“Kenapa mesti bercouple sebelum berkahwin?”, soal seorang ustaz dengan tegas.
“Mana mungkin sebuah rumahtangga mendapat keredhaan Allah jika permulaannya sudah tidak tentu hala!”, ujar seorang pendakwah dengan penuh yakin.
Segala nasihat tertuju kepada menyeru agar maksiat dihindarkan oleh mereka yang di usia muda. Jangan mulakan alam rumahtangga dengan dosa dan noda. Kelak binasa.
Tidak susah untuk memahami seruan ini. Itulah kehendak agama. Dosa tidak menjanjikan bahagia. Kebahagiaan letaknya pada ketaatan kepada Allah. Semua itu telah banyak saya ungkapkan di dalam artikel yang lalu. Sebahagian besarnya sudah termuat di dalam buku AKU TERIMA NIKAHNYA.
Dosa tidak menjanjikan bahagia.
Tetapi pastikah bahagia hanya kerana sudah terhindar dari dosa? Jika dosa itu derita, taat itu nikmat kebahagiaan, maka bahagiakah rumahtangga yang jauh dari dosa?
Soalan ini tidak boleh dijawab dengan bahasa praktikal oleh anak-anak muda yang baru menceburkan diri ke alam mencari dan memilih pasangan hidup. Perbincangan kali ini lebih merupakan sebahagian daripada tuntutan Begin with the End in Mind untuk mereka renungkan. Ada pun persoalan yang sedang saya ketengahkan ini, ia adalah untuk mereka yang sudah separuh atau suku jalan menempuh kehidupan berumahtangga.
Persoalan ini banyak mengganggu fikiran saya. Sedikit demi sedikit saya didatangi dengan kes-kes yang luar biasa. Mula-mula ia hanya sekali dua, tetapi lama kelamaan segalanya menjadi seperti timbunan tanah membentuk busut. Hingga tercetus suatu kebimbangan.
Satu demi satu rumahtangga retak dan ribut.
Bukan rumahtangga yang kotor dengan dosa. Bukan suami isteri yang lupa Tuhan. Rumahtangga ini adalah rumahtangga yang dibentuk menurut lunas-lunas Islam. Permulaannya bersih dari masalah pergaulan bebas, malah kedua pasangan ini ‘disatukan’ atas cita-cita Islam, dakwah dan perjuangan yang menemukan mereka.
Seorang ‘akhi’ dan seorang ‘ukhti’, dalam suasana taat kepada Allah… bersatu dalam sebuah Bait Muslim yang berslogankan Baiti Jannati (rumahku syurgaku). Perkahwinan mereka adalah apa yang diimpikan oleh setiap mereka yang mahu mencari separuh kesempurnaan beragama melalui jalan perkahwinan, yang terbina di atas asas taqwa.
Tetapi perkahwinan yang ideal ini sedang diuji. Sangka saya satu atau dua. Ia mungkin kes terpencil. Tetapi sedikit demi sedikit kes ini bertambah dan bercantum, hingga menghasilkan suatu kerisauan yang mendalam. Di manakah silapnya?
Terlalu sulit untuk saya lakarkan kes-kes yang membabitkan rumahtangga ini kerana ia amat sensitif. Rumahtangga seorang lelaki yang berfikrah Islam dan seorang perempuan yang berfikrah Islam, kecundang selepas perkahwinan menjangkau usia matang. Ada di antaranya yang membabitkan perbuatan-perbuatan suami, ada juga yang membabitkan masalah yang ditimbulkan oleh pihak isteri.
Ada suami yang berfikrah Islam, sama ada seorang ustaz mahu pun seorang profesional, mencemarkan rumahtangganya dengan perbuatan-perbuatan curang, bermain kayu tiga, malah ada yang menjadi abusive terhadap isteri dan anak-anak. Ada juga isteri yang berfikrah Islam, merosakkan rumahtangganya dengan perbuatan yang sama… hingga menjadi beban kepada fikiran saya untuk menanggung rahsia mereka.
Saya terpaksa beristighfar, menenangkan diri sendiri dan isteri, sebelum mampu untuk menyelami masalah seperti ini. Gerun dan kesah memikirkan rumahtangga sendiri. Segala yang diperlukan untuk membina rumahtangga dalam sebuah ketaatan telah dilakukan, tetapi saya sedang berdepan dengan insiden kehancuran rumahtangga seperti ini. Jika bukan silap berkaitan dosa dan taat kepada Allah, apa lagi yang tidak kena.
“Rumahtangga ini hanyalah sebuah tanggungjawab. Saya gagal menemui cinta. Saya tidak cintakan suami saya!”, salah satu kes yang saya tangani, tiba kepada jawapan yang dicari.
Saya kebingungan.
Biar pun kali ini jawapannya sungguh jelas dan terus kepada lubuk masalah, ia bukan satu atau dua kes, tetapi saya sedang menanggung beban kes yang berbilang.
akhiukhti.jpg
TIDAK BERTEMU CINTA
Jika mereka yang asyik berkasih sayang hingga lupa kepada batas-batas agama dalam sebuah pergaulan, nasihat lazim yang disampaikan kepada mereka adalah pada menyedarkan diri mereka tentang soal tanggungjawab. Perkahwinan bukan hanya soal cinta. Tanggungjawab harus dipikul bersama. Soal peranan masing-masing sebagai suami dan isteri, serta bakal ayah dan ibu mesti dilihat dari sudut agama.
“Kalau merancang perkahwinan, jangan rancang hanya ke pelamin, tetapi rancanglah hingga ke lampin!”, itu nasihat komprehensif saya kepada perkahwinan sepasang kekasih yang sebegini.
Tetapi bagi seorang Muslim dan Muslimah, yang mempunyai semangat agama yang tinggi, yang merelakan sebuah perkahwinan dibentuk tanpa pendahuluan yang lazimnya popular dalam masyarakat kebanyakan, terlalu berat untuk saya nukilkan, bahawa nampaknya mereka harus sedar bahawa perkahwinan bukan sekadar tanggungjawab. Ia harus diisi dengan cinta.
Cinta!
Bukan cinta ala Hollywood atau Bollywood, tetapi cinta yang itu. Perasaan yang mendatangkan bahagia.
Seperti kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi di dalam bukunya, Satu Rasa Dua Hati, tanda bahagia ialah apabila adanya tenang. Itulah cara mengukur bahagia. Bahawa di dalam sebuah rumahtangga, kebahagiaan itu boleh diukur dengan tahap ketenangan yang dikecapi oleh suami dan isteri. Jika suami beroleh tenang tatkala pulang ke pangkuan isteri, juga isteri hilang tekanan dan kerunsingan hidup tatkala pulang ke pangkuan suami, maka adalah tenang di situ. Adalah bahagia.
Sukar untuk saya ungkapkan bagaimanakah yang dikatakan sebuah rumahtangga tanpa cinta. Ini bukan kahwin paksa. Ia kahwin rela. Cumanya, demi menjaga agama, mereka tidak bercinta sebelum berumahtangga. Rumahtangga ini adalah rumahtangga orang sekarang yang mencuba resepi bercinta ‘orang dulu’, mengharapkan cinta selepas berkahwin, tetapi malangnya mereka gagal bertemu cinta.
collide.jpg
Izinkan saya meminjam kata-kata John Gray di dalam buku terbaru beliau yang mesti dibaca oleh mereka yang sudah menghadam buku awal Men Are From Mars, Women Are From Venus, iaitu buku Why Mars and Venus Collide:
“As I travel the world, teaching the Mars and Venus insights, I have witnessed a new trend in relationships linked to increasing stress. Both couples and singles believe they are too busy or too exhausted to resolve their relationship issues, and often think their partners are either too demanding or just too different to understand. Attempting to cope with the increasing stress of working for a living, both men and women feel neglected at home. While some couples experience increasing tension, others have just given up, sweeping their emotional needs under the carpet. They may get along, but the passion is gone.” (muka surat xiv)
Mereka bertahan, tetapi emosi, keinginan dan cinta itu hilang. Segalanya adalah soal tanggungjawab, tentang peranan… tiada perasaan, cinta dan belaian.
Entahlah…
Apakah kerana pengaruh filem, pengaruh persekitaran, pengaruh tempat kerja, atau silap tarbiyah oleh gerakan-gerakan Islam yang mengacukan mereka ini semasa duduk dalam gelanggang tarbiyah, persoalan tanggungjawab tanpa cinta menjadi punca keruntuhan rumahtangga.
Ada yang tidak percaya… menempelak saya kerana menimbulkan isu ini tanpa hujung pangkal. Sangkanya, saya mahu lelaki multazim dan perempuan multazimah ini bercinta dengan cinta mazhab Bollywood dan Hollywood. Tidak sama sekali.
Tetapi ada sesuatu yang masih dalam kerangka agama yang tidak kita sempurnakan, sekurang-kurangnya di peringkat menguruskan jodoh, sama ada oleh institusi Bait Muslim atau melalui medium keluarga.
MANIFESTASI
Kecacatan cinta dalam rumahtangga yang ‘Islamik’ ini terserlah, seawal tahun-tahun perkahwinan, malah boleh juga muncul selepas beranak pinak.
Suami akan berkahwin dua dengan alasan isteri pertama adalah pilihan jemaah manakala isteri kedua adalah pilihan hatinya! Isteri pula tanpa peruntukan agama untuknya menduakan suami, mencari cinta di luar.
Hubungan hambar antara dirinya dan suami, terubat dengan rakan sepejabat yang lebih understanding, lebih bijak mendengar dan memujuk, atau mungkin juga beralih minat kepada ustaz-ustaz dan ceramahnya. Asasnya, suami dan isteri, kedua-duanya mengkhianati perkahwinan pertama yang begitu ideal, kerana perkahwinan itu ada segalanya kecuali cinta!
TAQWA
Khutbah Nikah pada sunnahnya, terisi dengan ayat-ayat al-Quran yang dipilih dalam genre TAQWA. Ia adalah suatu peringatan daripada Nabi S.A.W bahawa rumahtangga yang diredhai Allah itu harus dibina di atas asas-asas taqwa. Persoalannya di sini, bagaimanakah kita memahami maksud taqwa?
Jika taqwa itu diertikan sebagai kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan-peraturan Allah, datang pula soalan yang kedua, apakah itu peraturan Allah? Bagaimanakah keseimbangan dalam beragama dapat dibuktikan dalam kepatuhan ini?
SYARIAT ALLAH
Himpunan peraturan Allah SWT diperturunkan melalui wahyu, terhimpun di dalam hukum yang lima. Persoalan wajib, mandub, harus, makruh dan haram, sentiasa diambil kira oleh sebuah rumahtangga yang dibina di atas asas Taqwa. Inilah yang diberikan penekanan selama ini, bahawa sebuah rumahtangga yang diredhai Allah SWT itu harus mematuhi ketetapan Allah yang dihimpunkan di dalam apa yang disebutkan sebagai SYARIAT ALLAH atau SYARIATULLAH.
Menjaga halal dan haram dalam perbelanjaan.
Memelihara peraturan-peraturan Allah dalam persoalan rukun Iman dan rukun Islam.
SUNNATULLAH
Tetapi peraturan Allah juga merangkumi hukum kedua yang disebut sebagai hukum alam. Peraturan yang ditentukan Allah sebagai sistem alam dan manusia yang menghuninya. Sebagaimana hard science menzahirkan hukum Sunnatullah melalui peraturan kimia, fizik dan biologi, maka begitu jugalah soft science menghimpunkan Sunnatullah melalui peraturan komunikasi, psikologi yang dalam hubungan percintaan, kadang-kadang orang sana menyebutnya sebagai chemistry!
Cinta bukan kefahaman. Bukan pengetahuan. Cinta tidak muncul sebagai hasil mengetahui pengertian ilmu cinta yang dicerna oleh akal. Tetapi cinta itu adalah hati dan perasaan. Allah mengurniakannya, dan manusia bertanggungjawab untuk mencari dan berikhtiar menyuburkannya.
Rumahtangga yang bersih dari dosa, adalah rumahtangga yang berjaya mematuhi Syariatullah, tetapi mungkin kehancuran itu masih melanda kerana Taqwanya tidak menyeluruh. Aspek-aspek Sunnatullah diabaikan.
1273.jpg
Seorang suami mungkin terlupa untuk melihat zaujah yang dikahwininya itu sebagai seorang perempuan. Perempuan itu, biar pun dipanggil sebagai ukti, atau dibahasakan sebagai enti, berjawatan ustazah, atau ketua Muslimat cawangan, dia adalah perempuan pada fisiologi, biologi, naluri dan perasaannya.
Mungkin selama ini suami lupa untuk membelainya, lupa menghargainya, lupa berusaha mengekalkan kehangatan perasaan di dalam sebuah rumahtangga. Suami yang ustaz, mujahid, haraki lagi manhaji ini, mungkin tidak serius dalam menelaah hadith-hadith Nabi SAW yang memperlihatkan passion baginda dalam mengekalkan suburnya cinta dalam sebuah rumahtangga.
Seorang isteri yang bersuamikan seorang pejuang, seorang ustaz atau seorang Ketua Cawangan sekali pun, tidak harus lupa bahawa suaminya itu tetap seorang lelaki.
Rumahtangga seorang akhi dan seorang ukhti, tetap sebuah rumahtangga seorang lelaki dan perempuan. Jika mereka bertaqwa dalam menjunjung Syariatullah, tinggal satu lagi persoalan, bagaimanakah pula Sunnatullah dalam hubungan mereka?
Sesungguhnya kejayaan menghindarkan diri dari pergaulan bebas serta bantuan institusi Bait Muslim, hanyalah ikhtiar kita untuk membina permulaan rumahtangga yang baik. Tetapi selepas berumahtangga, suami dan isteri harus peka dengan perkembangan emosi dan komunikasi masing-masing kerana ketaatan kepada halal dan haram hanya separuh dari maksud Taqwa.
Bagaimana dengan cinta? Bagaimana Sunnatullah ke atas lelaki dan perempuan yang dicipta-Nya?
Saya meratapi tragedi yang sedang merebak ini…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
Demi meredakan keresahan jiwa kesan menulis dan membaca artikel ini, saya hadiahkan lagu di bawah ini untuk Ummu Saif yang saya kasihi sepenuh hati ini
You need to a flashplayer enabled browser to view this YouTube video
Lyrics
TRANSLATION- Zawjati (My wife)
(as given in the album Da’ani)
I love you the way you are,
I love you the way you were,
No matter what did or will happen,
You are and will be my darling.
You’re my rightful wife, I care not about
Those who like to reproach and irritate me.
It is our destiny to be
Together eternally.
In my heart you instilled love
With grace and good deeds.
Happiness vanishes when you disappear,
Life brightens when you’re there.
Hard is my day
Until you return home.
Sadness disappears
When you smile.
Life turns black
When you’re upset,
So I work hard
To make your wish come true.
You’re my happiness.
May you be happy forever.
Our souls are united
Like soil and plants.
You’re my hope, my peace
My good company and inspiration.
Life is good, no matter how hard it is,
When you’re fine
No comments:
Post a Comment