29 Jul 2010

panduan tabarruj (berhias) menurut islam


PANDANGAN ULAMA

Pada dasarnya perhiasan dalam erti kata mempercantik diri dan selain diri agar orang lain merasa senang memandang adalah diharuskan.Perhiasan itu selama mana ianya tidak bertentangan dan berlawanan dengan syara‘ adalah sangat digalakkan dan dituntut dalam Islam. Sebagai contoh, Allah memerintahkan agar manusia memakai perhiasan pada setiap kali pergi ke masjid, firmanNya:

Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-‘Araf, ayat 31)

Perhiasan itu fungsinya bukan setakat untuk memperindah dan mencantikkan tubuh badan dan sesuatu tempat saja, seperti dinding-dinding dan ruang-ruang tertentu di dalam rumah, di masjid dan sebagainya, tetapi juga fungsinya menjadi alat dan bahan untuk kegunaan suatu tujuan, sama ada ianya digunakan kerana ada keperluan, seperti untuk perubatan, ataupun digunakan tanpa ada keperluan, seperti pinggan dan cawan yang diperbuat daripada perak atau emas digunakan untuk makan dan minum kerana semata-mata menunjukkan a kehidupan yang mewah.

Namun begitu, bukan semua jenis barang-barang perhiasan itu diharuskan untuk dijadikan bahan kegunaan dan hiasan diri dan tempat. Terdapat garis panduan hukum syara‘ yang menentukan bahan-bahan perhiasan mana yang boleh dan tidak boleh digunakan dan dipakai, baik bagi laki-laki mahupun perempuan.

Pembahasannya lebih kurang sama dalam menafsirkan `perhiasan yang zahir’. Berikut ini adalah apa yang tersebut di dalam Zadul Masir fi Ilmit Tafsir oleh Ibnul Jauzi: Maksud `perhiasan yang zahir/apa yang biasa dilihat’, terdapat tujuh pendapat, iaitu:

1. Ia bermaksud pakaian. Ini adalah riwayat dari Abu Ahwash dari Ibnu Mas’ud.
2. Bererti telapak tangan, cincin dan muka - Dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas
3. Bererti celak dan cincin – Juga dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas.
4. Bererti gelang, cincin dan celak – Al-Misywar bin Mukhrimah.
5. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – Pendapat dari Mujahid.
6. Bererti cincin dan gelang – Dari al-Hasan.
7. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – dari al-Dhahhak.

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الجَاهِلِيَّةِ الأُولَى

Dan tetaplah di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)

Dalam Islam hukum bersolek bagi wanita ada pelbagai keadaan, ada hukumnya wajib, sunat, makruh dan haram, bergantung kepada keadaan dan niat atau tujuan ia dilakukan. Ayat di atas sebagai irsyad ( petunjuk/tunjuk ajar) kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. agar tetap di rumah dan tidak bertabarruj sebagaimana orang-orang jahiliyah dahulu.


Tabarruj dikatakan sebagai berjalan dengan berlenggang-lenggok atau memperelokkannya. Ada juga yang mengatakan bahawa tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Lagi satu pendapat lain mengatakan, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan/kecantikkannya sepatutnya wajib ditutup.

Mengapa jahilyah pertama/dahulu ini dikaitkan dengan tabarruj. Perempuan-perempuan jahiliyah pertama/awal memakai baju dari lu'lu' (permata), atau baju dari mutiara dan intan yang tidak berjahit kedua belah, dan berpakaian tipis yang menampakkan tubuh badannya. Dengan berpakaian begini, mereka akan berjalan di jalan-jalan mempamerkan diri mereka kepada kaum lelaki. Dan, dapat dirasakan bahawa zaman berkenaan adalah zaman yang penuh dengan kemewahan.

Wanita bersolek untuk suami

Islam tidak melarang wanita bersolek kecantikan fizikal yang diharuskan oleh syarak, bahkan ia wajib jika dilakukan untuk suami dan menarik perhatian suaminya. Tetapi haram jikan bertujuan untuk menarik perhatian lelaki-lelaki ajnabi atau atau untuk keluar rumah dengan mendedahkan aurat dan persolekannya. Hukumnya juga haram jika bersolek sehingga mengubah kejadian Allah atau menyerupai wanita jahiliyah (tabarruj jahiliah).

Hukum wanita memakai bau-bauan

Terdapat beberapa hukum seperti wajib, haram, sunat, makruh dan harus.

Wajib wanita berwangi-wangian

Ketika suami berada di rumah, khususnya ketika hendak melayan suami pada waktu malam, malah hendaklah mereka terlebih dahulu bersolek dan memakai bau-bauan. Selain daripada itu, nabi saw tidak wajibkan. Nabi saw bersabda “Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…” (Riwayat an-Nasa’is dari Abu Hurairah)

Maksud menyenangkan hati ialah dalam semua hal dan keadaan, sama ada aspek fizikal dan mental. Dari segi akhlak, wajah dan dirinya sentiasa berhias dan bersolek, sentiasa berbau wangi di rumah dan di hadapan suami, semuanya termasuk perkara yang boleh menyenangkan suami. Tetapi sekiranya untuk keluar rumah, wanita-wanita dilarang bahkan haram bersolek dan memakai bau-bauan kerana terdapat keterangan hadis yang melarang wanita berbuat demikian.

Waktu Sunat wanita berwangi-wangian

i- Ketika berada di dalam rumah, terutamanya ketika berhadapan dengan suami.
ii- Ketika hendak menunaikan solat dan beribadat dalam rumah, bukannya di masjid. Kalau untuk ke masjid, terdapat hadis yang melarang wanita berwangi-wangian.
iii- Ketika menyambut tetamu wanita, sunat berwangi-wangian
kerana sekiranya berkeadaan busuk boleh menimbulkan rasa
kurang senang dan menyakiti perasaan tetamu.

Walau bagaimanapun, selaku seorang muslimat, hendaklah sentiasa kelihatan kemas, badan dan pakaian hendaklah tidak berbau busuk.Oleh itu, sunat bagi wanita memakai bau-bauan ketika berada di rumah atau ketika sesama wanita.

Terdapat keterangan dalam hadis-hadis yang lain yang menjelaskan tentang wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi tidak pada dan tempat yang dilarang. Rasulullah saw bersabda “Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya”(Riwayat al-Tarmizi)

Bahkan Aisyah sendiri memiliki minyak wangi yang terbaik. Dia menggunakan wangian tersebut apabila melayan Rasulullah saw. Baginda saw. Kata Aisyay “Aku memakaikan minyak wamgi kepada nabi saw ketika baginda hendak melakukan ihram, dengan minyak yang terbaik yang aku miliki” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Selain daripada itu juga, adalah sunat bagi wanita memakai wangi-wangian sebelum berihram. Kerana terdapat keterangan bahawa Aisyah berkata “Kami (isteri-isteri Rasulullah saw) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah saw. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaikdi kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah saw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi saw tidak melarang)” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Berdasarkan hadis jumhur tersebut, ulamak berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat sama ada kepada lelaki dan wanita berwangi-wangian ketika ihram.

Imam Syafie berkata “Sunat bagi lelaki dan wanita menyapu badan dan pakaian dengan minyak wangi ketika hendak (sebelum) melakukan ihram, walaupun zat minyat tersebut kekal hingga sesudah ihram”. Imam Hanafi pula ada mengatakan “Sunat menyapu badan dan pakaian dengan minyak wangi ketika hendak atau sebelum ihram, walaupun zat tidak tinggal melekat, sekalipun baunya kekal” (al-Mazahil al-Arba’ah)

Namun Imam ada memberikan peringatan kepada wanita “Seseorang yang hendak berihram, hendaklah memakai bau-bauan sebelum melakukan ihram (bukan ketika sedang berihram). Itulah yang lebih sah. Walaupun bau wanginya terlekat hingga sesudah ihram. Tetapi sekiranya setelah ia menanggalkan ihram itu lalu memakainya semula, maka dikenakan fidyah, kecuali dia mencuci pakaian itu terlebih dahulu. Kerana orang sedang berihram disyaratkan menjauhkan bau-bauan” (al-Minhaj)

Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli menyatakan makruh menyapu bau-bauan pada pakaian ihram. Bagi yang membolehkannya adalah sebelum ihram. Sesudah berihram, jemaah terbesar daripada sahabat dan tabii,jumhur ahlu hadis dan ahli fiqh menyatakan haram. Mereka ialah Saad bin Abi Waqas, Ibnu Abbas, Ibnu Zubair, Muawiyah, al-Sauri, Abu Yusuf, Ahmad, Daud dan lain-lain (syarah Soheh Muslim oleh as-Sauri)

Waktu makruh wanita memakai wangi-wangian

Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulamak dan terdapat penjelasan dalam bab puasa. Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alas an ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa” Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.

Waktu haram bagi wanita berwangi-wangian

Waktu-waktu yang dilarang ialah ketika keluar rumah untuk ke majlis yang dibenarkan oleh syarak, di hadapan lelaki ajnabi, bertujuan untuk memikat lelaki dan ketika ke masjid untuk solat berjemaah. Keterangan yang berkaitan waktu-waktu itu ialah seperti berikut:

i- Rasulullah saw bersabda “….seseorang wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian melewati (melintasi) di hadapan orang ramai dalam sesuatu majlis (yang ada lelaki dan bukan muhram dengannya), maka wanita itu dikira sama (dosanya) dengan zina” (Riwayat Ahmad dan al-Tamizi)

ii- Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur “Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah saw pernah bersabda bahawa Allah swt tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi ……” (abu Daud, an-Nasaie,Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

iii- Dari Zainab as-Saqafi, katanya Rasulullah saw bersabda “Apabila salah seorang daripada kmau hendak ke masjid, maka janganlah memakai bau-bauan” (Riwayat Muslim dan Abu Awwanah)

iv- Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda “Mana-mana wanita yang memakai bau-bauan, janganlah ke masjid bersolat isyak” (Riwayat Muslim dan Abu Awwanah serta Ashabussunah)

Hadis ini menyebut waktu Isyak, tetapi perawinya sepakat menyatakan bahawa larangan itu meliputi seluruh waktu solat dan Isyak dijadikan sebagai contoh kerana ketika itu paling banyak fitnah bagi wanita.

Imam Nawawi pula tidak menyebut mana-mana waktu solat bahkan dihukumkan haram bagi mana-mana wanita yang ke masjid memakai wangi-wangian.

vi- Rasulullah saw bersabda “Setiap wanita yang memakai bau-bauan, kemudian melewati di hadapan orang ramai (yang ada lelaki bukan mahram dengannya) dengan niat supaya mereka mencium baunya, maka wanita itu dikira (berdosa) sama dengan melakukan zina”

vii- Ibnu Hajar dalam kitabnya al-Zawajir berkata “Apabila wanita keluar rumah memakai bau-bauan dan berhias, maka itu termasuk dosa besar walaupun diizinkan oleh suaminya”

viii- Bagi wanita yang kematian suami, ketika ia masih dalam iddah, maka haram baginya berwangi-wangian. Satu fatwa daripada Imam Syafie “wanita yang kematian suami dan masih dalam iddah (4 bulan, 10 hari), maka dia dilarang daripada memakai bau-bauan”

Qaliyubi pula menyatakan “Bagi wanita yang kematian suami, semasa iddah, maka haram baginya memakai bau-bauan”

Beberapa Hadis Rasulullah saw sebagai paduan

أيَّمَا امْرَأَةٍ وَضَعَتْ ثِيَابَهَا فِي غَيْرِ بَيْتِ زَوْجِهَا، فَقَدْ هَتَكَتْ سِتْرَ مَا بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Siapa saja di antara wanita yang menanggalkan pakaian-nya di selain rumah suaminya, maka ia telah mengoyak tirai pelindung antara dirinya dan Allah Azza wa Jalla.

مَثَلُ الرَّافِلَةِ في الزِّينَةِ في غَيْرِ أهْلِهَا ، كَمَثَلِ ظُلْمَةٍ يَوْمَ القِيَامَةِ لاَ نُورَ لهَا

“Permisalan wanita yang berhias untuk selain suaminya, adalah bagaikan kegelapan pada hari kiamat, tidak ada cahaya baginya.”


Maksudnya adalah wanita yang berlenggak-lenggok ketika berjalan dengan menarik pakaiannya, akan datang pada hari kiamat dalam keadaan hitam dan gelap, bagaikan berlenggak-lenggok dalam kegelapan. Dan hadits ini walaupun lemah, tetapi artinya benar, karena kenikmatan dalam maksiat adalah siksaan, wangi-wangian akan menjadi busuk dan cahaya menjadi kegelapan. Kebalikan dari taat, bahwa bau mulut orang yang berpuasa dan darah orang yang mati syahid lebih harum di sisi Allah dari bau minyak kasturi."

سَيَكُونُ فِي آخِرِ أُمَّتِي نِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ ، عَلَى رُؤُوسِهِنَّ كَأَسْنِمَةِ البَخْتِ ، اِلْعَنُوهُنَّ فَإنَّهُنَّ مَلْعُونَاتٌ

“Akan ada pada akhir umatku nanti wanita-wanita yang berpakaian tapi telanjang, kepala mereka bagaikan punuk unta, laknatlah mereka karena mereka adalah wanita-wanita yang pantas dilaknat.”

Kesimpulan:

Semua orang ingin kelihatan cantik dan menarik, sama ada lelaki atau perempuan. Lelaki tidak boleh berhias dengan menggunakan alat-alat solekan perempuan. Lelaki kelihatan kemas dan menarik melalui penampilan diri atau pakaian mereka. Segala hadis yang dinyatakan di atas adalah berkenaan dengan larangan kepada golongan wanita dan tidak kepada lelaki. Oleh itu, lelaki dibolehkan menggunakan wangian yang sesuai, tidak bertujuan menunjuk-nunjuk, manakala wanita tidak harus menggunakannya untuk menarik perhatian orang lain agar memandang kepadanya. Tetapi harus menggunakannya hanya sekadar inging menghilangkan bau busuk badan agar disenangi oleh masyarakat sekeliling.


والله اعلم

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger