7 Sep 2010

Melayu Tetap TUAN di NEGARAnya

Rakyat Malaysia dari mana-mana kaum yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan, kata pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata kedudukan orang Melayu sudah ditetapkan pada zaman dahulu iaitu ketika zaman penjajahan British lagi.

“Bila British sampai ke Tanah Melayu, mereka dapati terdapat beberapa tempat di Semenanjung sudah mempunyai kerajaan dan mereka mengiktiraf kerajaan tersebut.

“Kerajaan itu ada ramai rakyat (orang Melayu) dan bagi British, rakyat kepada raja itu mempunyai hak yang khusus, orang lain yang datang dan menetap di Tanah Melayu bukan rakyat raja, oleh demikian mereka tidak dapat menikmati hak yang ada pada orang Melayu,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Beliau berkata orang bukan Melayu di Semenanjung pada ketika itu bukanlah warga negara ataupun rakyat raja dan mereka hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Feb 1948.

“Apabila British mula merancang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara bangsa, apa yang sudah wujud disambung, menjelang tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan digubal dan dimasukkan perkara-perkara yang sudah wujud,” katanya.

Justeru, kata Khoo, rakyat khususnya kaum-kaum lain perlu sama-sama menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut.

“Kedudukan istimewa orang Melayu telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Di Semenanjung, sejak 1895 sudah ada sembilan kerajaan yang kekal sampai ke hari ini,” katanya.

Perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada tahun 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Khoo berkata punca mengapa kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah buta sejarah.

“Orang tak faham (Perlembagaan)…jahil, mereka tidak tahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan, tidak perlu ada perbincangan atau perbahasan mengenai Perlembagaan kerana apa yang penting ikut saja undang-undang yang telah diguna pakai sejak dulu,” katanya.

Beliau berkata sekiranya Perlembagaan mahu dipinda, persetujuan daripada dua pertiga Anggota Parlimen perlu dicapai dan mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, sesiapa yang mahu menghapuskan atau meminda Perkara 153 pula, perlu mendapatkan persetujuan orang Melayu dan Bumiputera terlebih dahulu selain majoriti di Parlimen dan perkenan Seri Paduka Baginda.

“Kalau Perkara 153 perlu dipinda atau dihapuskan, keseluruhan orang Melayu mesti setuju, kalau orang Melayu rasa belum sedia untuk pinda, maka ia tidak boleh dipinda,” katanya.

Bulan lepas, MCA menggariskan 13 resolusi pada Kongres Ekonomi Cina antaranya meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.

Kenyataan ini secara tidak langsung menggesa kerajaan agar memansuhkan Perkara 153 dan cuba mempertikaikan tanggungjawab yang ada pada ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong yang memelihara hak dan keistimewaan orang Melayu.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria semasa menjadi panel wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Ipoh bulan lepas pula mendedahkan bahawa ada perlembagaan baru dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang akan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Terbaru, pada Selasa lalu, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menulis dalam portal berita The Malaysian Insider bahawa idea ‘hak orang Melayu’ yang dibawa oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakarumbikan Perlembagaan.

Nurul Izzah berkata, adalah penting untuk ditekankan bahawa Suruhanjaya Reid, yang merangka Perlembagaan, melihat Perkara 153 sebagai pendekatan sementara dan tertakluk kepada kajian semula selepas 15 tahun oleh Parlimen.

Berang dengan kenyataan wakil rakyat PKR itu, penganalisis politik Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata Nurul Izzah perlu meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen kerana membuat tafsiran yang salah tentang hak-hak Melayu serta menyeleweng dan menipu rakyat.

“Dia jahil dan sedang keliru. Dia tidak tahu bahawa Laporan Reid hanyalah syor-syor yang dipinda oleh kertas putih yang diterbitkan di London tentang Perlembagaan Tanah Melayu,” katanya.

Zainal turut mendesak kerajaan agar meneliti kenyataan Nurul Izzah itu kerana orang yang mempersoalkan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan telah melanggar undang-undang dan Akta Hasutan 1948.

“Kerajaan mesti teliti ucapan-ucapan seperti ini sama ada ia boleh disabitkan dengan Akta Hasutan, jika ya, maka pihak itu boleh didakwa,” katanya.

Zainal, pensyarah di Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tidak menafikan bahawa wujudnya gerakan yang dilakukan oleh orang bukan Melayu untuk menghapuskan hak Melayu dan orang Melayu itu sendiri.

“Ia seperti ideologi asing yang dicetuskan di Singapura pada sekitar 1963-1964 yang ingin memecahkan Malaysia, seluruh rakyat harus menentang gerakan ini kerana ia akan menyebabkan pergolakan rakyat,” katanya.

Beliau berkata kaum lain telah diintegrasikan sebagai warga negara melalui undang-undang, maka semua yang menjadi warga negara atau rakyat mesti patuh pada undang-undang dalam Perlembagaan, jika tidak perasaan taat setia dan cinta kepada negara mereka boleh dipersoalkan.

“Mereka jadi rakyat kerana Perlembagaan benarkan, jadi mereka mesti hormat sepenuhnya kepada Perlembagaan, dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menjunjung tinggi Perlembagaan negara. Kalau tak kita boleh persoalkan kerakyatan dan taat setia mereka,” katanya.

Zainal berkata Perkara 153 amat penting bagi melindungi dan membantu orang Melayu dan Bumiputera khususnya yang berada di luar bandar dan pedalaman.

“Orang kampung, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang duduk di luar bandar dan pedalaman mesti dibantu, kerajaan wajib laksanakan Perkara 153 demi kesejahteraan rakyat dan membela golongan yang tidak dapat menikmati kemudahan yang canggih seperti di bandar,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata semua kaum di Malaysia perlu menghormati perkara yang termaktub dalam Perlembagaan kerana jika ia tidak dipelihara maka akan berlaku perpecahan dan ketidakstabilan di negara ini.

Beliau berkata ketika Tanah Melayu menuntut kemerdekaan lagi sudah wujud suasana tidak puas hati mengenai Perlembagaan tetapi ia hanyalah daripada golongan minoriti.

“Sekarang golongan minoriti ini sudah dapat akses ke dalam blog-blog dan media, dulu tidak ada, sekarang sudah ada kebebasan bersuara dan kita nampak seolah-olah ramai yang menentang, sebenarnya tidak,” katanya.

Ahmad Atory berkata kaum lain tidak patut mempersoalkan mengenai kuota yang dinikmati oleh orang Melayu dan Bumiputera kerana dengan adanya kuota tersebut orang Melayu akan boleh bersaing dengan kaum lain yang lebih maju.

“Melayu ketinggalan, jika tiada kuota kaum lain akan bolot semua dan tiada yang tinggal. Kalau (benar dakwaan kononnya) kita nafikan hak kaum lain maka tiada orang Cina yang jadi bilionaire,” katanya.

Ahmad Atory berkata kerajaan selaku pelaksana hak dan keistimewaan orang Melayu perlu ada mekanisme tertentu untuk mengurus pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Kerajaan perlu ada program kenegaraan, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk generasi masa depan mengenal sejarah kemerdekaan negara, kerajaan juga perlu ada hujah dan fakta untuk menerangkan kepada golongan-golongan ini mengenai sejarah negara,” katanya.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin terdahulu yang merangka Perlembagaan telah “terlajak sejarah” iaitu mereka tidak menjangka sama sekali bahawa fasal-fasal yang termaktub dalam Perlembagaan ditentang hebat oleh kaum bukan Melayu pada zaman sekarang.

“Kalau mereka jangka mungkin ada beberapa perkara yang boleh dibetulkan, tetapi kita tidak boleh nak kata apa, sudah terlajak sejarah, bapa-bapa kemerdekaan sudah buat benda ini (Perlembagaan),” katanya.

Beliau berkata fenomena “terlajak sejarah” itu kini terpaksa dipikul oleh generasi sekarang di mana tanggungjawab yang ada adalah lebih berat daripada tokoh-tokoh terdahulu selaras dengan peredaran zaman.

–Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...