22 Aug 2007

Hikmah dari suatu Pengembaraan :Sorotan Sejarah Gilgamesh

Bagi seorang Muslim yang mengkaji Tamadun, langkahnya pasti diringi dengan usaha mengesan Tauhid dan Taqwa pada perjalanan jatuh bangun kehidupan manusia.
Walaupun sukar untuk diputuskan secara yakin bahawa tamadun-tamadun seperti Mesopotamia itu menerima utusan Rasul yang kita ketahui, namun galian-galian arkeologi dan kajian terhadap seni bina bandar-bandar seperti Ur, menampakkan kesan agama yang tinggi.

Agama itu pula mesti agama yang menjunjung Tauhid. Hanya Tauhid yang mampu memberikan perasaan bahawa manusia itu sama rata… kerana semuanya hamba kepada Dia.
Kerana itu di bandar seperti Ur, rumah ahli politik, ahli perniagaan, ahli agama dan rakyat biasa, semuanya di satu kawasan, yang mengelilingi pusat ibadat mereka. Reka bentuk seperti ini sukar berlaku kecuali dengan dorongan perasaan equality yang tinggi, dan hanya agama sahaja yang mampu mencetuskannya pada sebuah tamadun.

Renungi sahaja Kod Hammurabi.
“131. Jika isteri kepada seorang lelaki merdeka dituduh zina oleh suaminya, sedangkan dirinya tidaklah ditangkap ketika sedang berbaring dengan seorang lelaki lain, maka si isteri hendaklah bersumpah dengan nama Tuhan (bahawa dirinya tidak berzina) dan pulang semula ke rumahnya”

Itu adalah suatu petikan darinya. Hukum hakam yang tidak asing dari ajaran para Rasul yang kita ketahui.

MENCARI HIDUP KEKAL

Namun, apa yang menyentuh hati saya ialah pada kisah seorang wira yang terkenal di era berkenaan. Kisahnya lebih kepada sebuah epik. Namun disiplin sejarah mengajar kita untuk menyaring kisah-kisah seperti ini, untuk mencari intinya yang berkemungkinan besar sahih dan ada nilai sejarah.

Epic of Gilgamesh on Tablet

Itulah kisah Gilgamesh, seorang tokoh yang hidup di bandar Uruk sekitar 2600 B.C. Pelbagai lagenda ditulis mengenainya dan ia menjadikan Epic of Gilgamesh sebagai syair bertulis tertua di dalam sejarah manusia. Ditulis di dalam bahasa Sumerian sekitar 2000 BC, ia dilakar kemudiannya di dalam bahasa Babylon, Hittites, dan bahasa-bahasa lain di Asia Barat.

Gilgamesh yang mempunyai seorang rakan karib bernama Enkidu, tersentak dan dikejutkan dari kehidupannya dengan kematian Enkidu. Kematian itu telah menyedarkan Gilgamesh, dan kita jua mudah-mudahannya, terhadap batas kehidupan manusia. Kematian Enkidu telah mendorong Gilgamesh untuk merantau mencari jalan untuk mengelak kematian.

Kembara itu lebih kepada kembara memujuk diri untuk menerima hakikat kematian. Gilgamesh gagal bertemu jawapan, lalu pulang dengan kehampaan. Namun, Gilgamesh telah menulis dan merakamkan pengalamannya di dalam perjalanan itu, dengan kepercayaan bahawa itulah caranya Gilgamesh dapat kekal, terhindar dari kematian…

Hingga kini catatan itu mengekalkan nama Gilgamesh biar pun jasadnya mungkin sudah sebati menjadi tanah. Gilgamesh terus ‘hidup’ kerana hidupnya meninggalkan bekas.

HIDUP BIAR BERJASA

Inilah yang menyentuh saya, betapa hidup ini biarlah berjasa.
Pepatah Melayu sudah pun beralun di telinga seawal usia, bahawa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Lihatlah kerana hidup yang serba tinggi dan penuh makna, penghulu kita, Rasulullah SAW itu sendiri dipujuk Allah pada hari kematian anaknya, bahawa Dia jua yang mengangkat nama baginda, terus segar dan mekar sepanjang masa… biar pun tiada zuriat lelaki pembawa nama.

(Al-Quran 94: 4)

Malah pada insan yang mati muda seperti Imam al-Nawawi. Biar pun pulang sebelum tua, matinya tidak mati, kerana jasadnya sahaja yang dikebumi dan pergi. Kerana hidupnya penuh dek jasa, berkongsi ilmu seluas angkasa, namanya terus segar dan saban hari disebut di majlis ilmu.

Alangkah kerdilnya hidup kita di alam ini. Usianya pula tak sepanjang mana. Kehidupannya jadi lebih tidak bermakna apabila kehadirannya tiada berbekas meninggalkan tanda. Bak kata pepatah, bagai melukut di tepi gantang.
Hidup biarlah berjasa.

Manfaatkan hidup ini dengan menabur kebaikan dan kasih sayang. Catatkan pengalaman hidup sebaik mungkin agar dengan lakaran itu, mati kita sekadar beralih tubuh, namun kesannya tinggal bersinar menyuluh.

“Apabila mati anak Adam, terputuslah secara pasti segala amalannya kecuali dari tiga perkara; Sedekah yang jariah, ilmu yang dimanfaatkan, serta anak soleh yang mendoakannya”
Taburlah budi, hidup memberi…

DIPETIK DARI:
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger