6 Mar 2008

PAS ATAU UMNO...Haron Din Menjawab..

Dr Haron Din
Thu | Feb 28, 08 | 10:08:47 am MYT

Soalan | Saya seorang pensyarah di sebuah IPT. Saya tidak berminat soal politik kerana bagi saya, permasalahan politik adalah masalah duniawi dan tidak ada kena mengena dengan ukhrawi (agama). Bagaimanapun saya ingin bertanya, apakah tingkah laku ahli-ahli politik atau pengikut mereka akan dipersoalkan di akhirat tentang sikap politik mereka. Mengapa perlu pilih PAS, tidak BN? - Pensyarah Muda, Kuala Lumpur

Image

Jawapan | Saudara telah membuat andaian berdasarkan kepada pemikiran sendiri. Pemikiran sedemikian mungkin dipengaruhi oleh keadaan politik semasa yang senantiasa bergolak.

Saya memahami orang pemahaman seperti saudara memang wujud dalam masyarakat kita.

Pemahaman ini wujud kerana teori politik secara umumnya adalah bersifat kebendaan. Ia bersifat sekular.

Sekular adalah suatu sistem yang difahami memisahkan agama daripada kehidupan.

Keseluruhan pemikiran politik yang diteraskan kepada materialisme yang melahirkan fahaman sekular adalah diasaskan ahli-ahli politik Barat, diasaskan kepada akal dan menolak wahyu sebagai alat berpolitik.

Oleh kerana itu, agama kepada sesetengah ahli politik Barat, tidak boleh dicampurkan dengan politik.

Wahyu sebenarnya di luar jangkaan akal manusia. Akal tidak mampu memahami kehendak wahyu. Manusia yang beriman perlu mengambil wahyu sebagai jambatan pengabdian terhadap Allah SWT.

Kefahaman yang diterapkan golongan orientalis menerima wahyu hanya untuk digunakan menyembah Allah, manakala mentadbir negara digunakan akal yang kononnya rasional.

Sekular adalah hasil ciptaan pemikir Barat yang berasaskan realiti dalam masyarakat Barat, khususnya di abad pertengahan sebelum zaman Kebangkitan Eropah (European Renaissance).

Pada zaman itu, masyarakat Eropah dikongkong oleh kuasa gereja. Gereja yang menentukan segala-galanya.

Orang-orang gereja (para Pope) yang paling berkuasa. Kata-kata dan tindakan mereka betul semuanya, tidak boleh disanggah walaupun ia tidak rasional.

Pemikir-pemikir politik Barat, sedar akan kemunduran kerana dijajah oleh keagamaan Kristian yang banyak tidak rasional terhadap mereka, menyebabkan negara mundur. Image

Dari sinilah lahirnya fahaman sekular yang memisahkan penghidupan dengan agama, sekali gus memisahkan agama daripada politik (daripada kalangan Kristian).

Meskipun itu boleh berlaku dalam masyarakat Barat yang berpegang dengan fahaman Kristianiti, ia berbeza dengan agama Islam.

Islam adalah agama yang secara tabi'enya sesuai dengan tabiat di dunia dan penghidupan manusia bagi menjamin kebahagiaan di akhirat.

Firman Allah (mafhumnya): "Maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan (mengikut agama Allah), iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dalam keadaan semula jadinya) untuk menerimanya; tidak patut ada sebarang perubahan kepada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah ar-Rum, ayat 30)

Ini memberi isyarat bahawa agama Islam amat sesuai dengan fitrah manusia. Hukum-hukumnya rasional, mudah diterima akal dan rasional.

Tercatat dalam sejarah Islam dilaksanakan dengan masyarakat manusia, sejarah sejak dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. berpindah ke Madinah pada Tahun 1 Hijrah (622 M), terus menerus dilaksanakan dengan jayanya dan tersebar hingga ke seluruh dunia.

Islam berkembang dari Asia ke Afrika, ke Eropah ke Timur.

Sehingga Kerajaan Uthmaniyah di Turki, di bawah pemerintah sultan terakhir digantikan pemerintahan i'lmaniyyah (sekular) Mustafa Kamal Ataturk pada tahun 1924.

Ketika itu lenyaplah negara Islam yang sebenar, melainkan tinggal beberapa buat negara sahaja.

Pemikiran politik Islam bertitik tolak daripada kefahaman Islam yang tidak memisahkan Islam daripada pemerintahan. Image

Ia bersatu dalam satu perkataan di istilahkan sebagai Ad-Din, cara hidup yang lengkap, terungkap seperti firman Allah (mafhumnya): "...Pada hari ini, Aku (Allah) telah menyempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku terhadap kamu, dan aku reda Islam menjadi ad-Din kamu (cara hidup yang sempurna)..." (Surah al-Maaidah, ayat 3)

Oleh kerana itu, kita umat Islam perlu terima hakikat, Islam adalah agama yang sempurna, termasuk cara berpolitik, memerintah cara Islam.

Jika kita menolak pegangan ini dan memilih yang lain, ia bermakna menolak ketetapan Allah dan merendah-rendahkan agama, seolah-olahnya cara hidup ciptaan manusia, lebih sempurna dari ciptaan Allah.

Merendah-rendahkan agama Allah boleh menyebabkan kerosakan akidah.

Oleh itu maka pemilihan untuk menyokong sesebuah parti politik dan berjuang untuknya mesti dibuat berasaskan keputusan yang betul, bukan semata-mata terpengaruh dengan arus masyarakat.

Jangan sesekali menyokong sesebuah parti yang perjuangannya mendorong hanya kepada kesenangan dunia, lebih-lebih lagi jika perjuangan itu menjadi penentang kepada perjuangan Islam. Wallahua'lam. - lanh Cetak

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger