"
Saya nak kongsi sikit kisah menarik yang saya belajar daripada mereka yang punya hikmah dalam asam garam dunia perniagaan dan politik tentang cara elak ditipu.
Semuanya bermula dengan MINDSET.
Mari kita belajar daripada dua tokoh ini:
(1) TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY DAN "OTAK" CINA
Lebih kurang riwayatnya:
"Kita kalau nak beramal jariah kena guna 'otak' Melayu sebab orang Melayu mereka sentiasa berkongsi dan beralah untuk kebaikan bersama. Tak lokek dan tak kedekut.
Tetapi kalau nak berniaga tak boleh guna 'otak' Melayu sebab pasti kena tipu sebaliknya kena guna 'otak' Cina."
"Kenapa Tan Sri?"
"Sebab orang cina kalau mereka berurus niaga hatta sesama mereka pun "default state" (pendirian asal) mereka kepada pihak lawan (counter-party) yang dirunding ialah: 'bagaimana dan berapa banyak cara orang ni boleh tipu aku'.
Ini menunjukkan usahawan Cina mereka ada waspada yang tinggi dan sebelum berunding sudah pun mereka lakukan kumpul "intelligence" pihak lawan dari bab "best" sampailah kepada "worst scenarios".
(2) TUN MAHATHIR DAN SUDAN
Ini kisah yang saya dengar sendiri daripada engineer yang terlibat dengan urus niaga tersebut iaitu Tuan Nadzru Azhari yang pernah bertugas di Ranhill, salah satu kontraktor minyak yang besar di Malaysia dan terlibat dalam tugas penerokaan awal dj lapangan minyak Sudan.
Pada awal 90-an setelah DS Anwar Ibrahim berjasa dalam membantu membuka pintu pelaburan ke Sudan melalui "network" gerakan Islam-nya, Malaysia melalui PETRONAS telah diberi ruang oleh Presiden Sudan Omar al-Bashir untuk melabur dalam sektor minyak dan gas Sudan.
Dalam tempoh itu syarikat minyak AS iaitu Texaco (sekarang dah diserap dalam Chevron yang berikan kita pam minyak Caltex) yang lebih awal bertapak di Sudan turut sama ingin dapatkan konsesi minyak di sana.
Di sebabkan kita orang baru dan orang Asia, Texaco cuba nak kelentong kata sebenarnya telaga minyak dan gas di Sudan tidak punya "prospect" yang baik. Kira jumlah yang boleh digali keluar tidak akan beri keuntungan yang lumayan ke atas pelaburan yang bermodal tinggi. Pada ketika itu data "geological survey" pun tak berapa jelas dan banyak disimpan oleh Texaco. Maka kita pada waktu itu seperti dikisahkan Tuan Nadzru semacam meraba dalam gelap (finding needle in a haystack).
Bila Tun Mahathir tahu Texaco kata begitu beliau beritahu kepada para jurutera minyak Malaysia, lebih kurang riwayatnya:
"Kalau Amerika kata minyak dan gas di Sudan sebanyak itu saja, kalian gandakan empat kali lebih daripada jumlah asalnya dan itulah "prospect" sebenar."
Terbukti gerak hati dan ketajaman aqal Tun Mahathir benar. Agaknya Tun Mahathir faham benar permainan licik Barat melalui pengalaman peribadi dan pembacaannya yang luas.
Akhirknya PETRONAS masuk ke Sudan dengan kerjasama dengan China yang mana sampai kini Sudan antara pelaburan luar yang amat berjasa dan menguntungkan buat PETRONAS.
KESIMPULAN:
Apakah prinsip dan pengajaran juga pro-tips yang kita dapat belajar daripada dua tokoh di atas?
Sebenarnya mereka - walaupun tidak disebut - secara prinsipnya mengamalkan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat "bilamana orang Fasiq (kaki tipu) membawa berita hendaklah kalian menyiasatnya (tabayyun) terlebih dahulu."
Sudah tentu nak siasat kena ada ilmu, pengalaman dan lebih penting hikmah yang Allah hanya bagi pada orang tertentu.
Semoga kita tidak mudah ditipu!
No comments:
Post a Comment