30 Mar 2009

Dakwah Islam Menyeru Kepada Apa?

Dakwah itu dilakukan dengan penuh bijaksana dengan cara proses penyampaian menurut kehendak Allah swt dan izinNya. Dakwah baginda dimulakan dengan perkara-perkara dasar kepada aqidah dan amalan. Perkara ini dapat difahami secara tafsil (terperinci) jika dikaji ayat-ayat makiyyah (yang diwahyukan di Mekkah) dimana yang utamanya ialah seperti berikut:

1) Mengajak kepada Tauhid yang Mutlak
Manusia bukan hamba kepada makhluk, samada di bumi atau langit. Bahkan semuanya, samada di langit dan di bumi, termasuk juga manusia adalah hamba -hamba Allah swt diciptaNYA berada dibawah pemerintahan dan kurniaNYA.

Tiada sekutu perantaraan denganNYA .Segala bentuk syirik walau pun dengan nama perantaraaan atau sebagainya adalah menyeleweng dari prinsip tauhid yang wajib menjadi aqidah dan dihayati dalam seluruh alam ini termasuk juga manusia.

Tidak boleh menerima peraturan dan undang-undang bagi mentadbir apa-apa urusan pun selain daripada yang disyariatkan oleh Allah swt kecuali dalam perkara yang diizinkan oleh ALLAH swt. Lantaran yang Maha Mengetahui peraturan dan hukum syaria'at bagi mentadbir segala urusan itu ialah Tuhan Pencipta Alam ini dan kuasa hakimiyyah itu adalah disisi Allah swt sahaja.

2) Mengkhabarkan adanya akhirat
Di sana manusia akan dihadapkan di hadapan pengadilan Allah swt . Amalan mereka akan dihisab , ditimbang dan dijatuhkan hukuman yang seadil-adilnya dengan sifat Maha Penyayang, Pegampun dan Maha Mengetahui bagi siapa yang layak dan tidak layak. Firman ALLAH swt;

Apabila bumi digoncangkan dengan goncangannya(yang dahsyat) dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat,dan manusia bertanya mengapa bumi (jadi begini) ,pada hari itu bumi menceritakan beritanya .

(Kerana) sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan kepadanya .

Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka amalan-amalan mereka.

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebutir zarrah sekalipun , nescaya ia melihatnya.

Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah sekalipun akan melihatnya

(Surah al-Zalzalah: ayat 1-8)

Kepercayaan kepada hari akhirat itu adalah antara rukun iman yang menjadikan seseorang itu mengetahui di mana tujuannya dalam perjalanan hidup ini bagi ia memilih kenderaan yang selamat dan bekalan yang secukupnya.

3) Membersihkan jiwa.
Dengan beriltizam menunaikan ibadat yang ditentukan oleh syariat Allah swt dan meninggalkan laranganNYA dengan taqwa. Firman Allah swt:

Katakanlah marilah ku bacakan apa yang diharamkan ke atas kamu oleh Tuhan kamu iaitu janganlah kamu mempersekutukan sesuatu denganNYA, berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa , dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takutkan kemiskinan . Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka , dan janganlah kamu menghampiri perbuatan-perbuatan keji, baik yang nampak diantaranya mahupun tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah swt ( membunuhnya) melainkan dengan satu sebab yang benar. Demikinalah diperintahkan oleh Tuhan kamu supaya kamu memahaminya. Dan janganlah kamu dekati harta anak-anak yatim melainkan dengan cara yang lebih baik hingga sampai ke peringkat umur matang. Dan sempunakanlah sukatan dan timbangan dengan adil. Kami memikulnya bebanan kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila lkmu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil walaupun mengenai kaum kerabatmu , dan penuhilah janji Allah swt. yang demikian itu Ia memerintah kamu agar kamu ingat. Dan bahawa ini adalah jalanku yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana jalan-jalan itu mecerai-beraikan kamu dari jalannya. yang demikian itu Allah memerintahkan kamu supaya mengikutinya agar kamu bertaqwa.
(surah al An'am; ayat 151-153)


Dengan itu terbentuklah individu yang tunduk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Allah swt keada manusia sebagai sebahagian daripada alam yang mesti bergerak dan bertindak menurut tujuan yang sebenar.

4) Memelihara keperibadian masyarakat agar bersifat Islam yang diikat oleh persaudaraan dan semangat bantu membantu sera memungkinkan terbelanya orang-orang yang dizalimi, diberi pertolongan kepada orang-orang yang berhajat dan dibantu orang yang lemah.
Pekara-perkara tersebut memerlukan ikatan yang kuat di antara satu sama lain dan dilindungi pemerintah yang mendaulatkan hukum Allah swt di dalam masyarakat dan negaranya. Justeru manusia tidak mungkin mampu membuat peraturan sendiri bagi mewujudkan perkara tersebut dalam ertikata yang sebenarnya. kewujudan negara-negara yang mendaulatkan jemaah yang bersifat Islam sebagai suatu proses tani;i dalam dakwah Nabi-nabi dan Rasul-rasul.

Sabda Rasullah saw:

Adalah bani israil itu memimpin akan mereka oleh Nabi-nabi, setiap kali matinya nabi diganti oleh yang lain. Sesungguhnya tiada Nabi lagi selepasku, dan akan adanya khalifah-khalifah mereka itu yang ramai. Lalu mereka berkata (bertanya) . "Maka apakah kamu perintahkan kepada kami(kalau berada di zaman itu)", jawab Rasulullah saw," Tunaikanlah bai'ah kepada yang pertama itu adalah lebih utama. Berilah kepada mereka hak-hak mereka (keta'atan dalam perkara menegakkan agama dan menentang fitnah dan kejahatan). Maka sesungguhnya Allah swt akan menyoal mereka tentang apa yang mereka lakukan.

5) Menerangkan kepada manusia tentang alam yang lain daripada manusia, samada yang ghaib atau yang tidak dapat dikesn oleh pancaindera mereka seperti malaikat, jin dan syaitan atau yang dapat dikesan samada di langit atau di bumi, samada yang mempunyai hubungan dengan keperluan manusia(maka dijelaskan halal dan haram, memberi manfaat atau mudarat).
Kesemuanya itu mempunyai peranan masing-masing dan menjadi bukti kebesaran dan pemerintahan Allah swt.

Rujukan :
Fiqh Al harakah m/s 73, oleh Haji Abdul Hadi Awang( terbitan Dewan Pustaka Fajar)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger