MUQADDIMAH
Sabda Nabi SAW;
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Maksudnya;
“sentiasa ada satu golongan dari umatku yang berperang atas kebenaran dalam keadaan menzahirkannya hingga hari kiamat[1]”
Jemaah Islam atau dipanggil juga sebagai gerakan Islam merupakan satu tuntutan yang lahirnya disebabkan kejatuhan khalifah Islam yang terakhir, iaitu di turki pada tahun 1924. Ekoran dari kejatuhan khalifah islam itu menyebabkan, dunia dan umat Islam di timpa dengan pelbagai kekusutan disamping diserang dengan pelbagai serangan yang datang dari musuh Islam, samada musuh Islam itu dari kalangan mereka yang non muslim, juga dari mereka yang beranggapan mereka beragama Islam.
.
Kejatuhan khalifah islam telah menyebabkan ramai ulama-ulama Islam telah berijtihad dengan ijtihad yang disandarkan kepada nas agar melakukan sesuatu tindakan dalam menghadapi kehinaan yang telah dilakukan oleh musuh Islam terhadap islam ketika itu.
Dari itu, lahirlah insane-insan yang nama-nama mereka yang sering disebut sejarah disebabkan hasil perjuangan mereka dalam pembentukan gerakan islam di seluruh dunia. Maka itu, boleh dikatakan mejoriti umat Islam akan menyenali insane yang bernama As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, As-Syahid Sayed Qutub, As-Syaikh Said Hawa, Abu ‘Ala Al-Maududi, As-Syahid Dr Abdullah Yusuf Al-Azzam, As-Syaikh Abu Bakar Al-Bakir dan banyak lagi.
Kelahiran ulama-ulama haraki ini adalah menggambarkan betapa perjuangan untuk mengembalikan khalifah yang hilang itu telah diijtihadkan dengan wadah perjuangan yang disebut sebagai “jamaah islam” atau “gerakan islam”.
Ekoran dari itulah, lahirnya banyak gerakan-gerakan islam di dunia, seperti Al-Ikhwan Al-Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Benua
Maka dari itu, lahirnya pelbagai gerakan Islam di dunia ini disebabkan pelbagai tempat. Walaupun begitu, Kadangkala berlaku juga kelahiran gerakan Islam yang pelbagai dalam sesesuatu tempat. Kelahiran ini telah mengakibatkan kebingungan sesetengah muslim dalam menentukan sesuatu gerakan itu bertepatan dengan kehendak gerakan Islam atau tidak.
Justeru itu, dalam penulisan ringkas ini, akan dijelaskan cirri-ciri gerakan Islam yang sebenar. Mudah-mudahan ianya memberi manfaat kepada semua pembaca.
ASAS JEMAAH ISLAM
Asas bagi gerakan islam adalah firman Allah SWT;
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
Maksudnya;
“dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"
(surah Al-Baqarah : 30)
Firman Allah dalam ayat ini pada asasnya menceritakan tentang penciptaan Adam AS. Penciptaan Adam bukanlah sekadar untuk mewujudkan makhluk di bumi Allah semata-mata, tetapi disana terdapat tanggungjawab yang lebih besar, iaitu melaksanakan tuntutan ilahi di atas bumi Allah.
Tuntutan Ilahi itu tidak dibataskan kepada perlaksanaan tuntutan dari sudut aqidah uluhiyyah sahaja, iaitu seperti mendidik manusia dalam perkara ibadat yang bersifat khusus, seperti solat, zakat, zikir dan sebagainya. Bahkan, disana ada tuntutan besar yang perlu di tunaikan oleh manusia, iaitu melaksanakan tuntutan yang terkandung dalam aqidah rububiyyah, iaitu perlaksanaan Islam secara menyeluruh didalam pentadbiran dunia.
Maka dengan itu, sesuatu perkara yang telah diharamkan oleh Allah, perlu dinyatakan pengharamannya disamping pengharaman itu perlu dilaksanakan dalam pentadbiran. Begitujugalah sebaliknya.
Pun begitu, dikalangan manusia itu, ada sebilangan mereka yang mempunyai kehendak nafsu yang terlalu kuat menyebabkan lahirnya golongan yang melanggar tuntutan Allah ini. Ekoran dari itu, mereka menghalalkan perkara yang Allah haramkan, begitujuga mengharamkan perkara yang telah di halalkan oleh Allah SWT.
Tindakan golongan ini samalah seperti yang telah dilakukan oleh golongan yahudi dan nasrani. Keadaan ini sangat jelas dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya;
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ
Maksudnya;
“mereka (ahli Kitab) menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah”
(surah At-Taubah : 31)
Menurut Imam Al-Qurtubi, ahli ilmu Ma’ani menyatakan, maksud golongan ahli kitab menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama mereka sebagai “arbab” atau pendidik-pendidik dalam firman Allah ini adalah, mereka mentaati segala perkara yang dinyatakan oleh pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama mereka[2].
Maksud ahli ilmu ma’ani dikuatkan lagi dengan hadis daripada Abi Al-Bakhtari;
سئل حذيفة عن قول الله عز وجل اتخذوا أحبارهم ورهبانهم أربابا من دون الله هل عبدوهم فقال لا ولكن أحلوا لهم الحرام فاستحلوه وحرموا عليهم الحلال فحرموه
Maksudnya;
“Khuzaifah di tanya berkenaan firman Allah “mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka pendidik selain dari Allah”. adakah mereka menyembah mereka? lalu berkata, tidak, tetapi mereka menghalalkan kepada mereka perkara yang haram, lalu mereka menghalalkannya, dan mengharamkan atas mereka perkara yang halal, lalu mereka mengharamkannya[3]”
dari firman Allah SWT dan tafsirannya dari hadis Nabi SAW, jelas kepada kita, perlaksanaan Islam itu tidak cukup sekadar dalam perkara ibadat khusus sahaja, bahkan perkara yang besar dari itu adalah melaksanakan tuntutan Al-Quran dalam sudut pemerintahan yang sememangnya tidak lepas dari urusan dosa dan pahala.
Apabila kandungan Aqidah Uluhiyyah dan rububiyyah ini tidak dapat dilaksanakan, maka usaha kearah kewujudannya adalah sesuatu perkara yang wajib.
Usaha untuk mewujudkannya tidak dapat dilakukan dengan secara bersendirian, maka disitu lahirnya jemaah-jemaah islam dalam menghadapinya. Semuanya adalah bertujuan untuk mengembalikan khalifah islam yang dapat mendaulatkan islam dalam pemerintahan.
Kaedah fiqh menyatakan;
وما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
Maksudnya;
“tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya, maka ia adalah wajib”
JEMAAH ISLAM ADALAH WADAH
Jemaah islam merupakan wadah dalam berusaha untuk mencapai matlamat perlaksanaan islam. sesuatu wadah tidak dapat dijanjikan kemenangan oleh Allah sekiranya tidak disertai dengan cirri-cirinya yang bersesuaian dengan kehendak Allah.
Maka dengan demikian, antara cirri-ciri jemaah Islam yang perlu diketahui oleh ahli-ahli jemaah islam adalah seperti berikut;
a. MENJADIKAN AL-QURAN DAN AL-HADIS SEBAGAI SANDARAN ASAS
Al-Quran dan Al-Hadis merupakan asas dalam penentuan sesuatu jemaah itu benar-benar berada dilandasan yang betul atau tidak.
Sandarannya adalah hadis;
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله (ص) إني قد تركت فيكم شيئين لن تضلوا بعدهما كتاب الله وسنتي
Maksudnya;
“Daripada Abu Hurairah RA yang berkata, Bersabda Nabi SAW; aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, tidak akan sesat selepas kedua-duanya, iaitu Kitabullah dan Sunnahku[4]”
Jemaah islam yang sebenar adalah jemaah yang menyediakan islam sebagai alternative kepada manusia. Segala penyelesaian dalam menghadapi isu dan keadaan dikembalikan kepada kandungan Al-Quran dan As-hadis.
Jemaah yang menyediakan selain Islam sebagai bahan alternative, seperti menyediakan penyelesaian isu dengan merujuk kepada pandangan-pandangan barat semata-mata, pandangan ahli-ahli falsafah, tanpa dirujuk kepada kandungan Al-Quran dan Al-Hadis merupakan jemaah yang bukan jemaah islam.
Disamping itu juga, ijtihad yang berasaskan kepada kandungan Al-Quran dan As-Sunnah juga menjadi punca penentuan kepada sesuatu jemaah itu adalah jemaah islam yang sebenar atau tidak.
Jemaah islam perlu menyediakan “badan ijtihad” dalam menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang berlaku di zaman kini, tetapi tidak didapati di zaman dahulu. maka dengan itu, kemungkinan-kemungkinan itu pasti berlaku dan perlu kepada kajian secara ijtihadi bagi menyelesaikannya berasaskan kepada kandungan Nas.
Perkara ijtihadi tersebut tidak diperlukan sangat dalam perkara yang berbentuk “ijtihad nassi”, tetapi yang paling penting adalah mewujudkan “ijtihad tatbiqi” atau “ijtihad tanzili” dalam menyesuaikan sesuatu kejadian dengan nas-nas.
Dari keadaan ini, mana-mana gerakan atau jemaah yang menjadikan sandaran hukumnya yang tidak diasaskan kepada dua perkara ini, disamping tidak menyediakan persiapan ijtihad dalam menghadapi isu dan keadaan, maka jemaah tersebut tidak boleh disebut sebagai jemaah islam yang sebenar.
b. AQIDAH AHLI SUNNAH WA
Jemaah islam yang sebenar adalah jemaah yang mendokong aqidah ahli sunnah wa al-jamaah. Aqidah ahli sunnah wa al-jamaah adalah aqidah yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai model dalam penentuan pemahaman iman disamping menjadikan sahabat-sahabat dan para salaf soleh sebagai rujukan beraqidah.
Hadis yang diriwayatkan daripada Auf bin Malik yang berkata, bersabda Nabi SAW;
افْتَرَقَتْ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً فَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ وَافْتَرَقَتْ النَّصَارَى عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً فَإِحْدَى وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَتَفْتَرِقَنَّ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ قَالَ الْجَمَاعَةُ
Maksudnya;
“Yahudi berpecah kepada 71 puak. 1 puak dalam syurga dan 70 lgi dalam neraka. Nasrani berpecah kepada 72 puak. 71 puak dalam neraka dan 1 sahaja dalam syurga. Dan demi nyawa Muhammad di tangan-Nya, umatku akan berpecah kepada 73 puak. 1 puak dalam syurga dan 72 puak dalam neraka. Dikatakan, Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? menjawab Baginda SAW : al-jamaah[5]”
Dalam mensyarahkan hadis ini, As-Sindi menyatakan, maksud dengan jemaah yang disebut oleh Nabi SAW adalah;
الْمُوَافِقُونَ لِجَمَاعَةِ الصَّحَابَة الْآخِذُونَ بِعَقَائِدِهِمْ الْمُتَمَسِّكُونَ بِرَأْيِهِمْ
Maksudnya;
“mereka yang menyerupai jemaah sahabat, mengambil aqidah mereka disamping berpegang dengan pandangan mereka[6]”
Disamping asas aqidah adalah ahl sunnah wa al-jamaah, jemaah Islam tersebut tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka dalam membaiki pemikiran dan jiwa manusia yang telah terlibat dengan fahaman dan ajaran yang menyesatkan.
Maka dengan itu, antara kewujudan jemaah Islam adalah menyelamatkan aqidah umat dari tergelincir kepada kesesatan. Maka dengan itu, sifat jemaah islam adalah menerima mereka yang asalnya dalam kesesatan, lalu di tarbiyyah sehingga aqidah mereka bertepatan dengan kehendak yang sebenar.
sila dengar ulasan Tok Guru Haji Abdul Hadi;
dan
c. PERJUANGAN ISLAM SECARA SYUMUL
Jemaah Islam yang sebenar adalah jemaah yang memikul tanggungjawab dalam berusaha untuk memperjuangkan Islam dari semua sudut.
Firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya;
“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata”
(Surah Al-Baqarah : 208)
Kandungan firman Allah ini menjelaskan, ketaatan kepada Allah hendaklah dilakukan secara menyeluruh disamping tidak dicampuri perkara maksiat yang merupakan ajakan Syaitan.
Sesuatu jemaah yang mencampur adukkan perkara ketaatan disamping tidak menjauhkan perkara maksiat, maka jemaah itu tidak boleh disebut sebagai jemaah islam.
Begitujuga, jemaah islam yang sebenar adalah jemaah yang tindakan mereka tidak mengambil sebahagian dari kandungan kitab dan menafikan kandungan yang lain. tindakan sebegini merupakan tindakan yang dimurkai oleh Allah SWT.
Firman Allah;
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya;
“Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian Yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang Yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke Dalam azab seksa Yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang kamu lakukan”
(Surah Al-Baqarah : 85)
Firman Allah;
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya;
“maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah ugama Yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, Iaitu ugama Yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama Yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
(Surah Ar-Rum : 30)
d. JEMAAH YANG BERTINDAK SECARA AMALI DAN WAQII
Jemaah islam yang sebenar adalah jemaah yang mempunyai tindakan secara amali. Tindakan amali tersebut bertetepatan dengan waqii setempat dan tidak tersasar dari kandungan penghujahan nas.
Tindakan amali jemaah Islam di Malaysia tidak boleh disamakan dengan tindakan amali jemaah islam di Negara-negara luar, seperti Lubnan,
Adapun di Malaysia, tindakan amali yang paling sesuai dalam menghadapi musuh adalah dengan menghubungkan diri dalam pilihanraya, maka menggabungkan diri dalam piliharanya merupakan tindakan amali dan waqii bagi jemaah islam di
Firman Allah;
فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ
Maksudnya;
“sesiapa Yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang Dengan pencerobohan Yang dilakukannya kepada kamu”
(Surah Al-Baqarah : 194)
Amali tersebut hendaklah dilakukan dengan sepaling upaya yang mampu. Jika di sesuatu tempat itu mampu menggunakan cara pilihanraya dalam menghadapi musuh Islam, maka wajib kepada jemaah islam itu melibatkan diri dengan pilihanraya.
Jika dalam keadaan mampu untuk bertindak dengan cara pilihanraya, tetapi tetap dengan cara yang kurang dari kemampuan yang sepatutnya, seperti mengajak manusia kepada solat sahaja, mengajak manusia kepada kebajikan sahaja dan sebagainya, maka jemaah itu bukanlah jemaah islam yang sebenar.
Firman Allah;
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ
Maksudnya;
“dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah”
(Surah Al-Baqarah : 193)
Dari firman Allah ini, secara mafhumnya difahami bahawa, perjuangan Islam itu hendaklah dilakukan sehabis-habis usaha sehinggakan ketiadaan lagi “fitnah” berlaku di atas muka bumi Allah SWT.
e. MEMBEBASKAN UMAT ISLAM DARI KEHINAAN
Jemaah islam yang sebenar adalah jemaah islam yang berusaha untuk membebaskan umat islam dari kehinaan hidup di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.
Kehinaan hidup umat adalah berpunca dari penafian mereka terhadap pengamalan Islam dalam kehidupan. Begitujuga, ianya berpunca dari pengamalan sebahagian Al-Quran dan mengingkari sebahagian yang lain.
Firman Allah:
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآَخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya;
“dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi”
(Surah Al-Imran : 85)
Dan juga firman Allah;
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya;
“Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian Yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang Yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke Dalam azab seksa Yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang kamu lakukan”
(Surah Al-Baqarah : 85)
Melihat kepada keadaan ini, ubat mujarab bagi mengembalikan kemuliaan ini adalah dengan membina kembali pemerintahan islam. ini adalah kerana, pemerintahan adalah penentu atas kehinaan atau kemuliaan umat Islam dalam sesuatu Negara dan tempat.
Sabda Nabi SAW;
لتنقض عرى الإسلام عروة عروة كلما انتقضت عروة تثبت الناس بالتي تليها منهن فأولهن نقضا الحكم وآخرهن الصلاة
Maksudnya;
“simpulan islam akan terungkai satu persatu. Ketika terungkainya satu simpulan, nescaya manusia mengikuti dengan simpulan yang selanjutnya. Perkara yang mula-mula sekali terungkai adalah pemerintahan, dan perkara yang terakhir sekali terungkai adalah solat[7]”
Maka dengan demikian, jemaah islam yang sebenar adalah jemaah yang akan berusaha kearah pembinaan sebuah Negara yang menjadi Islam sebagai dasar pemerintahan, yang ianya merupakan cara untuk mengembalikan kemuliaan Islam dan membebaskan umat Islam dari kehinaan.
f. MEMBINA AHLI BERJIWA JUNDULLAH
Jemaah islam adalah jemaah yang meletakan perjuangannya semata-mata kerana Allah. Jemaah islam tidak akan menerima perjuangan yang berasaskan kepada kepentingan dunia semata-mata. Segala perjuangannya adalah untuk mendaulatkan kalimah Allah. maka dengan demikian, segala kepayahan dan kesusahan yang dilakukan oleh musuh Islam, tidak akan menatijahkan putus asa dikalangan anggota jemaah, bahkan berkekalan dalam perjuangan disebabkan perjuangannya itu berasaskan kepada ridha Allah SWT.
Bagi mendapat keikhlasan ini, ia memerlukan kepada pembinaan anggota-anggota jemaah yang mempunyai semangat dan jiwa “jundullah” atau tentera Allah.
Jiwa jundullah adalah jiwa yang sering mengharapkan keridhaan Allah, kecintaan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi segala-galanya, merendahkan diri sesame mukmin dan keras terhadap musuh-musuh Islam, berjihad di jalan Allah dan meletakan kesetiaan hidup kepada Allah dan Rasul-Nya tanpa berbelah bahagi.
Firman Allah;
مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ
Maksudnya;
“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam)”
(Surah Al-Fath : 29)
Jemaah islam yang sebenar akan membina pendokong-pendokongnya berjiwa sedemikian. Bagi melahirkan pendokong-pendokong berjiwa jundullah ini, jemaah islam tersebut akan menyediakan satu proses yang dinamakan sebagai “Tarbiyyah”.
Program dalam pembinaan ini selalunya dimulai dengan kuliah haraki, usrah, tamrin, mukhayyam dan sebagainya.
Pembinaan jiwa jundullah ini telah berjaya dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap sahabat-sahabat baginda. Maka dengan demikian, dikalangan sahabat lahirnya insan-insan yang nama mereka sering menjadi sebutan sejarah, seperti Al-‘Irbad bin Sariyyah yang pernah menangis kerana tidak mampu memberi sumbangan dalam perjuangan islam disebabkan kelemahan asal yang ada pada dirinya[8], Saad bin Abi Waqas yang pernah digelar sebagai singa yang menyembunyikan kukunya[9] dan ramai lagi sahabat-sahabat nabi SAW yang lain.
g. MEMBINA SEMANGAT UKHUWWAH SESAMA MUKMIN
Jemaah islam yang sebenar adalah jemaah yang membina semangat ukhuwwah sesame mukmin. Mereka meletakan sayang sesame mereka semata-mata kerana Allah SWT.
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Maksudnya;
“daripada Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW bersabda; tiga perkara yang jika ada, maka didapati kemanisan Iman. Bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih disayangi dari segala-galanya. Menyayangi seseorang yang tidak disayanginya melainkan kerana Allah. dia benci kembali kafir seperti benci dicampakkan dalam api[10]”
Ukhuwwah yang dibina atas ikhlas kerana Allah akan melahirkan natijah manusia akan sentiasa melakukan taat kepada Allah. ini adalah kerana, apabila seseorang kawan telah melakukan maksiat, sebagai kawan yang bersaudara dengannya kerana Allah, pasti dia akan menegur tindakan dari kawannya yang telah melakukan maksiat tersebut. maka dengan demikian, jemaah tersebut akan menjadi jemaah yang berada dalam keadaan ukhuwwah.
Pun begitu, dalam keadaan pembinaan ukhuwah tersebut, maka tidak selayaknya ahli jemaah islam itu “berkeras kepala” dalam perkara kebenaran sekiranya ditegur. Anggota jemaah islam sudah pasti akan mengambil sikap telus dalam menjalankan kerja jemaah dan tidak menyimpan “agenda-agenda tertentu” dalam perjalanan jemaah.
Jika ianya berlaku, menandakan disana ada unsure-unsur tidak sihat bagi memecahbelahkan ukhuwwah islamiyyah dalam jemaah islam.
PENUTUP
Tulisan ringkas ini sekadar memberi gambaran umum berkenaan kepentingan dan kefahaman terhadap pergerakan jemaah Islam.
Mudah-mudahan ianya memberi manfaat kepada semua dan dikurniakan ridha Allah dalam meneruskan perjuangan dalam mendaulatkan Islam dalam pemerintahan
Amin Ya Rabb Al- ‘Alamin.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/
e-mail : abu_abdillah_azzam@yahoo.com
[1] Sahih Al-Bukhari : 1/373 : hadis no : 225.
[2] Tafsir Al-Qurtubi : 8/120.
[3] Tafsir Al-Qurtubi : 8/120
[4] Al-Mustadrak ‘Ala As-Sahihain : 1/172. Hadis no : 319.
[5] Sunan Ibnu Majah : 2/1322 : hadis no : 3992.
[6] Hasyiyah As-Sindi ‘Ala Ibni Majah : 7/361
[7] Sya’b Al-Iman : 4/326 : hadis no : 5277.
[8] Siyar Al-‘Alam An-Nubala’ : 3/420 dan Tafsir Ibni Kathir : 2/383.
[9] Mutiara kisah para sahabat Nabi SAW : m/s 552
[10] Sahih Al-Bukhari : 1/14 : hadis no : 16.
"I know Kung Fu"
12 hours ago
No comments:
Post a Comment