Ahli Umno disaran sertai parti Islam
Ustaz Abd Ghani Shamsudin
Fri | Apr 25, 08 | 11:14:41 am MYT
Soalan | Dalam situasi politik tanah air hari ini, banyak perkara yang tidak diduga berlaku, khususnya keputusan pilihan raya. Perpecahan dalaman Umno yang begitu ketara di Perlis dan Terengganu, sedikit sebanyak telah mencemarkan institusi Kesultanan Melayu.
1. Apa yang menjadi masalah kepada saya, ada orang berkata, jika Umno yang merupakan sebuah parti politik yang mewakili kaum Melayu beragama Islam terumbang-ambing, maka Islam di Malaysia juga akan terpalit dan mengalami kemerosotan, benarkah ia akan terjadi?
2. Tidakkah tindakan beberapa bekas Menteri Besar mempertahan kedudukan mereka walaupun tidak diperkenan oleh Raja atau Sultan menunjukkan berakhirnya Umno?
3. Adakah kehancuran dalaman Umno sebagai balasan Allah? - Remaja Insaf, Sungai Petani, Kedah
Jawapan | Umno sebuah parti nasionalis yang pragmatik dan sekular. Sejak awal kehadirannya, ia telah ditinggalkan oleh golongan ulama Melayu ketika itu yang tidak lagi yakin bahawa Umno akan membela Islam. Sebab itu mereka menubuhkan Parti Islam Semalaya (PAS).
Meskipun sudah 50 tahun lebih merdeka Umno-BN memerintah dan membangun negara namun hakikat yang menyebabkan para alim ulama yang menganggotai Umno dahulu meninggalkannya, masih relevan dan tetap benar. Umno kini tidak lagi diyakini oleh sebahagian besar rakyat boleh membela mereka, baik orang Melayu mahupun kaum India dan Cina.
Ini bukan hanya kerana dasarnya yang salah atau batil; tidak pernah dibawa oleh Rasulullah s.a.w., kerana perjuangannya tidak pernah berlandaskan nilai keikhlasan, keimanan, ketakwaaan dan nilai-nilai lohor yang lain tetapi semata-mata kerana kepentingan segelintir pemimpin atasan dan pertengahan yang mendapat habuan kebendaan dan pangkat daripada perjuangan politik mereka.
Keikhlasan adalah istilah agama Islam yang merujuk kepada perjuangan yang dilandaskan kepada Islam dan berbuat semata-mata kerana Allah. Nawaitu yang menghalakan tindakan dan perbuatan atau perjuangan hanya kerana bangsa, negara dan sebab lain, malah tidak mengutamakan Allah tidak akan membibitkan keikhlasan sebab dia tidak dilakukan kerana Allah.
Sebab itulah hakikat ikhlas, iman dan ihsan bukan menjadi asas kepada tindakan politik dan sosial Umno. Perjuangan kumpulan ini adalah untuk mendapatkan habuan yang lebih besar daripada kadar perbelanjaan yang telah dihamburkan. Sebab itu nilai ikhlas, tawaduk dan takwa bukan resipi atau matlamat perjuangannya. Mereka mahu menghapuskan kejayaan pertubuhan politik Islam. Mereka mahu sampai kepada peringkat sifar parti Islam daripada menduduki kerusi Parlimen. Kalau mereka berjaya mengalahkan gerakan politik Islam di seluruh negeri itulah tanda parti mereka kuat dan gagah.
Gambaran kekalutan dan tidak relevannya Umno dalam era kini boleh dibaca dalam tulisan bloger seperti A Kadir Jasin, Ruhani Ahmad dan laman web Malaysiakini, Harakahdaily dan sebagainya.
Kadir Jasin - umpamanya - dalam analisis beliau, menyatakan sikap mementingkan kuasa pimpinan Umno mengenai cadangan menangguhkan Perhimpunan Agung Tahunannya menegaskan:
Pertama ia menunjukkan yang sindrom menidakkan (denial syndrome) masih menular dalam jiwa sesetengah para pembesar Umno walaupun pengundi telah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas mereka pada 8 Mac lalu.
Kedua ia menunjukkan betapa mudahnya pihak-pihak tertentu dalam Umno memperkotak-katikkan pendapat umum demi menjaga kepentingan peribadi mereka.
Ketiga kepentingan segelintir peneraju mengatasi kepentingan jutaan ahli Umno.
keempat mereka tidak teragak-agak memperolok-olokkan sentimen ahli akar umbi parti.
Semua ini adalah perbuatan dan tindak tanduk yang sangat berbahaya kepada kelangsungan - survival - Umno. http://kadirjasin.blogspot.com/
Malaysiakini dalam tajuk berita: Bendung esktremis wajar bermula dengan Umno melaporkan:
Jelas sekali bahawa Umno dan BN merupakan organisasi perkauman terunggul di dunia. Amat ketara pula keadaan mengembiri parti-parti komponen BN yang nyata gagal mewakili kepentingan kaum bukan Melayu padahal BN berasaskan konsep perkauman.
Bayangkan, kelakuan Naib Ketua Pemuda Umno menggertak Ketua Menteri Pulau Pinang. Atau perwakilan Umno meminta agar Presiden MIC dipecat kerana membatalkan rumah terbuka Deepavali. Bolehkah pemuda komponen parti BN berkelakuan sedemikian kepada pemimpin Umno?
Politik perkauman sempit BN dipamerkan baru-baru ini apabila MIC dan Umno mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai Anwar Ibrahim. Umno menyebarkan khabar mengatakan beliau telah menjadi Hindu manakala MIC melemparkan tuduhan bahawa beliau tidak pernah menolong dalam isu berkaitan kaum India atau orang beragama Hindu semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.
50 tahun Umno bersandiwara
Lima puluh tahun memadai untuk sandiwara BN. Adalah wajar rakyat menolak parti yang mengakui gagal memenuhi objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas 30 tahun. Rakyat sudah cukup sabar dengan gaya pemerintahan BN yang bersifat perkauman. Saranan PM Abdullah Ahmad Badawi untuk membendung esktremis wajar dimulakan dengan Umno http://www.malaysiakini.com/letters/76482
Harakahdaily melaporkan pertelagahan para pemimpin Umno mengenai sistem kuota sebagai berikut:
Menurut Mustafa Mohammad, apa yang berlaku sekarang, dengan pemimpin-pemimpin Umno membuat kenyataan bercanggah sesama sendiri memberi gambaran yang kurang elok, seolah-olah pemimpin parti tidak sehaluan.
Mustapa dipercayai merujuk kepada kenyataan-kenyataan berbeza pelbagai pihak yang menyokong dan menolak cadangan membubarkan sistem kuota bagi pemilihan jawatan tertinggi parti yang diperkenalkan pada 1988.
Ketua Penerangan Umno, Muhammad Muhd Taib dilaporkan berkata, sistem itu tidak perlu dimansuhkan kerana tidak bercanggah dengan sitem demokrasi yang diamalkan Umno.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berpendapat sistem itu sepatutnya sudah lama dimansuhkan kerana ia terbuka kepada penyelewengan dan salahguna oleh pihak-pihak tertentu.
Isu itu menjadi bahan polemik di kalangan pemimpin dan ahli-ahli parti setelah bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa agar sistem yang diperkenalkan pada era pemerintahan beliau itu dihapuskan. (Isu kuota: Umno kian jauh daripada demokrasi: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=13648&Itemid=28
Menurut Dr Fuad Zarkashi Ketua Penerangan Umno, Johor: "Umno kini telah hilang roh perjuangan kerakyatan, bangsa Melayu dan Islam kerana yang tinggal 'roh perut' sahaja."
Dalam satu sidang media baru-baru ini, Fuad berkata, Umno memerlukan pemimpin yang mempunyai aura seperti Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kemorosotan Umno akan menguntungkan kebangkitan gerakan politik Islam yang tulen di Malaysia.
Pemerintahan Umno-BN ternyata menyekat para alim ulama daripada menyampaikan dakwah Islam di masjid-masjid dikuasai mereka sehingga orang Melayu hilang kecintaan mereka terhadap perjuangan yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w.
Mereka secara langsung dan tidak langsung mengajak orang Muslim Melayu meninggalkan perjuangan politik Islam dengan menyamar sebagai pembela Islam dengan jenama Islam Hadhari. Ini adalah adalah suatu pengkhianatan dan penghinaan kepada Rasulullah s.a.w.
Apa ertinya pemuda dan pemimpin Umno berdemo menentang orang Belanda kerana menghina Islam pada hal mereka sendiri berhasrat dan bertekad mahu menidakkan perjuangan politik Islam di negara mereka sendiri.
Mereka melakukan kezaliman yang diharamkan oleh Allah. Mereka menyuburkan negara dengan budaya rasuah di luar parti dan di dalam pertandingan kepimpinan parti.
Mereka tidak segan dan malu membohong dan menipu rakyat secara terang-terangan. Mereka menggalakkan orang yang mempunyai rekod kepimpinan yang buruk untuk terus menerajui parti dan kerajaan dengan dakwaan membawa perubahan kepada orang ramai.
Kedegilan untuk terus melantik Menteri Besar yang korup, buduk suruhan kumpulan kepentingan tertentu meskipun tidak diperkenan oleh Raja belum bererti kebatilan pengaruh dan kuasa Umno ini akan berakhir. Tapi ia merupakan episod kekonyolan yang membuktikan kepalsuan dakwaan perjuangan kerana agama bangsa dan negara yang diuar-uarkan oleh kumpulan tersebut kepada rakyat.
Seandainya rakyat dapat disedarkan tentang kebatilan dasar perjuangan Umno dari sudut akidah Islam dan keperluan Umno dirombak dan diarah ahli-ahlinya memasuki parti Islam untuk perpaduan ummah demi memperkukuh asas perjuangan umat dan semua rakyat di Malaysia maka barulah era baru dan landskap politik Malaysia akan berubah ke arah yang lebih waras dan benar. Itulah pangkal jalan yang perlu diikuti oleh para pemimpin dan ahli Umno.
Pahala dan syurga
Inilah jalan dan dasar benar yang menjanjikan pahala, syurga dan balasan Allah yang lumayan. Perjuangan atas dasar Melayu tidak akan membawa pahala, atau rahmat kecuali kemurkaan Allah semata-mata.
Asas perjuangan Umno adalah asas bangsa atau kebangsaan. Asas ini asas yang salah dan batil. Manakala kebatilan dasar perjuangan Umno tidak akan membawa kejayaan di dunia dan di akhirat. Ia hanya mengundang bala dan kecelakaan. Allah telah menegaskan hakikat ini dalam banyak ayat-ayatnya yang sangat benar. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran: 85-87 yang bermaksud: "Sesiapa yang mencari agama (falsafah dan dasar hidup) selain Islam sebagai anutan, maka tidak akan diterima daripadanya dan pada hari akhirat kelak dia tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi."
Bagaimana mungkin Allah mahu memberi petunjuk hidayat kepada sesuatu kaum yang kembali kufur ingkar sesudah mereka beriman; malah sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad s.a.w.) itu adalah benar dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata dan (ingatlah, Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayat-Nya kepada kaum yang zalim.
Balasan Allah terhadap golongan tersebut adalah bahawa mereka akan dilaknat Allah dan malaikat-Nya serta sekalian orang-orang (yang beriman).
Allah berfirman lagi dalam Surah yang sama ayat 91: "Sesungguhnya orang-orang yang kafir, kemudian ia mati dalam kaadaan kekufuran maka seandainya mereka mahu menebus diri (daripada seksa)tidak sekali-kali akan diterima daripada mereka (sebarang tebusan) walaupun berupa emas sepenuh bumi. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan mereka tidak akan dapat sesiapapun sebagai penolong."
Dalam Surah Taha ayat 124 Allah berfirman yang bermaksud: "Sesiapa yang ingkar, berpaling daripada ingatan dan petunjuk-Ku (lari meninggalkan pegangan dan perjuangan Islam), maka dia akan hidup sengsara merana. Pada hari kiamat kelak Kami akan himpunkan dia di dalam keadaan buta."
Dalam Surah Saba' ayat 16-17 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tapi (sayangnya) mereka berpaling ingkar (enggan mengikut ajaran agama yang telah diturunkan), lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir besar yang membinasakan dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya dan pepohon yang jarang berbuah, serta sedikit pepohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada golongan yang amat kufur."
Dalam Surah al Mu�minun ayat 117, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Barangsiapa menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, (syirik kepada Allah) dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya."
Dalam Surah Fussilat ayat 13 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik itu) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat, iaitu) halilintar, seperti petir yang telah menyambar kaum Aad dan kaum Thamud!"
Dalam Surah al Jinn ayat 17 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Siapa yang berpaling daripada mengingati Tuhannya, (ingkar dan derhaka; enggan mengikut ajaran-Nya maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab seksa yang sakitnya (terus) memuncak."
Ahli ahli Umno dan para pemimpin bawahan mereka bukan hanya perlu berani melawan atau bersuara di hadapan pemimpin tetapi juga berani mengkritik dasar dan pegangan yang salah selama ini. Meskipun sudah membawa beberapa bentuk kemajuan kebendan pada masa lampau; keabsahan ajaran atau dasar nasionalisme berkenaan memang tidak ada dalam suruhan syarak.
Malah Rasulullah s.a.w. sendiri telah mengatakan; "bahawa siapa yang berjuang di bawah semboyan atau lambang 'asabiah maka dia mati dalam fahaman jahiliah."
Fahaman jahiliah ini bukan sahaja berusaha melekangkan kecintaan, melupuskan iltizam umat kepada perjuangan Islam malah tidak setuju dan tidak mahu malah berhasrat menggagalkan kejayaan umat yang mahu kembali kepada ajaran Islam yang tulen usaha menggagalkan ini semata-mata demi keinginan dan kegilaan untuk berkuasa.
Pada hal tanda keislaman dan iltizam seseorang Muslim itu kepada Islam ialah cinta dan kasihnya kepada Islam dan perjuangannya. Penghargaan kepada kepimpinan dan pemimpin Islam yang telah bersusah payah memenangkan ajaran dan nilai Islam dalam medan politik di negara mereka.
Doa orang Islam - sepatutnya - adalah agar Islam terus dijayakan, dimenangkan dan ditegakkan sampai ke akhir zaman.
Seluruh umat Islam sebenarnya wajib membantu kejayaan dan usaha memenangkan perjuangan politik Islam, menggilap imej para pemimpin mereka, mendoakan kelangsungan kedaulatan Islam dan gerakannya. Inilah tanda keyakinan dan keimanan mereka kepada Allah.
Seandainya mereka benci kepada kemenangan Islam, mengharapkan kegagalannya pastilah kerana kefasikan dan kekufuran mereka terhadap nilai dan ajaran agama berkenaan.
Sesungguhnya Allah tidak akan memenangkan kaum yang ingkar. Allah berfirman dalam Surah Yunus ayat 17 yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia petualang tidak akan berjaya."
Sebenarnya hukuman Allah kepada manusia yang menyimpang; baik individu mahupun kumpulan tetap akan berlaku. Janji Allah adalah benar. Allah tidak akan mungkir janji. - lanh
"I know Kung Fu"
12 hours ago
No comments:
Post a Comment