29 Mar 2012

Sejarah Yang Disembunyikan

"Perang Jepun tu banyak mengubah fikiran kita. Rupanya kalau tak ada orang putih ni pun boleh. Dulu kita terfikir kalau tak ada orang putih ni, mati kita. Bila dah Jepun memerintah tiga tahun lapan bulan, kita terfikir, tak ada orang putih pun boleh jugak." - Majid Salleh / Johore State Federation of Trade Unions (JSFTU)

20 Oktober 1947 merupakan hari bersejarah dalam perjuangan berperlembagaan rakyat Malaya menuntut kemerdekaan dari penjajah British. Filem dokumentari pendek ini menceritakan pengalaman yang dilalui oleh 5 individu yang turut serta dalam perjuangan politik kiri untuk membentuk sebuah gerakan kemerdekaan rakyat di Malaya, sepuluh tahun sebelum merdeka.

Individu-individu tersebut ialah

1~ Lim Kean Chye / Malayan Democratic Union (MDU)

"The unity we talked about never mention the racial aspect as is emphasised nowadays. All we wanted was that all the trade unions, all the workers, all the women, all the organisations to join in, in a broad front to oppose the British return of the Governor to rule the country."

Dilahirkan di Penang pada bulan Disember 1919. Mendapat pendidikan di Cambridge University dalam bidang guaman.

Beliau merupakan ahli pengasas Malayan Democratic Union (MDU) di Singapura bersama-sama dengan pakciknya, Philip Hoalim Sr., sahabatnya Lim Hong Bee dan John Eber pada 21 Disember 1945.

MDU merupakan pertubuhan politik golongan berpendidikan Inggeris yang menuntut hak demokrasi dan hak berkerajaan sendiri dari penjajah British.

2~Yahya Nassim / Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)
"Perang Jepun tu banyak mengubah fikiran kita. Rupanya kalau tak ada orang putih ni pun boleh. Dulu kita terfikir kalau tak ada orang putih ni, mati kita. Bila dah Jepun memerintah tiga tahun lapan bulan, kita terfikir, tak ada orang putih pun boleh jugak."

Berasal dari Ulu Langat, Selangor.Sebelum perang, beliau telah menganggotai Kesatuan Melayu Muda (KMM), parti politik Melayu pertama di Malaya, di bawah pimpinan Ibrahim Yaakob.

Menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) selepas perang, beliau merupakan Ketua PKMM negeri Selangor dan telah dilantik sebagai Timbalan Bendahari dalam Kongres PKMM yang kedua pada bulan Disember 1946 di Melaka.

3~Hashim Said / Angkatan Pemuda Insaf (API)
"Saya mula-mula sekali masuk politik, saya ada terbaca sebuah buku yang dikarang oleh Cikgu Ibrahim bin Haji Yaakub (Melihat Tanahair). Dia menyatakan nasib orang-orang yang kena jajah, di negara yang kena jajah, termasuklah negeri kita Malaya pada masa itu... dijajah."

Berasal dari Kuala Kangsar, Perak.Beliau bertugas sebagai cikgu di Sekolah Melayu Padang Gajah sebelum mula menganggotai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada akhir tahun 1945.

Beliau kemudian menganggotai barisan Angkatan Pemuda Insaf (API) di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.

Beliau merupakan Ketua API ranting Padang Gajah, Perak, memimpin 400 orang pemuda.

4~Zainuddin Andika / Angkatan Pemuda Insaf (API)
"Indonesia punya yang datang tu, semangat tu datang ke mari setengah. Pasal sana Sukarno dah beri semangat tu. Sukarno maklumlah, kata-kata yang dikeluarkannya. Beri saya sepuluh orang pemuda katanya, dia boleh menggoncangkan dunia. Itu dia semangat tu sampai ke mari."

Berasal dari Sayong, Kuala Kangsar, Perak.Menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sejak penubuhannya pada 17 Oktober 1945 dan kemudian memasuki barisan Angkatan Pemuda Insaf (API) bahagian Padang Rengas, Perak.

API telah diasaskan oleh Ahmad Boestamam, Abdul Rahman Rahim dan Bakar Thareek pada 17 Februari 1946 di Ipoh, Perak.

5~Majid Salleh / Johore State Federation of Trade Unions (JSFTU)
"Awak ni gila? Nak merdeka, tak tahu awak ni siapa? Orang Melayu ni siapa? Tak tahu orang putih kapal terbang ada, kapal laut ada, kapal selam ada, itu nak kita lawan?... Itulah suara yang biasa kita dengar."

Berasal dari Ipoh, Perak.Selepas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan di Ipoh pada 17 Oktober 1945, beliau telah menubuhkan cawangan pertama PKMM di Simpang Ampat, Kampar, Perak sebagai ahli jawatankuasa.

Selepas menjadi ketua seksyen buruh PKMM negeri Johor, beliau telah dilantik menjadi ketua Johore State Federation of Trade Unions (JSFTU) yang bergabung di bawah Pan-Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU).

PMFTU mempunyai keahlian seramai 300,000 orang buruh seluruh Malaya.

SUMBER : RAKYAT MARHAEN

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger