14 Aug 2007

Korbankan Melayu Demi Islam?

Kita mesti menghapuskan kefahaman bahawa kalau masuk Islam, maknanya masuk Melayu!”, kedengaran ucapan sebegini di suatu pentas.

Itulah masalahnya, apabila orang Melayu yang jaga masjid. Buat malu Islam sahaja”, komen pembaca yang kesal dengan insiden saya dan rakan-rakan dihalau dari masjid.

Saya tidak mahu menukar nama kerana saya bukan masuk Arab atau masuk Melayu, tetapi saya masuk Islam”, tegas seorang saudara baru.

Ayat-ayat ini semakin lazim kedengaran.

Ketika masyarakat kita mula kritis dan mahu memurnikan agama, entah kenapa Melayu sering dipersalahkan. Semua kerosakan Islam di Malaysia, mahu dipersalahkan ke atas kemelayuan Melayu.

Puas saya menganalisa kemelayuan saya. Di manakah ciri Melayu saya yang telah memburukkan Islam? Saya tidak berjumpa.

Di manakah ciri Cina dan India, serta Eropah dan Amerika yang ada pada rakan-rakan saya yang dengan ciri itu telah menaikkan Islam? Saya tidak lihat faktornya ada pada bangsa mereka.

MELAYU VS. ISLAM?

Saya bimbang, dalam usaha kita untuk memurnikan Islam, kita menyalahkan Melayu secara melulu. Apakah ada pertentangan di antara menjadi Melayu dengan Islam?

Kini, kita selalu mendengar kisah betapa persoalan Melayu telah menjadi taboo dan menyulitkan sesetengah saudara kita yang mahu memeluk Islam. Mereka mahu Islam tetapi mereka tidak mahu kepada Melayu. Mereka mahu menukar agama dan kepercayaan, bukan adat dan budaya warisan.

Lalu garis pemisah antara Melayu dan Islam ditonjolkan. Yang baik itu Islam, manakala yang buruk-buruk itu dipikulkan ke atas ’masalah Melayu’, bukannya masalah Islam.

Saya percaya, jika hal ini tidak diperbaiki, akan timbul pula satu masalah lain. Sampai satu masa, orang akan takut dengan idea saudara baru dan ’Islam tulen’ yang diperjuangkan kerana ia memusuhi kemelayuan Melayu pula!Akan ada ibu bapa yang bimbang anaknya bakal mengahwini saudara baru kerana menantu itu hanya mahukan Islam dan menolak kemelayuan mereka.

Mari kita analisa komen pembaca-pembaca di dalam entry ”Muslim Pencemar Islam”. Berapa ramai yang menganalisa sudut manusia pegawai yang menghalau kami, dan berapa ramai yang segera mensabitkan hal ini ke atas kemelayuan Melayu.

MELAYU BURUKKAN SIKAP?

Saya tidak nampak, di mana kemelayuan Melayu yang mengajar manusia jadi biadab dan kurang ajar. Malah secara jujur, saya faham sebaliknya. Melayu amat menitik beratkan adab sopan.

Tidak memanggil orang yang lebih tua dengan nama.

Menerima berlapik, menolak beralas.

Menjaga bahasa berselang budi

Semua itu mendarah daging di dalam kemelayuan Melayu.

Kebiadaban pegawai itu bukanlah kerana mereka Melayu. Jika mereka itu benar orang Melayu, bahasanya bukan begitu. Cakapnya tidak melulu. Orang Melayu orang yang tertib. Tertib yang dikukuhkan oleh Islam yang menyuntik nilai Akhirat pada kebaikan yang dibuat.


SEMUA BANGSA ADA ‘DAKI’NYA

Siapa yang dapat menafikan kebiadaban dari bangsa lain?

Lama saya merantau ke negara Arab, biadab sebahagian (besar) mereka bukan kepalang.

Buruk-buruk Melayu, ponteng Solat Jumaat sorok-soroklah juga. Tetapi yang ’Arab’ duduk di depan kedai membilang orang yang ke masjid. Tiada malu.

Tidak amanah, suka menipu, kaki gaduh… asam garam dunia sekitar saya selama bermastautin di Dunia Arab.

Walaupun saya lazim memuji orang Turki, tetapi banyak juga kelat pahitnya mereka yang saya temui. Manusia khianat, berbahasa kesat, tetap ada dan sebahagian daripada realiti kehidupan mereka.

Biar pun saya memuji bangsa Eropah, sama ada yang English, Welsh, Scottish mahu pun Irish… mereka juga ada BANYAK sisi gelap yang menjijikkan keberadaan saya bersama mereka.

POTENSI MANUSIA

Semua manusia mempunyai potensi yang sama. Mereka berpotensi menjadi baik dan berpotensi menjadi buruk.

sawwaaha.JPG

Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Asy-Syams 91 : 7-10)

Saya tidak perlu membuang kemelayuan saya untuk menjadi lebih Islamik. Malah banyak aspek kemelayuan diri yang saya pertahankan, malah menjadikannya sebagai sebahagian daripada perjuangan.

Saya amat menyayangi bahasa. Di samping belajar bahasa-bahasa asing untuk ilmu, ukhuwwah dan dakwah, Bahasa Melayu sentiasa saya pelihara kerana ia memberikan harga diri kepada saya yang menghormati diri sendiri.

Bercakap dengan betul dan baik di dalam bahasa ibu bapa saya adalah sebahagian daripada keutamaan hidup ini. Malah saya cukup tidak berkenan dengan generasi Melayu yang tidak pandai berbahasa. Bukan soal tatabahasa yang paling utama, tetapi berbahasa secara sedar untuk mengeluarkan warna diri yang baik atau tawar lagi hambar.

PUCUK MENJULANG AKAR MENCENGKAM

Saya sering umpamakan diri ini seperti pokok yang menjulang tinggi. Saya mahu dahan dan rantingnya mencecah tinggi melebar tepi, tempat bergantung segala hasil manfaat buat diri dan mereka yang mampir.

Tetapi saya mahu akar saya terus mencengkam bumi tempat saya dibenih dan tumbuh.

Biar pun saya cuba terjun ke pelbagai dunia yang amat asing dari kebiasaan orang Melayu, tetapi saya tidak mahu melepaskan akar umbi saya yang datang dari kemelayuan Melayu.

Saya boleh berdakwah di dalam Bahasa Inggeris, dan ketika berbahasa Inggeris, saya bukan hanya perlu bercakap di dalam Bahasa Inggeris, malah saya perlu berfikir dan bertindak, lain dari kebiasaan orang Melayu yang ada. Golongan ‘nobilities’ Melayu yang berbahasa Inggeris, bukan hanya mengalami perubahan bahasa, tetapi juga perubahan cara hidup, selera dan kecenderungan harian mereka. Saya perlu belajar untuk menghormati dan menyesuaikan diri dengan keadaan mereka.

Namun, saya tetap mengekalkan dakwah secara ‘selera Melayu’ saya. Berbahasa Melayu dengan dialek Perak dengan penuh yakin dan selesa, saya tidak lihat ia sebagai suatu kekurangan atau perkara yang memalukan, malah ia menjadi suatu kelebihan. Kuliah Maghrib adalah tempat saya berperanan.

Sebagaimana saya memaksa untuk meletakkan diri di dunia ‘asing’ seperti program IYEP dan MPF, saya juga terus mengekalkan Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh dan pengajian kitab.

Apabila kita boleh berbahasa dengan bahasa mad’u, ia adalah isyarat pertama yang kita ini ‘memahami’ mereka.

Pokoknya, kemelayuan yang ada pada diri saya adalah sebahagian daripada diri saya sendiri. Ia adalah suatu kelebihan, dan bukan halangan.

Buruk baiknya manusia sama ada di peringkat individu mahu pun masyarakat, adalah berkait rapat dengan cara kita dibesarkan, iaitu cara yang kita pilih.

TEGAS DALAM SOPAN

Melayu mengajar anak-anak beradab sopan dan menghormati orang tua, tetapi Melayu tidak menetapkan bahawa caranya ialah dengan menengking kanak-kanak dan memaksa mereka diam tidak bercakap.

Melayu mengajar anak-anak berlapik cakap dan tahu memilih kata, tetapi bukan sampai terbisu dari menyatakan kebenaran.

Maka janganlah dibebankan Melayu atas nama Islam, kerana bukan Melayu punca kelemahan Islam.

Segala-galanya harus berbalik kepada faktor manusia.

Manusia yang memilih untuk baik atau buruk.

Manusia yang memilih untuk berbudi bahasa atau biadab busuk bicara.

Manusia yang memilih untuk menjadi Muslim yang baik, atau Muslim yang cela.

MASUK KRISTIAN MASUK ENGLISH?

Saya sering juga berfikir, jika kaum Cina yang memeluk Islam mahu menghindari konsep ‘masuk Melayu’, bagaimana pula dengan Cina yang memeluk Kristian begitu selesa meninggalkan nama Cina dan warna rambut asli mereka?

Saya pernah berbual dengan pegawai polis yang datang ke Belfast Islamic Centre, Northern Ireland untuk rutin mereka.

“Saya hairan kenapa komuniti Cina di sini hampir kesemuanya tidak lagi menggunakan nama Cina, sebaliknya menukar nama mereka kepada nama Inggeris dan Irish”, kata polis berkenaan.

“Ya, saya juga memikirkannya”, saya menjawab.

“Apakah mereka tidak sayang kepada identiti mereka, sehingga nama dan rupa pun mahu diubah”, tanyanya lagi.

Saya hanya mengangguk dan tidak tahu apa yang patut diperkatakan.

Barat telah membaratkan agama Kristian sehingga patung Jesus pun diilustrasikan dengan rupa Caucasian seperti warga Perancis dan Inggeris, sedangkan Jesus adalah warga Timur Tengah yang lahir di bumi Palestin.

Jika orang Timur masuk Kristian kerana mahu jadi ‘orang putih’, kenapa begitu sekali kita memperlekeh orang masuk Islam di Malaysia terkesan dengan budaya Melayu?

hujurat13.JPG

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat 49 : 13)

Allah SWT yang menjadikan manusia itu ada yang Melayu, ada yang Cina, ada yang India. Tujuannya adalah untuk memperkaya dan membangunkan kehidupan manusia. Namun ukuran buruk baik manusia ialah pada Taqwa.

Boleh sahaja Melayu yang Muslim itu menuju Taqwa.

Boleh sahaja India yang Muslim itu menuju Taqwa.

Boleh sahaja Cina yang Muslim itu menuju Taqwa.

Tidak ada pertentangan di antara menjaga kemelayuan Melayu, juga kecinaan Cina atau keindiaan India… pada jalan menuju Taqwa.

Jika ada manusia yang mencemar Islam, dan bangsanya Cina, bukan bangsa itu yang menjadi puncanya.

Jika ada manusia yang mencemar Islam, dan bangsanya India, bukan bangsa itu yang menjadi puncanya.

Manusia sebagai manusia memilih untuk menjadi jahat dan baik, bukanlah kerana genetik tubuhnya pada bangsa, keturunan atau bahasa. Jahat manusia adalah pada nafsu yang ada pada semua bangsa, dan hasutan syaitan yang menghasut semua bangsa.

Maka, dalam usaha untuk memurnikan Islam, islahkanlah manusia, Perbaiki akal, hati dan nafsu manusia agar dia bertaqwa.

Tidak perlu bangsa dimusuhi, kecuali bangsa yang mengangkat kepentingan dirinya atas nama bangsa, mengatasi agama dan jalan Taqwa.

Junjung Islam kerana ia menjelaskan siapa Tuhanmu, pelihara Melayu kerana ia menjelaskan siapa dirimu.

Dicopy dari:

ABU SAIF @ www.hasrizal.com
56000 Kuala Lumpur



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger