2 Nov 2010

DOGMA /Dakyah/Khurafat Parti Politik Terjawab



Rakyat akan mempertahankan Institusi Raja Tanah Melayu, Patik berharap TUANKU adil kepada rakyat serta tidak terikat dengan mana-mana parti politik. TUANKU mesti menjadi ikon dihati rakyat. TUANKU pemegang Ketuanan Melayu . Rakyat TUANKU mendoakan agar ALLAH swt memelihara kesejahteraan TUANKU demi kepentingan rakyat jelata yang sentiasa bergantung kepada keadilan TUANKU memerintah TANAH MELAYU .

DAULAT TUANKU!!!



KUALA LUMPUR:
Orang-orang Melayu boleh menukar kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 kelak kerana hak-hak mereka terkunci kemas dalam Perlembagaan Malaysia, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Umno tidak relevan malah tidak perlukan sama sekali untuk menjaga kepentingan orang-orang Melayu," tegas beliau.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sudi membuka jalan kepada Pakatan Rakyat (PR) melalui penekanannya tentang hak-hak orang-orang Melayu yang dijamin perlembagaan walau siapa pun yang memerintah, Mahfuz berkata, PAS akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang perkara itu.

"Jaminan di dalam perlembagaan yang dinyatakan oleh Najib dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno Ke-61 itu dengan sendirinya mendedahkan pembohongan dan khurafat Umno untuk menakut-nakutkan orang-orang Melayu kononnya mereka akan hilang kuasa jika parti yang disebut sebagai parti perasuah oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) itu tidak memerintah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Dengan pengakuan Presiden Umno sendiri tentang jaminan dalam perlembagaan itu, Mahfuz yakin orang-orang Melayu tidak akan dapat lagi diperbodohkan oleh Umno yang tidak henti-henti mengugut kononnya mereka akan kehilangan kuasa jika pemerintahan Umno ditamatkan.

"Kita akan menjelajah seluruh negara untuk menggerakkan orang-orang Melayu supaya dengan tegas menyatakan "tidak" kepada penghinaan terhadap mereka.

"Umno menghina orang-orang Melayu melalui tindakan tanpa batasannya memperbodoh-bodohkan mereka semata-mata untuk menyalahgunakan kuasa dan meragut harta kekayaan negara dengan kuasanya sebagai pemerintah.

"Kita akan menyedarkan orang-orang Melayu bahawa hakikatnya mereka tidak ada apa-apa kuasa walaupun hanya sedikit di bawah pemerintahan Umno kerana semua kuasa terpusat di tangan para pemimpin parti yang dikatakan busuk hingga ke usus itu," katanya.

Malah, kata Mahfuz lagi, jika PR memerintah, hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan itu akan diperkukuhkan lagi dengan memberikan apa yang tidak diberikan oleh Umno kini, iaitu siri-siri reformasi yang bersifat institusional (institutional reforms) terutama pembebasan badan kehakiman, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lain-lain pihak yang selama ini disalahgunakan oleh parti yang memerintah.

"Perkara itu telah lama dilaksanakan dalam negara-negara demokrasi yang lain tetapi Umno enggan melaksanakannya dalam negara ini demi kepentingan cengkaman kuasanya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu, Najib yang memberikan penjelasan panjang lebar termasuk mengimbas sejarah moden negara dan Kesultanan Melayu Melaka berkata, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezapan kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

“Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181,” kata Najib.

Sehubungan itu, kata beliau, hal ini, hendaklah diketahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik.

“Ini kerana dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekaligus terpateri kemas,” kata Najib lagi.

Kata Najib lagi, seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja Melayu yang dianggotai sembilan Raja Melayu.


Dalam kata lain tegas Najib, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.

SUMBER:gemasuara.blogspot

baca juga: RAJA SEBAGAI SIMBOL PERPADUAN

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger