melibatkan dengan demokrasi, tetapi bercanggah dengan pengamalan islam.
TITIK PERTEMUAN ANTARA DEMOKRASI DAN ISLAM
Seperti diketahui, rasul-rasul dan nabi-nabi diutuskan kepada manusia untuk menyampaikan risalah Islam. dengan keadaan itu, dapat dilihat, kebanyakan mereka menghadapi golongan yang memerintah di zaman mereka.
Nabi Noh merupakan antara Rasul pertama yang berjuang menghadapi golongan yang dinamakan Al-Mala’ (pemimpin-pemimpin) dikalangan kaumnya. Nabi Ibrahim menghadapi Raja Namrud yang memerintah kerajaan Babilon, kuasa besar di zamannya. Nabi Musa menghadapi Firaun yang juga memerintah kuasa besar yang kejam di ketika itu.
Keadaan yang sama juga berlaku kepada nabi SAW menghadapi pemerintah Makkah dan kuasa besar Farsi dan Rom di zamannya yang melakukan berbagai-bagai kesesatan dan kezaliman.
Maka dengan itu, dilihat perjuangan nabi-nabi terdahulu banyak menghadapi golongan pemerintah yang tidak menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran mereka.
Dalam keadaan itupun, nabi Muhammad SAW menghadapi golongan yang memerintah sehingga Baginda terpaksa berhijrah meninggalkan Makkah disebabkan tekanan yang terlalu hebat yang dilakuakn oleh golongan kuffar yang dikepalai kepimpinan Negara makkah ketika itu.
Dengan penghijrahan nabi SAW, baginda berjaya membina pengaruhnya tersendiri. Dengan pengaruh itu, baginda berjaya membina sebuah pemerintahan Islam yang berasaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama Negara.
Dalam menghadapi pemerintahan ketika itu, Baginda tidak membuang semua cara perlantikan yang diamalkan oleh mereka terdahulu, tetapi baginda SAW mengedit sebilangan cara pengamalan dalam perlantikan pemimpin.
Cara itu disambung oleh khalifah-khalifah islam selepas Baginda. Ini dapat dibuktikan dengan perlantikan Abu Bakar melalui kaedah Baiaah. Perlantikan Omar dengan menggunakan kaedah Istikhlaf (iaitu perlantikan yang ditentukan oleh Abu bakar). Perlantikan Osman bin Affan melalaui kaedah pemilihan (iaitu perlantikan melalui cadangan nama yang diberi oleh Omar untuk dipilih oleh sebilangan sahabat-sahabat besar berdasarkan kepada kelayakan. Antara nama-nama yang dicadangkan adalah, Osman, Ali, Zubair, Talhah, saad dan Abdul Rahman bin Auf). (Al-Imamah Al-Uzma : 144-154)
Setelah Saidina Osman bin Affan di bunuh, berlaku sedikit pertelingkahan dalam perlantikan Ali sebagai Khalifah. Pertelingkahan itu berlaku disebabkan sikap ahli Syam ketika itu yang tidak mahu membaiaah Saidina Ali sebagai Khalifah. Pun begitu, setelah didesak, Saidina Ali telah dijumpai sebilangan sahabat menyatakan kelayakan beliau. Disebabkan desakan hebat dari sebilangan sahabat menyebabkan Ali telah naik atas masjid dan menyatakan;
فمن شاء يبايعني بايعني
Maksudnya;
“Barangsiapa yang mahu membaiaahku, maka baiaahlahku”
Melihat keadaan demikian, semua manusia telah membaiaah Saidina Ali sebagai Khalifah islam selepas dari Kesyahidan Saidina Osman bin Affan. (Al-Imamah Al-Uzma : m.s 155)
Melihat kepada kaedah perlantikan ini, dapat dilihat, perlantikan pemerintahan yang diamalkan dizaman salaf bukanlah menggunakan satu cara sahaja, bahkan mereka menggunakan banyak cara yang lain yang kadangkala asal cara perlantikan itu diambil dari mereka yang terdahulu, tetapi telah di edit agar tidak bercanggah dengan ajaran syariah, dan diguna pakai dalam islam.
Maka sebab itulah, tidak hairan Allah menyuruh mengadakan dialog antara Islam dengan Ahli Kitab. Tujuannya adalah untuk mencari dimanakah titik persamaan antara ahli kitab dan Islam, kemudian Islam mengenepikan perkara yang bercanggah dengan syariat dan menerima perkara yang tidak bercanggah dengan syariah.
Firman Allah;
قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ
Maksudnya;
“Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah."
(Surah Al-Imran : 64)
Dalam keadaan itulah, bagi memenangkan Islam dan berusaha kearah kedaulatan Islam dalam Negara yang telah mengamalkan sistem demokrasi, hendaklah diadakan “pertemuan” bagi mencari titik pertemuan dan kesamaan antara Islam dan demokrasi. Dari situ, hendaklah dilakukan tilikan terhadap kesamaan antara pengamalan sistem demokrasi yang tidak bercanggah dengan islam yang kemudian dijadikannya sebagai cara untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah kepada masyarakat.
HAK BERSUARA
Antara contoh kesamaan antara Demokrasi dan islam adalah, dalam sistem demokrasi, rakyat diberi hak untuk menyatakan hasrat hati mereka. keadaan ini mempunyai kesamaan dengan islam yang memberi hak kepada sesiapa sahaja untuk menyatakan hak mereka.
Daripada Abu Hurairah R.A, Sabda nabi SAW;
فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا
Maksudnya;
“Maka sesungguhnya bagi orang yang ada hak itu bersuara” (Al-Bukhari : 2226)
Begitujuga berlaku kepada Saidina Omar yang ditegur oleh seorang perempuan dalam satu pertemuan bersama rakyat. Pertemuan yang berpunca dari cadangan Omar yang mencadangkan kepada perempuan supaya memurahkan mas kahwin. Cadangan omar itu telah dibangkang oleh seorang perempuan dengan dibacakan firman Allah;
وآتيتم إحداهن قنطارا
Maksudnya;
“kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak”
(Surah An-Nisa’ : 20)
Mendengar kritikan dari perempuan tersebut, Omar menyatakan;
امرأة أصابت ورجل أخطأ
Maksudnya;
“Perempuan telah betul, dan lelaki telah silap” (Ibnu Kathir : 2/244 : hadis ini, Albani menyatakan bahwa sanadnya lemah. Pun begitu, Abu Ya’la mengatakan sanad hadis ini baik dan kuat)
MENYERANG DIKTATOR
Menyerang diktator juga merupakan antara unsur kesamaan antara Islam dengan demokrasi. Dalam demokrasi, rakyat diberi hak untuk menyatakan kehendak diri mereka. maka sebab itu, demokrasi memberi hak bersuara kepada rakyat disamping mereka boleh menyatakan ketidak puas hati mereka.
Jika diperhatikan kepada kelahiran demokrasi, ianya melalui kebangkitan rakyat kerana akibat mengalami tekanan pemerintah. fahaman ini lahir daripada rasa kemanusiaan mengikut fitrah, cumanya yang membezakannya, fahaman ini tidak dipandu oleh wahyu ilahi.
Keadaan ini hakikatnya terdapat unsur kesamaan dengan islam yang amat menentang kezaliman yang dilakukan oleh sesiapa sahaja. Banyak firman-firman Allah dan hadis-hadis nabi yang mengherdik terhadap mereka yang melakukan penindasan dan kezaliman.
Firman Allah;
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya;
“Dan peliharalah dirimu dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya”
(Surah Al-Anfal : 25)
Ayat ini, secara jelas Allah nyatakan bahawa, siksaan itu pasti akan dikenakan kepada mereka yang melakukan kezaliman, yang ianya membawa maksud, amalan zalim itu merupakan sesuatu yang ditentang oleh Allah.
Begitujuga Firman Allah;
وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ
Maksudnya;
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim"
(Surah Al-Baqarah : 124)
Imam Ibnu Majah meriwayatkan hadis dari Ibnu Omar yang berkata;
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَعَانَ عَلَى خُصُومَةٍ بِظُلْمٍ أَوْ يُعِينُ عَلَى ظُلْمٍ لَمْ يَزَلْ فِي سَخَطِ اللَّهِ حَتَّى يَنْزِعَ
Maksudnya;
“Bersabda Rasulullah SAW, barangsiapa yang membantu atas permusuhan dengan kezaliman atau membantu atas kezaliman, maka sentiasalah ia berada dalam kemurkaan Allah sehingga dia bertaubat” (Sunan Ibni Majah : 2311: hadis ini dilihat hasan oleh Albani dalam kitab “salsalah sahihah”)
Melihat kepada hadis ini, orang yang membantu orang melakukan kezaliman pun sudah dikira sebagai dosa sehingga mendapat kemurkaan Allah, maka terlebih murkalah Allah terhadap orang yang melakukan kezaliman.
Apa yang nyata, Baginda SAW menyatakan bahawa, perkara yang lebih berbahaya dari kezaliman adalah berdiam diri terhadap kezaliman, iaitu tidak bertindak untuk memberhentikan kezaliman. Juga lebih berbahaya dari kezaliman adalah cenderung kepada kezaliman.
Sabda Nabi SAW;
إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ بِعِقَابٍ
Maksudnya;
“Sesungguhnya Manusia, apabila mereka melihat akan orang yang melakukan kezaliman, lalu dia tidak memegang dua tangannya, dibimbangi Allah akan menurunkan azab secara menyeluruh”(Sunan Abi Daud : 3775)
Diktator merupakan antara kezaliman yang dilakukan oleh manusia terhadap manusia yang lain. kezaliman ini ditentang oleh Islam berdasarkan kepada firman Allah dari surah Al-Baqarah, ayat 124 dan hadis yang dinyatakan di atas.
GALAKAN BERMESYUARAT
Mesyuarat merupakan antara unsure utama dalam Islam. dalam menghadapi sesuatu keadaan, kadangkala dengan tidak mendengar pandangan dari pihak yang lain, atau sekadar diharapkan kepada pandangan sendiri sahaja, akan melahirkan satu keputusan yang negetif disambing natijah disebalik keputusan itu melahirkan kerosakan.
Keadaan itulah menyebabkan Islam telah meletakan beberapa kaedah dalam mendapat keputusan yang baik, iaitu dengan kemukakan kaedah permesyuaratan.
Firman Allah;
وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ
Maksudnya;
“sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka”
(Surah As-Syura : 38)
Firman Allah lagi;
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maksudnya;
“dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu]. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”
(Surah Al-Imran : 159)
Dari kaedah permesyuaratan ini juga mempunyai kesamaan dengan demokrasi. Dalam demokrasi, pilihanraya merupakan jalan untuk rakyat mengemukakan wakil-wakil mereka untuk menghadiri mesyuarat Negara, samada di peringkat DUN atau Parlimen.
Yang dengan ini, wakil-wakil rakyat itu dapat memberikan pandangan mereka kepada dewan rakyat di peringkat negeri atau parlimen di peringkat Negara bagi menggubal atau mewujudkan beberapa peruntukan undang-undang di peringkat masing-masing.
MENGHORMATI PENDAPAT MAJORITI
Dalam konsep sistem demokrasi, pandangan majority merupakan pandangan yang wajib di hormati. Maka dengan sebab itulah, pandangan majority mengikut demokrasi merupakan pandangan yang wajib di taati.
Ianya seakan-akan ada kesamaan dengan Islam yang memberi penghormatan yang tinggi kepada pandangan majority.
Sabda Nabi SAW;
فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ
Maksudnya;
“Maka sesungguhnya Syaitan bersama dengan orang yang bersendiri dan dia (syaitan) berjauhan dari dua orang”(Sunan At-Tirmizi : 2091)
PERCANGGAHAN DEMOKRASI DENGAN ISLAM YANG DIEDIT
Tidak dinafikan, dalam demokrasi terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai syirik kepada Allah dan bercanggah dengan Islam. pun begitu, tindakan mengedit demokrasi itu agar tidak terdapat lagi unsure syirik disamping menjauhkan unsure-unsur yang bercanggah dengan Islam merupakan tindakan yang bijak, terutama dalam keadaan untuk berusaha hendak mendaulatkan Islam.
Antara perkara tersebut adalah, demokrasi mengikut cara dokongan pembawa bendera mereka adalah golongan yang tidak menjadikan syariat sebagai neraca dalam menentukan sesuatu keputusan, bahkan mereka lebih mementingkan keputusan ramai.
Bagi menghadapi keadaan ini, golongan Islam yang menjadikan Islam sebagai sandaran perlu dimenangkan dalam pilihanraya, agar wakil-wakil rakyat Islam ini dapat menguasai kerusi-kerusi dalam dewan rakyat atau dewan perlimen. Dengan ramainya wakil-wakil Islam ini, akan lahirlah keputusan majority yang menyebelahi kepada perlaksanaan undang-undang islam dan keadilan islam. maka dengan itu, demokrasi sudah berjaya di edit dan “diperalatkan” untuk mencapai keuntungan Islam.
Demokrasi juga mengajar tentang kebebasan secara mutlak. Ianya disandarkan kepada kehendak majority tanpa disandarkan kepada syarak. Maka dengan itu, kadangkala dengan keadaan itu, apabila majority menghendaki suasana maksiat dalam Negara, maka hendaklah diraikan kehendak ramai, maka dilaksanakan kehendak majority itu.
Dalam hal ini, golongan Islam perlu menyertai demokrasi dalam membataskan kebebasan secara mutlak itu kepada kebebesan yang mengikut syarak. Cara menghadapinya adalah dengan memajoritikan golongan parti islam dalam dewan rakyat dan dewan parlimen, agar suara mereka yang menyeru kepada Islam lebih bergema berbanding suara-suara mereka yang redha dengan kemungkaran.
PENUTUP
Dalam pengajian ilmu Usul fiqh, di awal perbincangannya akan ketemu perbincangan tentang pembahagian hukum kepada Taklifi dan Wadii.
Menghadiri kenduri kahwin yang dijemput merupakan sesuatu yang wajib. Tetapi, jika di majlis kenduri tersebut terdapat unsure-unsur maksiat, maka menghadiri majlis tersebut sudah bertukar kepada haram.
Dari ini difahami, kewajipan menghadirkan diri dalam kenduri kahwin itu merupakan hukum taklifi. Tetapi, dalam keadaan tertentu, hukum taklifi bertukar kepada haram disebabkan ada unsure-unsur maksiat itu. Pertukaran hukum wajib kepada haram dinamakan sebagai hukum wadii.
Sememangnya tidak dinafikan, demokrasi merupakan satu sistem pemilihan dan pemerintahan yang tidak diasaskan kepada Islam. pun begitu, disebabkan ketiadaan pengamalan ini di zaman Nabi, sahabat dan golongan salaf terdahulu, tidak bermakna pengamalannya adalah haram.
Melebelkan golongan harakah islamiyyah yang mengambil sistem demokrasi sebagai jalan untuk merebut kekuasaan politik sesebuah Negara secara secara mutlaq merupakan sesuatu tindakan gelojoh yang diharamkan oleh Allah SWT.
Sabda Nabi SAW;
التأني من الله و العجلة من الشيطان
Maksudnya;
“Berlambatan adalah dari Allah, dan bergopoh/gelojoh adalah dari Syaitan” (salsilah sahihah Albani : 1795)
Ekoran dari itu, sebelum menyatakan pengamalan demokrasi yang dilakukan oleh golongan harakah islamiyyah, perlu diperhatikan terlebih dahulu terhadap pengamalan yang hendak dilakukan disamping mengedit demokrasi itu. Ianya bertujuan agar tidak bercanggah dengan islam.
Ekoran dari itu, walaupun secara hukum taklifinya, demokrasi merupakan pengamalan sistem yang haram, tetapi setelah di edit, secara wadiinya, ianya sudah tidak lagi dikira sebagai haram. Bahkan, disamping itu, setelah pengeditan itu, Islam tidak pernah menghalang dari menggunakan kebijaksanaan untuk memberi manfaat kepada Islam.
Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang berbunyi;
أن الأصل فيما خلق الله من أشياء و منافع هو الحل و الإباحة
Maksudnya;
“Sesungguhnya asal pada perkara yang Allah ciptakan dari sesuatu atau perkara yang memberi manfaat, ianya adalah halal dan harus” (Al-Halal wa Al-haram Fi Al-Islam : m.s 20)
Begitujuga, hadis Rasulullah SAW yang berbunyi;
الحكمة ضالة المؤمن ، حيثما وجد المؤمن ضالته فليجمعها إليه
Maksudnya;
“Kebijaksanaan adalah barang keciciran orang beriman, dimana sahaja orang mukmin dapatinya, maka pungutilah ia” (Musnaf As-Syihab Al-Qada’ii” : 135)
Maka dengan itu, tindakan sebilangan pihak yang mudah menyatakan bahawa pengamalan demokrasi sebagai haram secara mutlak merupakan tindakan jumud yang hakikatnya bersandar kepada kehendak nafsu dan akal mereka yang tidak di asaskan kepada pemahaman kehendak Islam yang bersifat “murunah”.
Mudah-mudahan kita semua mendapat hidayah dari Allah SWT…..
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://al-bakistani.blogspot.com
e mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
"I know Kung Fu"
12 hours ago
No comments:
Post a Comment