4 Apr 2008

Cina dan India sudah berubah, Melayu bila lagi????

Dr Rosli Yaakop
Fri | Mar 28, 08 | 10:38:25 am MYT
"Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah ia bersama. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemuggah kayu api. Di lehernya sejenis tali dari tali-tali yang dipintal." (Ayat 1-5, Surah 111, Al-Masad).

Tanpa diduga, Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu (PRU Ke-12) menimpakan lipatan maut kepada gabungan 14 parti Umno-Barisan Nasional (BN) sekali gus mendedahkan bahawa parti itu bukannya kebal. Inilah keputusan pilihan raya yang terburuk bagi BN dalam sejarah.

Ia menghantar 'shock-wave' ke seluruh negara lalu menghumbankan pemimpin dan penyokong BN ke dalam keadaan tergamam dan tidak percaya. Pemimpin dan penyokong pakatan BA terkejut gembira kerana menerima bonus di luar dugaan.

BN dilanda tsunami

Dosa-dosa yang lakukan terhadap rakyat, khususnya sedari zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri hingga kini akhirnya menemukan BN buku dengan ruas dengan kuasa keramat rakyat. Di atas kapangan dosa itulah BN membina kekuasaan dan kerana kapangan dosa itu pula rakyat menjatuhkan hukuman. BN dilanda tsunami, ditimpa malang yang ditempa sendiri. Allah itu Maha Besar lagi Maha Adil.

Keputusan PRU Ke-12 jelas menunjukkan bahawa kuasa keramat rakyat menimpakan pukulan maut kepada BN. Ia hilang kuasa di empat buah negeri dan Wilayah Persekutuan Dengan buaian kuasa keramat rakyat memihak kepada pakatan PAS-PKR-DAP (BA), ia berjaya menawan negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor dan mengekalkan kerajaan PAS Kelantan. BA menawan 10 daripada 13 kerusi parlimen Wilayah Persekutuan.

Serangan ganas BN ke atas kerajaan PAS Kelantan dengan selogan 'Merawat Rakyat Kelantan' telah dikalahkan dengan pukulan maut.

Rakyat Kelantan betul-betul menghayati slogan 'Masa untuk Berubah' meninggalkan BN dalam skala besar. Umno Kelantan kini merawat luka yang parah.

PAS memasuki PRU Ke-12 dengan cita-cita untuk mempertahankan Kelantan dan menawan kembali Terenggagu. Pakatan BA pula bercita-cita untuk menafikan majoriti dua pertiga kepada BN. Cita-cita untuk merampas pemerintahan dari kerajaan BN memang ada tetapi ia tidak mampu dilafazkan dengan terbuka kerana keyakinan yang ada hanya samar-samar. Namun, dalam tempoh berkempen, pemerhati politik telah mengesan perkembangan yang menyebelahi BA.

Unjuran

Wujud unjuran bahawa BA mampu memenangi sehingga 40 kerusi Parlimen di seluruh negara. Pada saat terakhir sebelum hari pengundian pada 8 Mac, wujud pula ramalan di mana BA akan memenangi sehingga 70 kerusi Parlimen dan akan menawan beberapa buah negeri di samping mempertahankan Kelantan. Pemimpin BN tertekan dan terjebak di dalam keadaan di antara percaya dan tidak percaya. Sesuatu yang drastik perlu dilakukan segera lalu diarah SPR membatalkan penggunaan dakwat secara unilateral supaya di sana wujud ruang untuk memanupulasi perjalanan pilihan raya. Serangan media diperhebatkan. Semuanya terbukti terlambat.

Mimpi ngeri menjadi kenyataan pada dini hari 9 Mac. Dengan tiba-tiba dan tanpa diduga, BN runtuh dilanda tsunami. Lidah pemimpin kelu tidak mampu berkata-kata. Sidang media dinihari 9 Mac tertangguh begitu sahaja. Soalan wartawan tidak mampu dijawab. Abdullah dan Najib tidak keluar suara. Angkat tangan pun nampak tidak bermaya. Mereka tergamam dan terkejut.

PAS gagal di Terengganu

PAS gagal menawan semula negeri Terengganu tetapi luka dan kesedihan dari kekalahan ini terawat bila kuasa keramat rakyat menghasilkan kemenangan besar kepada BA di lima buah negeri dan Wilayah Persekuatan. PAS menambah negeri Kedah ke bawah naungannya.

Di samping itu, BA berjaya membina tapak di negeri-negeri lain termasuk kelahiran sulung Dun PAS di Negeri Sembilan apabila Mohd Taufek Abdul Ghani, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan memenangi kerusi Dun Paroi dalam Parlimen Rembau dengan majoriti selesa 1107 undi. Kecuali negeri Melaka, Sabah dan Sarawak, PAS sudah ada wakil di Dun setiap negeri.

Kuasa keramat rakyat juga memungkinkan BA menimpakan pukulan maut kepada parti-parti MCA, MIC, Gerakan dan PPP, rakan kongsi kanan Umno. Kecuali pemimpin tertinggi MCA (Ong Ka Ting), pemimpin tertinggi MIC (S Samy Vellu), Gerakan (Dr Koh Tsu Koon) dan PPP (M Kayveas) kecundang.

MIC hilang kesemua kerusi parlimen kecuali 3. MCA hanya menang 17 kerusi parlimen daripada 40 yang diperuntukkan kepada parti itu. Gerakan hilang kesemua kerusi Parlimen yang diperuntukkan kecuali dua. PPP tidak memenangi sebarang kerusi.

Enggan letak jawatan

Bagi Abdullah Badawi, beliau kehilangan sokongan rakyat negeri beliau sendiri - Pulau Pinang. Hanya beliau dan Nor Mohamed Yackop (orang yang dikatakan telah menyebabkan Bank Negara Malaysia kerugiaan berbilion-bilion ringgit dalam spekulasi haram pertukaran wang asing yang dilakukan oleh beliau dengan menggunakan akaun-akaun pegawai bawahan beliau) yang menang, masing-masing di parlimen Kepala Batas dan Tasik Gelugur. Yang lainnya dimenangi DAP (7) dan PKR (4) sekali gus menimbulkan persoalan: Apakah layak bagi beliau untuk terus memimpin kerajaan BN?

Kesemuanya, seramai 4 Menteri dan 10 Timbalan Menteri BN tumpas. Juga, ramai Setiausaha Parlimen kecundang.

Gesaan, termasuk dari mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir dan ahli parlimen Jerlun, Kedah yang baru, Mukriz Tun Mahathir, supaya Abdullah Badawi mangakui 'anak yang lahir' dan meletakkan jawatan tidak dihiraukan.

Telur di hujung tanduk

Kalau ditolak kerusi parlimen Sabah dan Sarawak, BN hanya memenangi 84 kerusi berbanding 80 yang dimenangi BA. Ini bermakna BN sudah hampir kalah di Semenanjung dan kalaulah tiada rakan kongsi dari Sabah dan Sarawak, BN sudah hilang kuasa. Kedudukan kerajaan BN sudah seperti telur dihujung tanduk. BA hanya memerlukan 30 kerusi lagi untuk mendapat majoriti mudah (112) dalam Parlimen.

Sekiranya sesuatu berlaku sehingga membawa sebahagian ahli Parlimen Umno di Semenanjung dan Sabah dan ahli parlimen Sarawak menyeberang ke BA, kedudukan kerajaan BN boleh tergugat. Apakah ini yang menjadi maksud apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI), Penasihat PKR menyatakan bahawa BA bukan 'an opposition Government' tetapi 'a Government-in-Waiting'? Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Memang umum mengetahui bahawa DSAI mempunyai rakan karib dalam Umno dan mempunyai hubungan peribadi yang akrab dengan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak. Tidak boleh ditolak bahawa beliau mungkin merancang untuk merealisasikan kerajaan BA.

Masa untuk berubah

Kekalahan teruk parti MCA, MIC dan Gerakan menunjukkan perubahan ketara di dalam cita rasa politik kaum Cina dan India. Kuam Cina secara masif menolak MCA dan Gerakan lalu memberi sokongan padu kepada DAP dan PKR dan juga PAS sementara kaum India pula, juga secara masif, menolak MIC lalu memberi undi kepada DAP dan PKR dengan limpahan kepada PAS. Ini berlaku khususnya di negeri Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Hanya di negeri Johor, Pahang, Melaka, Sabah dan Sarawak kaum Cina memberi sokongan padu kepada BN khasnya parti komponen BN yang berasaskan kaum Cina.

Perubahan di kalangan pengundi Melayu tidak merata dan pada keseluruhan, skalanya tidak sebesar perubahan yang lakukan oleh kaum Cina dan India.

Di Kelantan, perubahan cita rasa politik orang Melayu yang ketara memberi kemenangan besar kepada PAS. Umno membiayai kepulangan anak Kelantan yang bekerja dan bermastautin di luar Kelantan dengan harapan mereka mengundi calon-calon UMNO tetapi sebaliknya berlaku. Mereka mengundi calon PAS.

Di Sabah pengundi Melayu dan Bumiputera yang lain masih lagi tidak berganjak. Mereka terus memberi sokongan padu kepada UMNO dan parti komponen BN yang lain.

Di negeri-negeri Selatan Semenanjung - Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang memang terkenal sebagi kubu Umno -sokongan orang Melayu kepada PAS dan PKR semakin meningkat tetapi belum lagi mencapai skala yang memungkinkan calon kedua parti ini meraih kemenangan besar.

Di Negeri Sembilan, sedikit peningkatan pengundi Melayu yang menyokong calon PKR dan PAS dibantu pula oleh buaian (swing) ketara pengundi Cina dan India telah memungkinkan PKR meraih empat kerusi Dun (Sikamat, Ampangan, Port Dickson dan Chuah) dan satu kerusi parlimen (Teluk Kemang) dan PAS pula memenangi Dun Paroi. Kesemua ini adalah kawasan bandar. Teluk Kemang ialah bandar pelancongan sementara Paroi, Ampangan, Sikamat, Port Dickson dan Chuah adalah bandar-bandar baru (new township).

Hampir di kesemua kawasan parlimen dan DUN, majoriti calon BN terus menguncup. Di parlimen Rembau misalnya, majoriti kemenangan calon BN merosot daripada dari 10,000 dalam PRU11 kepada sekitar 6,000 dalam PRU Ke-12 ini.

Umno bagaimana pun, terus menguasai Melayu kampung yang nampaknya sukar berubah. Calon PAS bertanding di kawasan di mana pengundi Melayu merupakan dua pertiga dari seluruh pengundi, kesemuanya berdepan dengan calon Umno. Semua calon PAS kalah sekali gus menunjukkan bahawa sokongan orang Melayu Negeri Sembilan kepada Umno masih teguh di kawasan kurang maju yang merupakan 'Malay heartland' di Negeri Sembilan seperti Jelebu, Kuala Pilah, Tampin dan kawasan didominasi peneroka Felda Jempol.

Perubahan pengundi Melayu di negeri Johor telah memenangkan dua calon PAS di DUN Sungai Abong dan Dun Maharani. Di Melaka terdapat peningkatkan besar dalam undi yang diperolehi calon PAS hampir di semua kawasan tetapi skalanya belum cukup besar untuk menukar kekalahan kepada kemenangan.

Di Perak, PAS memenangi 6 kerusi Dun menggambarkan bahawa sokong orang Melayu kepada PAS semakin kuat. Persefahaman yang wujud di antara parti DAP, PKR dan PAS dalam PRU Ke-12 ini membolehkan calon PAS meraih undi bukan Melayu. Walau bagaimana pun, perubahan ketara cita rasa politik kaum Cina dan India yang di dalam PRU Ke-12 ini mengundi calon-calon parti pembangkang telah membolehkan BA menerajui kerajaan negeri Perak.

Diperhatikan bahawa cita rasa politik pelbagai kaum turut berubah di negeri Perlis tetapi skalanya masih tidak cukup besar untuk menukar kekalahan BA kepada kemenangan.

Perubahan cita rasa politik pengundi pelbagai kaum di negeri Terengganu sukar dirumuskan kerana di sana ada tuduhan penyelewengan dalam bentuk kehadiran pengundi hantu yang mengelabui penilaian. Penilaian tepat tidak boleh dibuat. Namun, di sana tetap wujud perubahan cita rasa politik pengundi Melayu sekali gus memungkinkan parti PAS menawan semula 8 kerusi Dun dan satu kerusi parlimen. Cubaan pihak PAS untuk meminimumkan kehadiran pengundi hantu telah menimbulkan sedikit huru-hara tetapi pada keseluruhannya, usaha untuk menghalang fenomena pengundi hantu di Terengganu tidak berjaya.

Kaum Melayu Pulau Pinang rata-rata masih teguh bersama Umno. Walau bagaimanapun, sedikit buaian pengundi Melayu yang memihak kepada BA telah memenangkan calon PKR dan mengekalkan kerusi DUN PAS. Bersama-sama kemenangan besar DAP, Pulau Piang jatuh ke tangan BA.

Perpaduan orang Melayu wajib di bawah sepanduk Islam

Arah aliran ketara yang timbul dari PRU12 ialah ia menampakan bahawa PAS semakin mendapat tempat dalam hati orang Melayu. Sekiranya arah aliran ini berkekalan dan mantap, akan dapat dilihat nanti bahawa Umno hanya akan menjadi parti bagi orang Melayu yang didominasi sekularisma sementara orang Melayu yang didominasi pemikiran Islam akan berjemaah di dalam jemaah PAS. Oleh itu, memandang kehadapan maka yang dapat dilihat ialah medan pertembongan Melayu lawan Melayu akan menjadi menjadi medan Melayu didominasi sekularisma lawan Melayu didominasi Islam.

Di sini harus ditekankan bahawa prinsip yang harus, bahkan wajib, menjadi pegangan orang Melayu ialah orang Melayu akan hanya selamat di dunia dan akhirat apabila mereka kembali menghayati Islam sebagai cara hidup. Ketuanan Melayu hanya akan selamat apabila Islam menjadi tunggak ketuanan itu. Status ekonomi, sosial, budaya dan politik orang Melayu akan hanya kembali ke tingkat yang dihormati apabila Islam dijadikan asas perjuangan. Tiada perpaduan sejati dan hakiki bagi umat Melayu kecuali perpaduan di bawah sepanduk Islam. Inilah pengajaran besar untuk umat Melayu yang terhasil dari PRU Ke-12. Ini selari dengan perkembangan Islam seluruh dunia hari ini.

Pecahnya tembok perkauman

Perubahan yang berlaku dalam pola pengundian dalam PRU Ke-12 boleh diringkaskan seperti berikut:

* Pengundi Cina berubah kepada mengundi calon parti DAP dan di kawasan di mana calon DAP tidak bertanding mereka memberi undi kepada calon PKR dan juga kepada colan PAS. Perubahan cita rasa politik pengundi Cina berlaku dalam skala yang cukup besar sehingga melumpuhkan parti berasaskan kaum Cina yang menjadi anggota BN, iaitu, MCA dan Gerakan. Pengundi Cina mengundi calon PAS merupakan satu fenomena baru dalam pola pengundian di Malaysia.

* Perubahan cita rasa politik kaum India amat ketara. Dalam skala yang amat besar, mereka menolak parti MIC dengan memberikan undi mereka kepada parti PKR, DAP dan juga PAS sekali gus memadamkan MIC dari peta politik Malaysia. Juga, pengundi India mengundi calon PAS merupakan satu perkembangan baru dalam politik tanah air.

* Tidak boleh dinafikan bahawa cita rasa politik pengundi Melayu turut berubah di dalam PRU Ke-12 ini sekali gus memungkinkan parti PAS mengekalkan pemerintahan di Kelantan dan menambahkan Kedah ke bawah naungannya. Ini bermakna semakin ramai ahli Umno mengundi calon PAS dan juga calon PKR. Namun, rata-rata, kesetiaan orang Melayu masih pada Umno. Kesetiaan orang Melayu kepada Umno tetap dirasakan dengan ketara di negeri-negeri yang memang terkenal sebagai kubu Umno, iatu, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Sabah.

* Secara perbandingan maka boleh dirumuskan bahawa skala perubahan cita rasa politik dalam PRU Ke-12 ini paling besar berlaku pada kaum India diikuti kaum Cina dan yang paling kecil ialah perubahan di kalangan orang Melayu.

* Untuk pertama kali dalam sejarah negara kita melihat pengundi Malaysia tidak lagi mengundi mengikut jalur kaum di mana pengundi Melayu mengundi calon Umno sahaja dan pengundi bukan Melayu mengundi calon dari bangsa mereka masing-masing. Dalam PRU Ke-12 ini kita melihat pengundi pelbagai bangsa mengundi calon perlbagai bangsa pula sekali gus memecahkan pola pengundian mengikut kaum. Calon PAS terutamanya menikmati ganjaran besar apabila pengunidi bukan Melayu buat pertama kalinya mengundi calon-calon PAS dalam skala yang lebih besar sehingga dengan penambahan sedikit pengundi Melayu yang mengundi calon PAS bersama-sama dengan undi kaum Cina dan India yang lebih besar, telah memungkinkan calon-calon PAS menang dengan majoriti yang selesa di kebanyakan kawasan yang ditandingi.

Sesungguhnya pengundi Malaysia pelbagai bangsa telah manghayati slogan 'Masa Untuk Berubah.' PRU Ke-12 menyaksikan tembok perkauman yang dibina BN telah runtuh. Ketaksuban kaum berakhir.

"Katakanlah (Muhammad). "Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki dan engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha kuasa atas segala sesuatu." (Ayat 26, Surah 3, Ali Imran)

Dhaka, Bangladesh, 15 Mac 2008

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger