14 Aug 2007

Memahami Tabiat Perjuangan Islam

MUQADDIMAH

Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak yang menentangnya.

Oleh kerana perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dn persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam dah dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.

Mahu tidak mahu, setiap muslim terpaksa menghadapi reality perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang.

Demikianlah, sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi, umat Islam telah dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian.

PERJUANGAN DAN JIHAD

Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdhar) yang berasal dari perkataan jahada bererti bersungguh-sungguh dan berpenatan mengerjakan sesuatu. Jahada pula bererti memerah tenaga.Jahada al-‘aduw bererti memerangi musuh.

Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.

Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak risiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

Maksudnya:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.”

Sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silan lebih merujuk kepada aspek peperangan.

Contohnya, ulama’ Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam.

Manakala ulama’ Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.

Imam Hassan al-Bana pula menyatakan bahawa:

“Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesam manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran.”

Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelusuk dunia.

Lalu, di dalam usaha berdakwah itu,mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.

Di dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman dari musuh dakwah.

Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja.

Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihanraya, penulisan dan sebagainya.

Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan tentangan dari musuh yang merupakan sebahagian dari ujian Allah s.w.t. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan.

AQIDAH ASAS PERJUANGAN

Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan aqidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen.

Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada aqidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid.

Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan besar -besaran di dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang disrahkan hanya kepada Allah.

Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup manusia . Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah.

Sebaliknya Islam menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. selaras dengan pengertian kalimah Islam sendiri.

Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi di dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan:

“Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada.”

Ibn Taimiyah pula menyatakan apabila ucapan La ilaha illa Allah itu merupakan ucapan yang sebenar,jadilah orang yang mengucapkannya itu ahliNya dan tergolong dalam golonganNya (golongan Allah), manakala orang yang mengingkarinya adalah musuhNya dan orang-orang yang dimurkaiNya.

Risalah Islam yang disebarkan melalui dakwah yang telah dimulakan oleh para nabi itu sendiri bersifat menyeru kepada Allah dan menentang taghut iaitu segala perkara atau sembahan yang bersifat merampas hak-hak ketuhanan sama ada dari sudut ibadah, undang-undang dan pemerintahan. Dalam perkara ini, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.”

Peranan utama para rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada hambaNya. Ia terdiri dari dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan dan menyempurnakan di antara satu sama lain iaitu:

• Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah yang Esa

• Menyeru supaya menjauhi taghut

Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaatinya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.

MATLAMAT PERJUANGAN ISLAM

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariatNya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a. katanya: Sesungguhnya seorang lelaki Badwi iaitu Arab desa datang kepada Nabi s.a.w. dan bertanya: “Wahai Rasulullah! Ada seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk membuktikan kejantanannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk melihat kemampuannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)

Allah s.w.t. sendir menuntut agar agamaNya ini siletakkan mengatasi segala ajaran yang lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan oleh Allah ketika menjelaskan tentang matlamat pengutusan Rasulullah s.a.w. kepada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dialah (Allah) yang telah mengutus rasulNya dengan hidayah petunjuk dan agama yang sebenar supaya dimenangkanNya atas segala agama walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin.” (al-Saff : 9)

Al-Maududi menyatakan:

“Sebagaimana halnya dengan din-din lainnya, din Allah ini juga menuntut bahawa seluruh wewenang mesti diserahkan kepadaNya semata-mata. Sedangkan semua din yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana dalau din ini telah berlaku, maka tidak akan ada lagi din kerakyatan, kerajaan atau din kaum komunis.”

Tuntutan ini tidak bererti bahawa Islam bertindak memaksa manusia memeluk Islam dan menghapuskan terus ajaran lain secara kekerasan kerana kekerasan dan paksaan tidak akan menghapuskan apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia. Ini dijelaskan dalm konsep dan etika peperangan dalam Islam antaranya ialah larangan manakut-nakutkan orang ramai,melampau, membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua yang sudah kabur pandangan, paderi-paderi, penjaga gereja, membakar pokok dan membunuh haiwan tanpa maslahah. Demikian juga difahami dari ayat ke 40 Surah al-Hajj:

Maksudnya: “Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah .”

Tuntutan itu sebenarnya adalah supaya Islam mendominasikan seluruh suasana dan kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai pemerintahan yang adil dengan secara rela. Firman Allah s.w.t. Surah at-Taubah, ayat 40:

Maksudnya:

“Dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah dan kalimat Allah itulah orang-orang tinggi.”

Tuntutan menzahirkan agama ini dijelaskan sehinggalah dalam soal peperangan. Tujuan peperangan dalam Islam sendiri adalah untuk memastikan bahawa Islam menjadi penentu dalam percaturan politik dan hidup manusia. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:

“Dan perangilah mereka (orang-orang kafir) sehingga tiada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya menjadi semata-mata untuk Allah.” (al-‘Anfal : 39)

Menurut Saiful Islam, maksud dari perkataan ‘perangilah’ adalah agar kekufuran tidak melata dan agar din Allah di atas segala -galanya, sehingga din al-Islam ada di mana-mana.

PERJUANGAN TIDAK BERNOKTAH

Islam sentiasa menghadapi tentangan. Hasil daripada dua factor di atas, lalu timbul pula reaksi di kalangan manusia yang enggan tunduk kepada seruan dakwah Islam. Reaksi itulah yang menyemarakkan lagi pertentangan di antara Islam dengan musuh-musuhnya.

Contoh yang paling ketara daripada sirah Rasulullah s.a.w. ialah apabila baginda berdakwah dengan orang ramai tentang Islam supaya mengucap syahadah La ilaha illa Allah, dua orang lelaki Badwi dari kalangan yang hadir berkata:

Maksudnya:

“Ini adalah perkara yang dibenci oleh raja-raja (pemerintah). Kerana inilah kamu akan diperangi oleh orang-orang Arab dan orang-orang ‘ajam (bukan Arab).”

Peristiwa ini menggambarkan bahawa penentangan terhadap Islam adalah perkara yang sentiasa berlaku sebagaimana ia telah berlaku ke atas nabi-nabi yang terdahulu. Namun faktor utama penentangan itu bukanlah kerana faktor batang tubuh individu atau golongan yang menyeru, tetapi kerana seruan Islam itu sendiri.

Sebagaimana Rasulullah s.a.w. sendiri ditentang bukan kerana peribadi baginda yang sudah terkenal sebagai al-Amin dan pernah diberi kepercayaan menjadi hakim menyelesaikan masalah perletakan Hajar al-Aswad dalam peristiwa banjir besar di Makkah sebelum kenabian baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:

“Jihad itu berterusan sejak aku dibangkitkan sehingga umatku yang terakhir membunuh Dajjal.”

KONSEP KEMENANGAN

Kemenangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar ( haq) atau batil, pejuang itu muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain.

Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah s.w.t. menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al- fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.

Kemenangan dengan istilah al-falah melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan al-fawz pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan al-nasr pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama Allah ke atas musuh-musuhNya.

A. Kemenangan di Dunia

Di dalam al-Quran, golongan yang memperolehi kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirun. Ghalibun memberi maksud orang-orang yang mengalahkan, manakala dzahirun bermaksud orang yang menang.

Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Contohnya, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Fath ayat 1:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.”

Ulama’ sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran dari al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya. Kemenangan di dunia dapat dilihat dari beberapa aspek sebagaimana dinyatakan di dalam Surah al-Nur ayat 55:

Maksudnya:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang- orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).”

Tiga bentuk kemenangan al-nasr yang dijanjikan itu adalah:

a) Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan pendukung-pendukung ke atas negara atau wilayah dan memeang tampuk pimpinan.

b) Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya wewenang untuk menentukan kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan undang-undang dalam negara.

c) Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.

B. Kemenangan di Akhirat

Kemenangan di akhirat (al-fawz) adalah kemenangan yang sbenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.

Allah s.w.t. menawarkan kemenangan di dalam firmanNya dalam Surah al-Saff ayat 10 – 12:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.”

Berdasarkan ayat di atas, kemenangan di akhirat itu meliputi empat perkara:

a) Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat

b) Mendapat keampunan dari Allah s.w.t. atas segala dosa yang telah dilakukan

c) Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai

d) Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di yurga yang bernama ‘And

C. Kemenangan Adalah Janji Allah

Di dalam Islam, kemenangan adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh setiap muslim. Mereka perlu mengimani masa hadapan yang baik dan gemilang untuk Islam. Ini kerana terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadith yang memberitakan bahawa Islam akan berjaya pada suatu hari kelak. Ayat 55 Surah al-Nur tadi dimulakan dengan lafaz wa’ada bermaksud ‘telah menjanjikan’, di mana kemenangan di dunia (al-nasr) telah dijanjikan oleh Allah sebagai satu kemestian kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh apabila tiba masanya. Janji ini bukan sahaja dikhususkan buat umat Muhammad s.a.w., bahkan ia telah dinyatakan oleh Allah s.w.t. sejak zaman Nabi Daud a.s. lagi. Firman Allah s.w.t. dalam ayat ke 105 Surah al-Anbiya’:

Maksudnya:

“Sesungguhnya telah kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh.”

Janji Allah s.w.t. ini disebut pula dalam hadith Rasulullah s.a.w.: Maksudnya:

Dari Tamim al-Dari katanya: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan sampai urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang. Dan Allah tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di Bandar dan perkampungan mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkanNya agama ini melalui kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah memuliakan Islam dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran.” Tamim al-Dari menyatakan bahawa aku telah mengalami perkara itu dalam keluargaku, yang Islam mendapat kebaikan, kemliaan dan kehebatan, manakala yang kafir mendapat kehinaan, merasa kerdil dan membayar jizyah.”

Hadith ini menerangkan bahawa agama Islam akan berkembang seluas-luasnya ke setiap penjuru dunia. Janji Allah dan RasulNya ini telah berlaku untuk peringkat pertamanya dengan berlakunya pembukaan-pembukaan negara Islam dan berkembangnya wilayah taklukan Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w. hingga kurun ke-14 Hijrah.

D. Kemenangan Adalah Pertolongan Allah

Persoalan pokok dan perkara pnting yang membezakan konsep Islam terhadap kemenangan dengan konsep-konsep agama, ideology dan fahaman lain adalah unsur pertolongan Allah, Islam amat menitik-beratkan hubungkait manusia Islam dengan Tuhannya dalam perjuangan bahkan dalam setiap aspek kehidupan.

Para pendukung perjuangan Islam sentiasa diingatkan tentang peri pentingnya bergantung kepada Allah dan menyakini bahawa kemenangan hanya datang dari Allah apabila dikehendakiNya. Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 10 Surah Ali ‘Imran dan 126 Surah al-Anfal:

Maksudnya:

“Dan tiadalah pertolongan kecuali dari Allah.” (Al-Anfal: 126)

Al-Nasr dalam ayat ini memberi pengertian pertolongan dan kemenangan di dalam perjuangan. Allah s.w.t. mengaitkan persoalan kemenangan dalam ayat ini dengan pernyataan bahawa Allah Yang Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dialah yang berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan.

Manakala pernyataan bahawa Allah Maha Bijaksana menegaskan bahawa Dialah yang lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan dan sebab apakah kemenangan itu tidak diberikan dalam semua keadaan.

Setiap pejuang Islam perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Dia boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain.

Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan.

Hakikat ini dinyatakan dalam firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 26:

Maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad) Ya Allah! Engkau pemilik segala kekuasaan, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabutnya dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Dan Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.”

Dipetik dari Jemaah Islam Dunia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered By Blogger